Berniaga Sendiri atau Kerja Kontrak Tiada Slip Gaji. Macam Mana Nak Buat Loan? Inilah Caranya!
Cara Mohon Pinjaman Bank Jika Tiada Slip Gaji
Tips Nak Apply Loan di Bank Kalau Tiada Slip Gaji
Selama korang bekerja sendiri, tak kiralah sama ada buka kedai runcit ke, buat bisnes jual kek ke, mesti pernah lalui situasi di mana susah nak buat pinjaman atau loan dengan bank sebab tak ada slip penyata gaji. Biasanya, bank lagi senang nak luluskan pinjaman dekat orang yang ada kerja tetap sebab ada jaminan duit akan masuk setiap bulan dalam akaun bank.
Berbeza dengan orang yang berniaga sendiri ataupun yang bekerja secara gaji harian seperti upah potong sayur, toreh getah dan sebagainya, duit yang masuk tak tentu jumlahnya dan juga dapat secara tunai iaitu tiada rekod kemasukan duit dalam bank. Dan biasanya orang yang bekerja sendiri dan yang tak ada slip gaji ni mesti akan hadapi masalah bila nak buat loan dengan bank. Maksudnya, orang yang berniaga sendiri atau dapat gaji tunai secara harian ni tak boleh buat loan sendiri ke?
Sebenarnya, boleh je kalau orang yang kerja sendiri ni nak dapat kelulusan daripada bank untuk buat loan. Cuma ada beberapa langkah yang korang kena buat dululah, barulah bank senang nak luluskan permohonan loan korang.
1. Simpan Rekod Kewangan
Bila nak buat loan, bank selalunya akan tengok rekod kewangan orang yang nak mohon tu. Diorang nak tengok sama ada peminjam akan mampu bayar balik tak loan yang dipinjam. Untuk orang yang kerja makan gaji, pihak bank senang nak luluskan sebab diorang ada sumber pendapatan yang tetap setiap bulan.
Kalau orang yang meniaga dan tak ada slip gaji ni, tak ada apa-apa yang boleh bank rujuk untuk tengok kestabilan pendapatan setiap bulan. Jadi, kalau ada simpan rekod kewangan syarikat, proses di pihak bank akan jadi lagi mudah. Benda yang korang boleh buat adalah:
- Pastikan syarikat berdaftar dengan SSM.
- Buka akaun semasa atas nama syarikat, dan masukkan semua pendapatan, dan keluarkan segala perbelanjaan melalui akaun semasa tu. Pastikan penama syarikat dengan akaun bank tu orang yang sama. Jangan pula syarikat nama korang dan akaun bank pula guna nama isteri.
- Setiap bulan, keluarkan ‘gaji’ daripada akaun semasa syarikat, dan masukkan dalam akaun simpanan peribadi. Jangan pula korang keluarkan sampai habis. Pastikan kedua-dua akaun masih ada baki.
- Kekalkan proses ni selama 6 hingga 12 bulan, dan sentiasa pastikan ada aktiviti keluar-masuk duit dalam akaun korang. Sebab nanti bila bank tengok penyata kewangan, akan nampak aliran tunai bakal peminjam adalah cantik.
2. Jangan Lupa Simpanan
Sumber Gambar OhBulan
Kalau korang nak buat bank betul-betul percaya dengan sumber pendapatan korang, cuba sedaya-upaya korang untuk buat simpanan seperti di dalam KWSP, ASB atau Tabung Haji sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun. Kalau boleh, korang kena lakukan deposit atau simpanan tu setiap bulan, barulah bank betul-betul percaya yang korang ni ada pendapatan yang kukuh.
Selain tu, dengan adanya simpanan ni, bolehlah tunjuk dekat bank bahawa adanya simpanan wang yang boleh tanggung korang kalau ada terkena apa-apa musibah secara tiba-tiba.
3. Isytiharkan Cukai Pendapatan
Tak semua tapi ada segelintir orang yang berniaga ni mesti kalau boleh nak lari daripada bayar cukai. Sebenarnya korang kena tahu betapa pentingnya kenyataan cukai pendapatan dalam membantu untuk mendapat kelulusan dari pihak bank.
Pembayaran cukai ni adalah satu bukti yang diisytiharkan kepada kerajaan justeru bank akan lagi yakin nak bagi pinjam loan kalau korang adalah seorang pembayar cukai. Masa nak apply loan tu, korang boleh bawa kenyataan cukai pendapatan selama tiga tahun yang lepas dan pastikan pula bayar cukai tu tepat pada masanya!
4. Cari Seorang Penjamin
Nak kukuhkan lagi reputasi korang pada pihak bank, boleh cari penjamin yang boleh dipercayai dan dapat menyokong pinjaman korang tu. Penjamin tu perlu ada kedudukan kewangan yang kukuh dan kerja yang tetap, barulah pihak bank boleh percaya nak benarkan diorang jadi penjamin.
Dalam masa yang sama, korang juga kena bagitahu penjamin mengenai keupayaan sebenar diri sendiri untuk membayar loan bank nanti, sebab nanti kalau ada apa-apa hal diorang yang kena dulu.
5. Melakukan Kerja Sambilan
Sumber Gambar Microsoft News
Antara satu sebab yang biasa bank bagi untuk tolak permohonan orang bekerja sendiri adalah sebab diorang tak ada pendapatan yang stabil. Kalau korang nak elakkan benda tu daripada terjadi, korang bolehlah cuba bekerja secara sambilan. Jadi bolehlah simpan slip gaji kerja sambilan tu dan jadikannya bukti bahawa ada pendapatan minimum setiap bulan. Tak tahu nak buat kerja sambilan apa? Suri rumah boleh tengok sini. Kalau nak buat kerja sambilan hujung minggu sahaja pulak boleh baca sini.
Tak Ada Slip Gaji? Pastikan Ada 5 Dokumen Ni Sebelum nak Apply Loan
Secara ringkasnya, kalau korang tiada slip gaji, sediakan 5 dokumen penting ni sebelum memohon pinjaman di bank.
- Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Kalau syarikat korang daftar sebagai ‘enterprise’ korang kena bawa borang E.
- Penyata akaun bank syarikat (akaun semasa). Kalau korang ada gaji sendiri, bawa juga penyata akaun bank sendiri. Sediakan sekurang-kurangnya penyata 6 bulan yang terkini.
- Pastikan korang dah langsaikan cukai taksiran. Slip pengesahan penerimaan e-B bagi tahun taksiran dan bukti pembayaran kalau guna e-filing.
- Slip CCRIS yang korang boleh ambil dari Bank Negara. Pastikan CCRIS korang berada dalam keadaan yang baik.
- Kalau ada simpanan yang baik, sediakan juga dokumen sokongan simpanan tersebut.
Kerja sendiri ni best sebab tak ada orang yang akan mengarah-arah. Tapi yang tak bestnya bila bank susah nak luluskan permohonan nak buat loan. Tapi masalah ni boleh je diatasi bila korang ikuti tips-tips dekat yang diberitahu tadi. Kalau nak buat pinjaman beli kereta pula boleh baca sini