Nak Cuci Barang Kemas Sendiri Di Rumah? Ini 4 Tips Mudah Untuk Anda Ikuti
Cara Cuci Barang Kemas Sendiri Di Rumah (DIY)
Sumber Gambar Youtube
Cuci barang kemas ini bukan perkara asing bagi mereka yang memiliki barang kemas. Barang kemas seharusnya sentiasa kelihatan berkilat dan bersih, tapi jika selalu terdedah pada debu dan kotoran, walau peluh sekalipun dari tangan kita akan menyebabkan barang kemas tersebut kelihatan pudar dan tidak bersinar kerana berlakunya tindakan kimia tanpa kita sedari. Terdapat sesetengah kes, jika barang kemas yang korang pakai seperti cincin tak pernah dicuci, cincin tersebut boleh menjadi tempat pembiakan bakteria dan virus.
Korang boleh mendapatkan khidmat profesional untuk cuci barang kemas korang di kedai-kedai barang kemas, namun kebiasannya khidmat profesional ini tidaklah murah. Tapi kalau korang nak buat sendiri di rumah, ini 4 tips dari pakar sendiri yang korang boleh ikuti bagi setiap jenis barang kemas.
Cara Cuci Barang Kemas Sendiri Di Rumah (DIY)
#1 Cuci Barang Kemas Perak Dengan Cara Ini!
Sumber Gambar WikiHow
Guna Silver Polish
Cara nak cuci barang kemas yang diperbuat daripada perak ini terdapat berbagai-bagai. Namun cara yang paling berkesan yang korang boleh gunakan ialah dengan menggilap barang kemas tersebut dengan menggunakan ‘silver polish‘ yang korang boleh beli di kedai atau Online di sini.
Silver polish ini ialah cara yang paling berkesan dan selamat digunakan untuk bahan kemas perak korang, melindunginya dari kembali pudar atau kotor. Dalam silver polish ini terdapat bahan yang mampu melarutkan dan menanggalkan kotoran pada barang kemas perak, serta memberi salutan perlindungan yang baru dari sebarang debu, kotoran atau cecair yang boleh menyebabkannya pudar dan kotor kembali.
Cara menggunakannya sangat mudah, ambil sedikit silver polish dan sapu pada barang kemas perak yang nak dicuci, kemudian lap dan gilapkan menggunakan kain penggilap sehingga rata. Pastikan guna kain penggilap bagi mendapatkan hasil terbaik.
Guna Baking Soda dan Kertas Aluminium
Selain menggunakan silver polish, cara lain yang korang boleh gunakan dan lebih jimat untuk cuci barang kemas perak ialah dengan menggunakan baking soda dan kertas aluminium. Caranya mudah:
- Sediakan periuk dan balut bahagian dalamnya menggunakan kertas aluminium
- Masukkan air sebanyak satu liter di dalam periuk tersebut dan panaskan
- Masukkan 1-2 sudu baking soda apabila air mula mendidih dan kacau sehingga sebati
- Matikan api dan rendamkan barang kemas perak di dalam sebatian tadi 10-30 saat bergantung dengan tahap kekotorannya
- Keluarkan barang kemas tersebut dan lap menggunakan kain penggilap. Barang kemas tadi akan menjadi lebih bersih dan berkilat.
#2 Cara Cuci Barang Kemas Diperbuat Daripada Emas Dengan Betul!
Sumber Gambar The Spruce
Cuci barang kemas yang diperbuat daripada emas ini sebenarnya agak mudah untuk dilakukan, cukup di rumah korang ada cecair pencuci pinggan dan air. Caranya ialah:
- Sediakan bekas berisi air suam dan masukkan beberapa titik cecair pencuci pinggan dan kacau sehingga sebati menjadi larutan
- Masukkan barang kemas emas korang di dalam larutan tadi dan rendam minimum selama 5 minit. Kalau kotorannya besar atau degil, rendam lebih lama pun tak apa.
- Goncangkan sedikit barang kemas tadi dalam larutan tersebut sebelum dikeluarkan dari larutan tadi.
- Beruskan dengan berus gigi terutamanya di tempat yang mempunyai kotoran degil
- Bilas dengan air bersih kemudian lap dengan kain penggilap. Barang kemas tadi akan tampak lebih bersih dan berkilat dari sebelumnya.
#3 Cuci Batu Permata Supaya Bersinar Kembali!
Sumber Gambar Gem-A
Bagi barang kemas yang mempunyai batu permata, korang boleh gunakan cara yang serupa untuk mencuci barang kemas emas seperti di atas namun terdapat sedikit perubahan yang korang perlu lakukan. Gunakan air berkarbonat atau air soda bagi menggantikan air biasa. Hal ini kerana proses pengkarbonan dalam air soda yang bercampur dengan cecair pencuci pinggan mampu untuk menanggalkan kotoran dan serpihan yang terperangkap pada batu permata dan juga menjadikannya lebih berkilat.
#4 Di Rumah Ada Mutiara Juga? Jangan Risau, Ini Cara Mencucinya
Sumber Gambar MINDAT
Cara cuci barang kemas mutiara ini jarang dikongsikan namun kalau korang ada barang kemas yang mempunyai mutiara, jangan risau, tips ini memang khas untuk korang. Mutiara merupakan salah satu barang kemas yang terhasil dari mineral haiwan, iaitu tiram. Ini menjadikannya mempunyai liang-liang kecil yang semula jadi yang boleh memerangkap habuk dan kotoran, lalu mudah hilang kilauan. Mutiara juga mesti dicuci dengan berhati-hati.
Peraturan pertama dalam mencuci mutiara ialah jangan sesekali merendamnya seperti kita mencuci emas, perak atau batu permata kerana ini boleh menyebabkan mutiara tadi menjadi rapuh dan merosakkan permukannya. Untuk mencuci mutiara, boleh ikuti cara ini:
- Campurkan air suam dan beberapa titik syampu lembut sehingga menjadi larutan.
- Letakkan barang kemas mutiara tadi di atas kain lembut dan bersih.
- Ambil berus solek dan celupkan dalam larutan tadi dan sapu pada mutiara dengan lembut sehingga rata pada semua permukaan
- Tekapkan mutiara tadi dengan kain lembap yang bersih pada semua permukaan, dan tekapkan sekali lagi dengan kain kering yang bersih dan biarkan sehingga kering.
- Kotoran pada mutiara akan tertanggal dengan lebih selamat dan menjadikannya lebih berkilat.
Itu 4 tips untuk korang cuci barang kemas yang berbeza untuk korang cuba buat di rumah. Namun diingatkan, kalau kotoran tersebut sangat susah ditanggalkan, yang terbaik ialah untuk korang dapatkan khidmat profesional. Nak raya ni boleh lah bersihkan barang kemas yang entah setahun sekali agaknya kita bersihkan tu, tapi hari-hari pakai. Kalau yang baru nak beli barang kemas tu boleh baca tips di SINI