Cara MudahRumah

Api Dapur Kecil Atau Terlalu Besar? Jangan Beli Dapur Baru Dulu, Ini Cara Betulkannya

Cara Betulkan Api Dapur Kecil Atau Terlalu Besar Sendiri (DIY)

Ramai pernah hadapi masalah ni, bila selalu masak dan dah lama guna dapur sama tiba-tiba api dapur kecil atau tak kuat macam dulu. Mungkin ramai ingat dapur tu dah rosak dan kena tukar baru. Maklumlah dah guna lama dapur yang sama mungkin apinya dah tak kuat kan. Bukan apa nak masak tu kadang-kadang kalau api kecil ni lambat nak tunggu minyak panas ataupun lauk cepat masak dan mendidih. Jangan risau ada cara untuk betulkannya.

Ada sesetengah kes pula api dapur tu jadi terlalu kuat pula sehingga keluar warna api oren. Kalau api terlalu kuat macam ni pula tak bagus juga sebab nanti kuali kita cepat jadi hitam. Makanan pula boleh senang hangus sebab api terlalu kuat kan. Kalau macam ni pun jangan risau. Ada cara sebenarnya untuk betulkan api ni daripada jadi terlalu kuat. Tak perlu juga beli baru hanya ikut je langkah yang dikongsikan di bawah.

Cara Betulkan Api Dapur Kecil Atau Terlalu Besar Sendiri (DIY) Dapur Gas

Kalau korang menghadapi masalah seperti di atas ni, ikut je langkah yang dikongsi saudara Abdul Ghopar seperti di bawah:

Tips Betulkan Api Dapur Kecil

Sebenarnya untuk betulkan api dapur gas yang kecil tu, perlu servis dapur gas tersebut. Caranya mudah je boleh buat sendiri. Ikut langkah ni:

Peralatan yang diperlukan:

  • Playar
  • Pemutar Skru Bunga dan Philips
  • Klip Kertas
  • Spray Anti Karat WD40
  • Kertas Surat Khabar Lama

Langkah: 

1. Tanggalkan tungku dari injap gas dengan mencabut pin di bahagaian bawahnya

2. Selesai tanggalkan tungku dari injap gas. Cuba buka skru bagi memisahkan injap gas dengan paip gas. Jika terlalu ketat tidaklah perlu untuk dipisahkan.

Di dalamnya ada getah seal dan akan nampak injap gas berlubang besar dan kecil untuk mengawal penggunaan gas.

Kalau kaum wanita yang ingin membuatnya sendiri, tidak perlu sehingga keluarkan injap dan paip gas ini. Teruskan sahaja cucuk klip kertas ke saluran injap gas.

Injap dan paop gas dikeluarkan sepenuhnya

Ambil spray anti karat dan semburkan ke dalam bahagian penyambung antara tungku dan injap gas. Lalu gunakan klip kertas untuk mencucuk lubang halus di injap gas.

Kesan lapisan minyak daripada lubang injap gas ini akan bertukar menjadi kerak minyak dan seterusnya membuatkan saluran injap gas mudah tersumbat. Jadi bersihkan ianya beberapa kali sehingga berpuas hati.

Ini pula contoh retakan pada bahagian dire starter. Selalu dah pulas tetapi api tidak menyala lepastu perlu guna surat khabar atau penghidup api untuk hidupkan dapur gas. Jangan risau, ketuk sedikit bahagian besi supaya retakan menjadi rapat. Ianya tidak membahayakan.

Selepas diservis, apinya akan membara kebiruan. Tapi jika perumahnya dan paip gas sudah terlalu uzur, dinasihatkan tukarlah yang baru sahaja.

 

Tips Betulkan Api Dapur Terlalu Besar

Yang ini pula cara apa perlu buat jika api terlalu besar atau bertukar warna menjadi oren. Langkah yang perlu dibuat adalah seperti perkongsian saudari Fad Alya:

Cara – cara:

1. Angkat belakang dapur gas dan pusing kan benda yang ada anak panah seperti Gambar 2

2. Pusingkan sampai menutup lubang (anak panah). Rujuk Gambar 3

3. Hasilnya seperti Gambar 4: Tak perlu dah nak beli baru. Jimat!

 

Tanda Dapur Gas Tersumbat / Bermasalah 

Sebenarnya terdapat beberapa kaedah untuk mengetahui dapur gas bermasalah antaranya:

1. Api Dapur Gas Berubah Warna

  • Api Oren : Lubang pembakar gas yang tersumbat akan menyebabkan api yang keluar berwarna jingga. Api oren ini sebenarnya suhunya lebih rendah dan tidak efisien untuk dapur gas.
  • Api Merah : Memasak dengan api ini juga boleh menyebabkan periuk terbakar dan meningkatkan kesan hitam. Selain itu, ia juga petanda bahawa gas dalam tong sudah mulai sedikit dan perlu ditukar dengan yang baharu.
  • Api Biru (Normal) : Api berwarna biru adalah yang paling baik dan mempunyai suhu melebihi 1,500 darjah celcius. Proses memasak dengan api ini juga lebih cepat dan tidak akan membuatkan kuali terbakar.

2. Berbunyi: Api yang tidak stabil akan berbunyi bising jika dinyalakan menunjukkan sama ada ia terlalu banyak udara atau terlalu banyak gas yang sampai ke pembakar.

3. Berbau : Sekiranya dapur gas berbau kuat dan tetap berbau walaupun tidak dinyalakan. Ini bermakna ianya mungkin salah satu pembakar tidak dimatikan sepenuhnya. Pastikan tingkap dan pintu dibuka untuk memastikan ada pengeluaran udara yang baik. Setelah itu hubungi syarikat gas untuk bantuan segera.

4. Api terlalu kecil / tidak menyala : Api yang terlalu kecil atau tidak menyala boleh terjadi disebabkan sumbatan akibat kotoran atau minyak. Pembersihan secara keseluruhan akan membantu penggunaan dapur gas yang lebih efisien iaitu menggunakan kurang gas pada nyalaan yang lebih rendah

 

Sekarang ni dah tahu kan cara macam mana nak betulkan api dapur kecil atau besar, jadi tak perlulah nak beli baru terus kalau api dapur gas tu berbeza lepasni. Korang hanya perlu ikut je langkah yang dikongsikan di atas. Kalau guna dapur gas tu kena berhati-hati juga tau kalau salah guna boleh meletup. Baca tips elak tong gas meletup di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button