Korang Tak Perlukan Semuanya! Ini 4 Tips Mudah Cara Bezakan Keperluan Kehendak
Cara Mudah Untuk Bezakan Keperluan dan Kehendak
Bagaimana cara bezakan keperluan kehendak? Kalaulah kita ada duit yang banyak, mesti rasa nak beli semua benda. Tapi orang-orang B40 macam kita ni hidup nak bayar hutang je, tak kiralah nak bayar sewa rumah, pinjaman peribadi, ataupun loan kereta, semua orang pun mesti berhutang. Kadang-kadang bila dapat gaji atau duit bantuan kerajaan masuk macam Bantuan Prihatin Rakyat, orang boleh lupa sekejap dengan hutang yang diorang ada dan main beli je barang yang sebenarnya diorang tak perlukan pun.
Akhirnya nanti menyesal sebab membazir, padahal duit yang dibelanjakan tu boleh buat guna bayar hutang atau masukkan dalam tabung simpanan. Ada satu benda besar yang korang kena tahu untuk menjadikan situasi kewangan lebih baik iaitu dengan tahu cara untuk membezakan antara keperluan dan kehendak. Bila korang tak tahu cara macam mana nak bezakan antara dua benda tu, macam mana nak berjimat kan?
Cara Bezakan Keperluan Kehendak, Mana Satu Yang Penting?
Bila korang dapat bezakan antara keperluan dan kehendak, ia dapat membantu dalam menjauhkan diri daripada menambah hutang lagi dan capai kebebasan kewangan dengan cepat iaitu bebas daripada hutang. Lagi satu, bila korang dah sedar apa sebenarnya keperluan, secara tak langsung dapat kurangkan perbelanjaan yang tak perlu dan memperbaiki keadaan kewangan.
Senang je cara nak tahu sama ada benda yang korang nak tu satu keperluan atau kemahuan. Korang ikut je tips dekat bawah ni:
1. Ingat “Keperluan Tak Ada, Susah Nak Hidup. Tapi Kehendak, Tak Ada Pun Masih Boleh Hidup”
Cara paling mudah untuk elak daripada beli sesuatu yang tak perlu, korang kena tahu betul-betul apa yang dimaksudkan dengan keperluan dan kehendak.
Keperluan | Kehendak |
Keperluan adalah sesuatu yang korang betul-betul perlukan untuk hidup. Kalau benda tu tak ada, kehidupan korang akan jadi lagi susah atau lagi teruk, tak boleh hidup langsung | Kalau kehendak pula, semua benda lain selain daripada keperluan. Kalau ada, ia dapat menyenangkan hidup korang, tapi kalau tak ada pun tak apa, contohnya macam barang kemas dan permainan konsol. |
Antara contoh keperluan seorang manusia:
| Antara contoh kemahuan:
|
2. Keperluan Pun Boleh Bertukar Jadi Kehendak Kalau Tak Berhati-Hati
Dah tahu apa itu keperluan dan kehendak bagus dah, tapi yang jadi masalah pulak adalah terlalu berbelanja banyak duit untuk sesuatu keperluan. Bila dah jadi macam ni, maksudnya keperluan korang tu dah bertukar menjadi kehendak. Kalau nak lebih faham lagi, dekat bawah ni adalah contoh keperluan yang dah bertukar menjadi kehendak:
- Air: Memang tak dapat dinafikan lagi yang manusia tak boleh hidup tanpa air. Kita semua perlukan air untuk kekal terhidrasi, tapi kalau setiap hari korang beli secawan latte yang berharga RM18 secawan, benda tu dah jadi satu kehendak yang membebankan.
- Makanan: Sama macam air, makanan pun satu benda yang penting untuk buatkan kita kekal bertenaga untuk hidup. Lagi baik kalau kita makan makanan yang berkhasiat daripada ikut kemahuan untuk memenuhi craving makan makanan yang mahal di restoran yang mewah. Sekali makan je dah beratus Ringgit habis!
- Tempat Tinggal: Bajet yang korang peruntukkan untuk tempat tinggal tak semestinya perlu buatkan dompet ‘terkoyak’. Korang boleh je menyewa, atau beli rumah apartment, atau tinggal dalam rumah teres kecil, asalkan ada tempat berteduh. Tapi keperluan ni boleh tukar jadi kehendak kalau korang membelanjakan duit yang sangat banyak untuk membeli rumah yang lebih besar sampai membebankan diri untuk membayar pinjaman bulanan nanti.
- Kenderaan: Tujuan kenderaan adalah untuk lebih senang bergerak ke mana-mana tempat. Kalau dengan motosikal atau kereta tempatan pun dah memadai untuk memudahkan pergerakan, tak perlulah korang nak buat loan yang lebih tinggi untuk kenderaan yang lebih mahal dan mewah, kan? Ni tengok kawan pakai kereta hebat dan canggih sikit je terus nak beli jugak. Susah lah macam tu kan.
3. Sebelum Beli, Wajib Tanya Soalan Ni dekat Diri Sendiri
Sebelum korang nak beli sesuatu, cuba tanya pada diri sendiri sama ada barang yang ada dalam tangan tu satu keperluan atau kemahuan? Korang patut tanyakan soalan seperti:
- Aku perlukan ni ke untuk hidup?
- Kenapa aku perlukan benda ni?
- Aku dah ada benda yang lebih kurang sama dengan barang ni ke belum?
Dengan bertanyakan soalan-soalan ni, mesti rasa nak berbelanja tu berkurangan. Malah, korang pun boleh elakkan daripada membuatkan rumah sarat dengan barang yang takkan dipakai selalu pun. Itu kena berlaku jujur dengan diri sendiri ya! Jangan tipu diri sendiri! Kelak padah menimpa.
4. Terasa Nak Beli Sesuatu? Tunggu Dulu!
Ada teori terkenal di Barat yang diberi nama “Teori 7 Hari”, di mana bila korang ada terasa nak beli sesuatu barang tu, lebih baik kalau tunggu dulu selama 7 hari. Kalau korang masih rasa nak beli benda tu, maksudnya ia memang satu keperluan. Tapi kalau lepas seminggu rasa nak beli tu dah hilang, maksudnya benda yang korang nak beli tu hanyalah satu kehendak. Lagi satu, bila tunggu, korang sebenarnya bagi ruang dekat diri untuk selidik dan fikir betul-betul, adakah pembelian tu nanti akan jadi satu perbelanjaan yang berbaloi atau tidak.
Sebenarnya, berbelanja untuk memenuhi kemahuan sendiri tu boleh je, tapi korang kena sedar yang perbelanjaan tu nanti akan ‘menyakitkan’ duit simpanan. Tak ada orang yang patut berhutang hanya untuk memiliki sesuatu yang diorang tak perlukan untuk teruskan kehidupan. Lagi penting berbelanja untuk keperluan dulu. Nanti yang perlu tak cukup, yang tak perlu membazir je beli. Nak tahu tips simpan duit walaupun sikit boleh baca panduan ini.