MakananCara Mudah

Beras Ada Kutu Atau Bubuk? Jangan Buang, Ini Cara Bersih & Elak Kutu Beras Datang!

Tips Elak Kutu Beras Muncul Dan Cara Bersihkan Beras

Bila bercakap pasal beras, masih ada yang tak tahu cara bersih & elak kutu beras datang. Ye lah kadang-kadang tu kita letak beras dekat tempat yang tak betul atau tak tertutup betul. Ada pula kadang tu ditinggalkan lama sebab balik kampung contohnya pelajar-pelajar universiti atau kolej yang cuti semester. Ada juga yang dah tutup rapat dalam bekas atau ikat ketat dalam plastik tu tapi kutu atau bubuk tetap datang.

Sebenarnya ada pelbagai cara atau petua untuk pastikan beras yang kita simpan itu tak dikunjungi oleh kutu beras ataupun bubuk. Cumanya tinggal kita rajin nak buat ataupun tidak sahaja. Tapi kalau beras tu dah banyak kutu pula macam mana? Masih boleh makan ke? Kalau buang macam membazir pula? Boleh, cuma perlu bersihkan dan ada caranya juga. Kalau sayang beras tu boleh lah cuba buat kan. Tapi kalau dah teruk sangat mungkin boleh buang saja daripada makan nanti memudaratkan.

Apa itu kutu beras? 

Kutu beras atau bubuk dalam bahasa inggeris rice weevil selalu dijumpai di dalam beras atau tepung. khususnya yang telah disimpan lama. Serangga ini walaupun kecil, ianya boleh mengunyah plastik dan juga kertas dengan mudah je. Jadi tak hairanlah ia boleh masuk ke dalam pek beras atau tepung yang baru sahaja dibeli. Sekiranya dibiarkan kutu bersarang dalam bekas atau plastik simpanan beras ia boleh merosakkan atau mengurangkan kualiti beras tu. Jadi bila dah nampak awal tu kena lah cepat-cepat buang atau halau ia.

 

Tips Bersih & Elak Kutu Beras Muncul Dengan Tips Dan Petua Semulajadi

Kalau nak tahu tips dan petua untuk membuang kutu beras serta mengelakkan ianya datang adalah seperti berikut:

1. Bawang Putih

Sumber Gambar Facebook

Bawang putih adalah antara bahan yang wajib ada dekat rumah kita kan. Ye lah kalau nak memasak tu selalunya ada guna bawang putih ni. Bawang putih mempunyai bau aroma yang agak kuat. Kutu atau bubuk beras dikatakan tak suka pada bau-bauan. Jadi boleh lah kita gunakan bawang putih untuk mengelakkan serangga ini datang pada beras kita. Caranya adalah potongkan bawang di bahagian tengah kepada dua bahagian dan masukkannya ke dalam bekas beras lalu ditutup rapat.

2. Cili Kering

Sumber Gambar Cookpad

Selain bawang putih, antara bahan dapur lain yang juga boleh digunakan untuk mengelakkan kutu beras adalah cili kering. Cili kering bersifat pedas dan panas yang pastinya akan memberikan ketidakselesaan kepada kutu beras untuk membiak. Caranya potongkan cili kering kepada 2 bahagian dan letakkan di dalam beras. Jika baunya semakin menghilang boleh gantikan dengan cili kering yang lain.

3. Daun Limau Purut

Sumber Gambar Bidadari

Satu lagi bahan di dapur yang mempunyai aroma yang kuat iaitu daun limau purut. Aroma baunya yang kuat pasti membuat kutu beras berasa tidak selesa. Ianya bukan sahaja mampu mengusir kutu beras malah dapat menghilangkan bau hapak beras. Kaedahnya adalah letakkan daun di bahagian dasar bekas, bahagian tengah dan juga bahagian atas tempat simpan beras agar kesannya lebih efektif.

4. Kulit Kayu Manis

Sumber Gambar Bidadari

Selain itu, kulit kayu manis atau cinnamon juga adalah bahan yang mengeluarkan bau yang kuat dan harum. Aroma ini mampu mengusir kutu daripada bekas beras. Terdapat dua cara iaitu pertama letakkan terus sahaja beberapa kulit kayu manis ke dalam bekas beras. Ada juga yang sangaikan atau goreng tanpa minyak dahulu dalam kuali bagi menerbitkan bau harum, kemudian masukkan ke dalam uncang dan letakkan di dalam bekas beras.

5. Asam Keping

Asam keping ataupun asam gelugor kering adalah bahan yang boleh juga menghalau kutu atau bumbu beras. Ini kerana kemungkinan aromanya yang kuat memberikan tidak keselesaan kepada kutu beras. Caranya paling mudah hanya letakkan beberapa asam keping ke dalam bekas simpanan beras dan tutup rapat bekas tersebut.

 

Cara Cuci Beras Dan Buang Kutu Beras

Kalau dah terlalu banyak pula kutu beras atau bubuk tu nak buat apa? Ini antara langkah yang korang boleh buat:

Jemur Bawah Matahari

Petua paling ramai buat untuk halau kutu beras yang ada dalam beras kita adalah dengan menjemurkannya di bawah terik matahari. Kaedah ini akan membuatkan kutu beras keluar dengan segera kerana tidak selesa. Caranya adalah taburkan kesemua beras di atas dulang yang leper. Setelah beberapa minit, gemburkan beras supaya kutu beras tidak lagi bersembunyi di sebalik timbunan beras.

Panaskan Dalam Oven / Atas Kuali

Jika cuaca di luar tak panas, ada satu lagi cara mudah iaitu panaskan beras di dalam oven. Ini dikongsikan oleh saudari Nurhasanah Harun di media sosial. Caranya letakkan beras dalam dulang dan masukkan ke dalam oven atau ketuhar lebih kurang 10 minit. Jika tiada oven boleh gorengkan tanpa minyak dalam kuali sekejap sahaja agak-agak panas, jangan goreng perang pula. Cara nak tahu beras masih elok cuba basuh beras, kalau tiada beras warna putih timbul banyak maknanya masih elok. Jika timbul banyak beras dan ringan cuba patahkan beras tersebut, dalamnya ada ulat bubuk maksudnya dah tak elok.

Sumber Gambar Facebook

Gunakan Kain Lembap

Satu lagi alternatif untuk membuang kutu beras adalah menggunakan kain lembap. Caranya adalah tutupkan kain lembap di bekas beras. Kita akan dapati kutu beras akan pergi dan menempek pada kain lembap kerana kutu sukakan tempat yang sejuk. Jika hampir penuh, buangkan kutu-kutu tersebut dan ulang sehingga tiada lagi serangga itu.

Sumber Gambar Resepi Orchid

Letak Dalam Freezer

Ada juga kes yang dah buang kutu beras pun dia datang semula, kemungkinan ada lagi telur di dalam bekas tersebut. Jadi untuk pastikan kesemuanya mati, korang boleh simpankan beras di dalam peti ais bahagian freezer selama 3 hari. Setelah itu boleh keluarkan dan simpan seperti biasa. Dengan ini, telur tak akan menetas dan kutu beras pun akan mati. Selain itu kutu beras juga akan senang timbul ketika cuci beras nanti.

 

Mudah je kan tips untuk mencegah dan membersihkan kutu atau bubuk beras ni. Jangan lupa share pada lain agar ramai dapat manfaat. Nak tahu kegunaan lain beras selain daripada makan boleh baca di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button