Cara MudahRumah

Cuti Sekolah Tak Tahu Buat Apa? Ini 5 Aktiviti Menarik Boleh Buat

Aktiviti Sewaktu Cuti Sekolah

Cuti Sekolah

Sumber Gambar Oh Bulan

Hujung tahun sinonim dengan cuti sekolah tahunan bagi semua kanak-kanak di Malaysia. Keadaan di rumah pasti lebih riuh kerana anak-anak akan menghabiskan lebih banyak masa di rumah berbanding sekolah. Untuk ibu bapa, jangan lepaskan peluang ini dengan membiarkan anak-anak anda tidak melakukan apa-apa atau menghabiskan kebanyakan masa dengan gajet sahaja.

Rancang aktiviti yang boleh dilakukan bersama anak-anak anda untuk menguatkan dan merapatkan lagi hubungan antara anda dan anak-anak. Selain menghilangkan rasa bosan anak-anak anda, mereka juga dapat mencuba aktiviti-aktiviti yang mungkin mereka belum pernah lakukan sebelum ini. Ini 5 aktivti menarik yang korang boleh lakukan bersama anak-anak pada musim cuti sekolah ini:

 

1: Melancong Bersama Anak-Anak Di Dalam Negara

Sumber Gambar Berita Harian

Waktu paling sesuai untuk satu keluarga mengambil cuti panjang untuk pergi melancing ialah ketika sampai hujung tahun waktu cuti sekolah. Ketika kita masih dalam pandemik COVID-19 ini, bercuti di dalam negara ialah pilihan yang lebih baik kerana urusan yang lebih mudah seperti tidak perlu kuarantin dan sebagainya, kos lebih murah dan dapat membantu menjana ekonomi dalam negara.
Aktiviti melancong bersama anak-anak ini bukan sekadar dapat merapatkan hubungan sesama keluarga, tapi anak-anak juga dapat meneroka tempat baru, belajar perkara baru di tempat orang, dan juga belajar cara menguruskan masa perjalanan dan mengawal perasaan. Semua ini akan menjadi pengalaman baru yang boleh ditimba oleh mereka untuk mereka pelajari bersama para ibu bapa.

2: Gunakan Masa Cuti Sekolah Menonton Wayang Bersama-Sama

Sumber Gambar Harian Metro

Sejak 6 Disember 2021, kerajaan sudah membenarkan kanak-kanak untuk menonton filem di pawagam bersama ibu bapa. Aktiviti menonton wayang bersama anak-anak ketika musim cuti sekolah sangat sesuai kerana pada waktu ini banyak filem-filem yang menarik ditayangkan di pawagam yang boleh ditonton sesama keluarga seperti filem Spiderman: No Way Home baru-baru ini. Kanak-kanak terutamanya pasti teruja untuk menonton filem tersebut terutamanya bersama ibu bapa di pawagam.
Kalau korang tak dapat cuti panjang ketika musim cuti sekolah dan cuma dapat cuti pada hujung minggu, menonton wayang ini aktiviti paling mudah yang korang boleh buat bersama anak-anak. Sebagai ibu bapa, korang boleh ambil peluang untuk ajar anak-anak korang benda baru melalui pengalaman ini seperti beri peluang kepada mereka untuk beli tiket dan snek sendiri selain mengajar mereka berdikari.

3: Hadiri Kelas Kursus Pendek Dengan Anak-Anak

Sumber Gambar Essential Education

Waktu cuti sekolah merupakan waktu yang terbaik untuk anak-anak korang belajar benda baru selain akademik. Walaupun tempoh cuti sekolah tidaklah begitu panjang, sekitar sebulan sahaja, tempoh ini boleh dimanfaatkan dengan cari kelas kursus-kursus pendek seperti kelas memasak, kelas seni, kelas alat muzik dan sebagainya.
Jika ibu bapa dapat turut menghadiri kelas tersebut bersama anak-anak, itu merupakan langkah terbaik dalam merapatkan hubungan keluarga. Kelas-kelas seperti ini selain dapat memupuk minat baharu dalam kalangan anak-anak dan meningkat kreativiti mereka, ibu bapa dapat memanfaatkannya sebagai peluang untuk meneroka bakat anak-anak yang mungkin korang tak pernah tahu sebelum ini.

4: Pupuk Minat Anak-Anak Dengan Membaca Bersama Mereka

Sumber Gambar Parenthood

Ini satu lagi merupakan aktiviti yang korang sebagai ibu bapa boleh lakukan bersama anak-anak iaitu membuat sesi membaca buku bersama mereka sepanjang cuti sekolah. Aktiviti seperti ini jauh lebih baik berbanding membiarkan anak-anak korang menghabiskan masa dengan gajet. Kajian ada menunjukkan kanak-kanak yang lebih banyak membaca buku akan mempunyai perkembangan minda yang sangat elok. Ada juga kajian menunjukkan memberi kanak-kanak gajet pada peringkat terlalu awal boleh membantutkan perkembangan minda mereka.

Ibu bapa boleh melakukan sistem ganjaran setiap kali anak-anak mereka selesai menghabiskan bacaan setiap buku bagi memupuk minat membaca dalam kalangan anak-anak. Tetapkan sasaran untuk anak-anak menghabiskan bacaan buku mereka, contohnya seminggu kena habiskan baca sekurang-kurangnya dua buku. Korang juga boleh turut serta membaca bersama anak-anak kerana mereka belajar melalui pemerhatian terhadap korang sendiri sebagai ibu bapa.

 

5: Beri Anak-Anak Tanggungjawab Untuk Menguruskan Rumah

Sumber Gambar Majalah PAMA

Musim cuti sekolah ini juga boleh dijadikan peluang untuk korang mengajar anak-anak tanggungjawab untuk menjaga dan mengemas rumah bersama. Anak-anak sepatutna dilatih tentang perkara ini sejak peringkat awal lagi. Percayalah anak-anak korang akan rasa dihargai kalau korang memberi mereka tanggingjawab untuk mengurus dan menjaga rumah selain dapat melatih mereka untuk berdisiplin dan berdikari.

Dari lipat baju, sapu lantai, buang sampah, kemas rumah dan sebagainya, beri tanggungjawab ini kepada anak-anak sambil korang perhatikan. Bantu dan ajar jika mereka perlukan untuk melaksanakan tugasan-tugasan tersebut. Peranan sebagai ibu bapa pula harus banyak bersabar dan jangan cepat marah terutamanya kalau anak-anak korang buat silap kerana proses tersebutlah yang akan membantu perkembangan anak-anak korang. Pastikan mereka rasa seronok melakukan aktiviti tersebut dan bukannya takut dan terbeban.

 

Sebenarnya banyak gila aktiviti yang korang boleh buat bersama-sama keluarga korang musim cuti sekolah ini.Yang penting ialah perancangan aktiviti termasuklah kewangan jika ada aktiviti yang melibatkan yuran, tiket dan sebagainya, juga komunikasi sesama ahli keluarga supaya masing-masing  terutamanya mengenai aktiviti yang hendak dilakukan. Ibu bapa juga digalakkan melibatkan anak-anak dalam proses ini kerana dapat membantu mematangkan cara pemikiran mereka di samping belajar untuk merancang. Kalau ada anak kecil boleh buak aktiviti ini di rumah, baca di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button