Nak Melabur Serendah RM10 Sahaja Tanpa Rugi Dan Dijamin Oleh Kerajaan? Ini Cara Buat Pelaburan ASB
Cara Mudah Buka Akaun ASB Di Kaunter ASNB Atau Bank
Macam mana cara buat pelaburan ASB? Kalau korang baru nak mula melabur, tempat paling rendah risiko dan selamat untuk korang melabur ialah unit amanah harga tetap di bawah Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB). Ini kerana duit yang korang akan laburkan dalam unit amanah ini, nilainya tidak akan berkurang kerana sudah dijamin kerajaan. Setiap tahun nilainya akan bertambah dengan dividen hasil dari pelaburan tersebut.
Kelebihan Melabur Unit Amanah Harga Tetap ASNB
Jadi apa kelebihan melabur dengan ASB ni?
- Korang tak perlu risau jumlah pelaburan akan berkurang kerana harga satu unit amanah = RM 1 sudah dijamin dan ditetapkan oleh kerajaan. (Takkan turun atau rugi)
- Risiko pelaburan ini rendah dan selamat, malah akan bertambah setiap dengan dividen yang diberikan setiap tahun
- Nilai minima pelaburan yang korang kena ada untuk mula melabur ialah serendah RM 10 sahaja. Dengan serendah RM 10 korang dah boleh mula melabur.
Jadi, langkah seterusnya, jom kita tengok cara buka akaun unit amanah ni:
Cara Buat Pelaburan ASB
Cara Buka Akaun Unit Amanah ASB di Kaunter ASNB
Benda pertama korang perlu buat ialah untuk mengunjungi mana-mana pejabat atau cawangan ASNB yang berdekatan dengan korang untuk dapatkan borang pendaftaran ASNB (juga disebut sebagai ASNB DF) atau klik di sini untuk dapatkan borang tersebut secara online. Selepas korang cetak borang tersebut, ikuti langkah ini:
- Isi borang ASNB DF dengan lengkap dan buat salinan borang tersebut. Kemudian dapatkan dan isi borang Pengisytiharan FATCA dan CRS dengan lengkap yang korang boleh dapatkan di sini. Buat juga salinan kad pengenalan korang untuk dikepilkan bersama dengan borang ASB DF.
- Bawa dokumen dalam senarai di bawah ke mana-mana cawangan atau pejabat ASNB yang berdekatan:
- Borang ASB DF yang lengkap diisi
- Salinan Borang ASB DF yang sudah diisi
- Kad Pengenalan Asal
- Salinan Kad Pengenalan
- Borang Pengisytiharan FATCA dan CRS yang lengkap diisi
- Di cawangan atau pejabat ASNB, korang akan diberi borang untuk deposit pelaburan korang seperti gambar di bawah:
Sumber Gambar Mashitah
- Isi borang tersebut dengan butiran diri korang secara lengkap, dan tulis tabung unit amanah harga tetap yang korang pilih untuk laburkan pada borang tersebut, contohnya: ASB. Jumlah pelaburan minima pula serendah RM 10 untuk melayakkan korang untuk melabur pada setiap unit amanah. Had maksima pelaburan untuk setiap unit amanah pula RM 200, 000.
- Ambil nombor giliran dan bila tiba giliran korang, serahkan semua dokumen tersebut serta wang pelaburan pendahuluan kepada staf bertugas di kaunter. Wang tersebut akan dideposit dan proses pembukaan akaun selesai.
- Kemudian staf di kaunter akan menyerahkan salinan borang pelaburan yang korang isi tadi berserta cetakan penyata baki unit akaun korang macam gambar di bawah:
Sumber Gambar blogspot
Cara Buka Akaun Unit Amanah ASNB Untuk Kanak-Kanak Dan Remaja (ASB Remaja/Bijak)
Kalau korang ada anak yang berumur 18 tahun ke bawah, dan ingin membuka akaun unit amanah ASNB untuk mereka, caranya lebih kurang sama cumanya terdapat sedikit perbezaan dan dokumen yang perlu dikepilkan bersama.
- Pada borang ASB DF, korang tandakan dan pilih akaun pada pilihan: Akaun Remaja/Bijak
- Isi borang tersebut dengan butiran anak pada maklumat pemohon, dan butiran korang sendiri pada maklumat penjaga berdaftar.
- Sediakan salinan kad pengenalan kanak-kanak MYKID untuk kanak-kanak yang berusia bawah 12 tahun atau kad pengenalan MYKAD untuk yang berusia 12 tahun dan ke atas, dan kad pengenalan korang sendiri sebagai penjaga berdaftar. Rujuk senarai dokumen di bawah:
- Borang ASB DF yang lengkap diisi
- Salinan Borang ASB DF yang sudah diisi
- Kad Pengenalan kanak-kanak MYKID/MYKAD atau Sijil Kelahiran
- Kad Pengenalan Penjaga Berdaftar
- Salinan Kad Pengenalan kanak-kanak dan Penjaga Berdaftar
- Borang Pengisytiharan FATCA dan CRS yang lengkap diisi
- Langkah yang lain adalah sama seperti di atas dengan membawa dokumen-dokumen ini ke cawangan atau pejabat kaunter ASNB dan deposit wang laburan pendahuluan untuk membuka akaun.
Ketahui Ejen Sah ASNB
Selain cawangan ASNB, korang jugak boleh membuka akaun unit amanah ASNB, tambah atau jual balik pelaburan di mana-mana cawangan ejen sah ASNB iaitu bank-bank berhampiran rumah. Senarai di bawah merupakan ejen yang sah kepada ASNB:
- Maybank
- Maybank Islamic
- CIMB Bank
- CIMB Islamic
- RHB
- RHB Islamic Bank
- Alliance Bank
- Alliance Islamic
- Affin Bank
- Bank Muamalat
- Hong Leong Bank
- Hong Leong Islamic Bank
- POS Malaysia
- Bank Islam
- Affin Islamic
Cara membuka akaun unit amanah di cawangan ASNB ini sama sahaja seperti yang sudah disebutkan sebelum ini seperti di atas, cumanya dokumen-dokumen tersebut diserahkan di cawangan ejen ASNB ini.
Cara Buat Pembiayaan ASB dan ASB 2 (ASBF / ASB Financing)
Bagi mereka yang layak melabur dalam ASB dan ASB 2, korang boleh mengembangkan pelaburan korang dengan melabur melalui pembiayaan ASB dan ASB 2, dalam erti kata lain korang buat pelaburan dengan melalui pinjaman daripada bank. Bank yang menyediakan pembiayaan ini ialah bank-bank yang menjadi ejen sah ASNB seperti senarai di atas. Cara untuk memohon pembiayaan ini:
- Pergi ke mana-mana cawangan bank di atas yang menjadi pilihan korang
- Sediakan dokumen yang diperlukan seperti berikut dan bawa bersama ke bank untuk buat permohonan:
- Salinan kad pengenalan
- Slip Gaji 3 – 6 bulan
- Penyata bank 3-6 bulan
- Penyata KWSP
- Pihak bank akan sediakan borang untuk diisi, isi borang tersebut dan serahkan kepada pegawai bank bersama dokumen tadi.
- Sekiranya pembiayaan lulus, korang akan dihubungi pihak bank dan jumlah pembiayaan tadi akan dilaburkan segera di dalam ASB/ASB 2.
Kelebihan ASBF ini antaranya adalah lebih banyak keuntungan dividen yang korang boleh dapat berbanding simpanan secara sendiri setiap bulan. Ini kerana kiraan dividen adalah terhadap jumlah keseluruhan. Tapi korang perlu bayar setiap bulan dengan komitmen yang tetap lah mcm loan kereta.
Cara Semak Baki & Penyata ASB di Aplikasi myASNB
Sumber Gambar Myasnb
ASNB ada portal dan aplikasi dinamakan MYASNB yang korang boleh gunakan untuk memeriksa baki akaun unit amanah korang. Selain itu, korang juga boleh tambah pelaburan melalui MYASNB dan membuat pengeluaran, namun untuk pengeluaran tak lebih RM 500 sebulan. Daftar MYSNB secara online setelah korang selesai buka akaun unit amanah ASNB. Korang boleh rujuk cara mendaftar MYASNB di panduan berikut:
Panduan: Cara Daftar Portal myASNB
Kesimpulannya, mana-mana unit amanah harga tetap ASNB terutamanya ASB merupakan pelaburan yang paling selamat di Malaysia, kini terpulang kepada kita sama ada hendak memilih untuk melabur atau tidak untuk masa depan yang lebih baik. Nak simpan duit untuk anak masih kecil yang paling berbaloi boleh cuba buka akaun SSPN-i Plus. Baca di SINI