Sampai Bila Nak Menyewa Sebab Tak Mampu Beli Rumah? Miliki Rumah Sendiri dengan Skim Bantuan Kerajaan Ni!
Cara Mudah Beli Rumah Pertama Dengan Skim Bantuan Kerajaan
Korang nak beli rumah, tapi rumah sekarang mahal sangat, kan? Gaji pula cukup-cukup makan untuk menyewa je. Sebenarnya teringin juga nak merasa duduk dalam rumah yang dibeli sendiri. Barulah kita rasa selamat dan selesa. Tak adalah risiko untuk dihalau tuan rumah secara tiba-tiba kalau kita menyewa.
Jangan risau, setiap kesusahan, pasti ada jalan keluarnya sebab kerajaan ada sediakan bantuan untuk korang yang nak beli rumah pertama ni. Selalu kalau beli rumah kita kena bayar bulan-bulan kepada bank sebab buat pinjaman, tapi suka tak kalau dapat bantuan RM200 setiap bulan daripada kerajaan? Ya betul, ada satu skim pembelian rumah pertama yang diperkenalkan kerajaan dan diberi nama Skim Perumahan Belia (SPB) BSN MyHome.
Cara Mudah Beli Rumah Pertama Dengan Skim Bantuan Kerajaan
Apa itu Skim Perumahan Belia (SPB) BSN MyHome?
Sumber Gambar Propertyguru
Skim Perumahan Belia atau SPB, Bank Simpanan Nasional (BSN) MyHome diwujudkan untuk membantu belia yang bujang atau yang dah berkahwin untuk membeli rumah pertama. Yang paling bestnya, downpayment atau bayaran duit muka pun akan ditanggung sekali (baca di bawah) serta korang juga akan dibayar RM200 setiap bulan! Maksudnya kalau pinjaman bulanan RM1,000 korang hanya perlu bayar RM800 je untuk 2 tahun pertama.
Macam tak percaya je kan? Betul, ini antara kelebihan-kelebihan lain Skim Perumahan Belia (SPB) BSN MyHome:
- Pinjaman sehingga 100% (Full-Loan) daripada harga pembelian (bermaksud boleh gunakan duit pinjaman untuk membayar downpayment sekali!) dan tambahan 5% daripada harga pembelian untuk bayar insurans (MRTA).
- Boleh pinjam hingga RM500,000 dalam tempoh bayaran sehingga 35 tahun atau umur maksimum 70 tahun.
- 100% pengecualian duti setem jika pinjaman kurang daripada RM300,000
- Mendapat bantuan kewangan sebanyak RM200 setiap bulan selama 2 tahun!
- Tarikh tutup pemohonan adalah sehingga 31 Disember 2021.
Kalau korang nak tahu syarat-syarat kelayakan nak memohon Skim Perumahan Belia, boleh rujuk senarai dekat bawah ni:
- Warganegara Malaysia berumur 21 hingga 45 tahun.
- Bujang atau telah berkahwin dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan.
- Pemilikan Hartanah Pertama sahaja.
- Permohonan secara perseorangan atau bersama (joint loan).
- Pemegang Akaun BSN GIRO / GIRO-i.
- Mempunyai bukti pembelian / pemilikan hartanah (yang ingin dimohon pinjaman).
Kalau korang layak dan berminat nak mohon, boleh rujuk panduan di SINI.
Nak ApplyLoan Dah Ada Bantuan Kerajaan. Tapi Ada Ke Rumah yang Murah?
Loan dah ada tapi datang pula satu masalah lain, harga rumah sekarang memang boleh buat korang terbeliak mata. Semuanya mahal-mahal. Rumahnya tak luas mana pun. Dan sekali lagi kerajaan dah bantu mudahkan kita nak beli rumah pertama dengan menyediakan rumah dengan harga yang mampu milik!
Antara rumah mampu milik yang sering diperkatakan orang adalah Rumah Selangorku dan Residensi Wilayah.
1. Rumah Selangorku
Sumber Gambar Br1m
Program Rumah Selangorku adalah inisiatif daripada kerajaan negeri Selangor untuk menyediakan rumah dengan harga mampu milik bagi semua orang. Ya, semua orang! Korang tak perlu lahir di Selangor pun korang boleh mohon juga. Dan harga untuk sebuah rumah pun takkan melebihi RM250,000!
Tapi ada beberapa syarat yang korang kena penuhi dulu:
- Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas.
- Pendapatan seisi rumah tak melebihi RM10,000.
- Tak memiliki sebarang jenis hartanah/kediaman di Selangor.
- Rumah yang dibeli mestilah untuk diduduki dan tak boleh disewakan. Tapi permohonan pindah hak milik boleh dilakukan selepas 5 tahun.
Kalau korang nak tahu dengan lebih lanjut, atau nak mohon terus, boleh rujuk di SINI.
2. Residensi Wilayah
Sumber Gambar Edgeprop
Residensi Wilayah (dulu dikenali sebagai RUMAWIP) pula adalah program rumah mampu milik untuk golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah serta dijual pada harga di bawah RM300,000. Rumah-rumah ni akan tertumpu di dalam kawasan Wilayah Persekutuan je iaitu di Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan.
Syarat-syarat yang perlu korang penuhi sebelum nak mohon Residensi Wilayah adalah:
- Warganegara Malaysia yang berumur 21 tahun dan ke atas.
- Perlu menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan.
- Pendapatan isi rumah tak boleh lebih daripada RM10,000 untuk bujang, dan RM15,000 untuk yang dah berkahwin.
- Tak memiliki sebarang jenis hartanah/kediaman di Wilayah Persekutuan.
- Rumah yang dibeli mestilah untuk diduduki dan tak boleh disewakan, tapi lepas 10 tahun daripada tarikh pertama perjanjian jual beli, rumah tu dah boleh dijual atau disewakan.
Rumah ni sesuai untuk korang yang bekerja di pusat bandar utama iaitu Pusat Bandaraya KL. Jadi berminat nak mohon Residensi Wilayah? Boleh terus klik di SINI!
Lepasni, korang dah tak perlu asyik menyewa je sebab gaji kecil. Bila gunakan bantuan kerajaan yang dah disediakan ni, tak ada masalah dah nak beli rumah pertama. Korang boleh mohon Skim Perumahan Belia untuk beli rumah di bawah Program Rumah Selangorku ataupun Residensi Wilayah.
Jadi tak perlulah nak belanja banyak duit! Kalau tak berminat nak beli rumah di Selangor atau Wilayah Persekutuan, kerajaan ada je sediakan rumah mampu milik di setiap negeri yang korang boleh mohon juga! Kalau yang tak mampu lagi tu boleh sewa je dulu rumah PPR serendah RM124 sebulan. Baca lanjut di sini.