Kewangan

Perlu Ke B40 Simpan Emas? Ini Kelebihan Dan Tips Simpan Emas Wajib Tahu

Kelebihan Dan Tips Simpan Emas Khusus Bagi Golongan B40

Simpan Emas

Sebut sahaja tentang emas, mesti semua orang ingat mahal dan boleh ke kalau B40 simpan emas? Kalau pandai jimat boleh je kita beli dan simpan emas tau. Semua orang tahu, hidup sebagai golongan B40 bukanlah perkara mudah. Tetapi tahukah korang bahawa menyimpan emas mungkin boleh menjadi langkah bijak bagi menambahkan sedikit harapan dalam kesejahteraan kewangan anda?

Nilainya yang tidak pernah menyusut sebelum ini dan telah menjadikan ia sebagai satu aset kewangan paling stabil selain sifatnya yang mudah dicairkan apabila perlu. Tengok je lah macam mana orang dulu-dulu ‘simpan’ duit? Mereka beli emas dan tanah. Sejak zaman dahulu lagi, emas dijadikan sebagai sumber pelaburan. Ya betul, emas bukan hanya untuk mereka yang berada dalam kelas atasan, tetapi juga boleh memberikan manfaat yang besar kepada golongan B40. Betul ke golongan B40 perlu menyimpan emas?

Kelebihan Simpan Emas Berbanding Duit Kertas

Simpanan Jangka Masa Panjang

Percayalah, kita tak perlu pun menjadi pakar kewangan untuk simpan emas. Ia adalah pelaburan yang mudah difahami dan boleh memberikan manfaat jangka panjang. Seperti yang semua sedia maklum, emas menunjukkan prestasi konsisten dalam mengekalkan nilai dan memberikan pulangan yang memuaskan.

Kalau duit tu tetap duit juga dan selalunya kita mesti akan terhabis belanja dan susah untuk menyimpan. Bila beli emas bermaksud kita berjaya selamatkan duit gaji sebelum ‘terbelanja’. Oleh itu, golongan B40 boleh memanfaatkan peluang ini untuk menjana keuntungan sambil menjaga kestabilan kewangan bagi jangka masa panjang.

Tambah Pendapatan

Korang mungkin terkejut, tetapi dengan simpan emas juga boleh menjadi sumber pendapatan pasif. Bagaimana? Ada beberapa cara! Antaranya korang boleh menyimpan emas dalam bentuk simpanan tetap atau dalam pelaburan emas yang boleh menghasilkan keuntungan atau pendapatan tahunan. Pendapatan tambahan itu juga boleh memberi sokongan kewangan tambahan kepada keluarga kita. Jadi, selain daripada gaji bulanan, korang juga boleh menikmati lebihan wang tanpa perlu buat kerja tambahan!

Bersiap Sedia untuk Masa Depan

Emas bukan hanya pelaburan semata-mata, tetapi ia juga mengajar kita tentang perancangan dan disiplin kewangan. Dengan simpan emas, secara tidak langsung kita sedang merancang kestabilan kewangan untuk masa depan. Ia adalah langkah bijak untuk menghadapi cabaran dan mencapai matlamat kewangan dalam jangka masa panjang.

Emas

Sumber: Habib Jewels

Tips Simpan Emas Untuk Golongan B40

Pelaburan emas ini sebenarnya tak makan modal yang besar pun dan tak salah kalau kita mulakan dengan modal yang rendah dulu. Tapi, korang jangan terus melabur pulak. Korang kena tahu dulu antara tips simpan emas setiap bulan supaya tak tersalah langkah.

 

1. Buat Perancangan Awal

Sebelum memulakan penyimpanan emas, kita kena pastikan mempunyai matlamat kita itu jelas. Adakah tujuan kita untuk melindungi nilai harta dari inflasi, mencari pelaburan jangka panjang, atau sekadar memiliki cadangan kecemasan? Mengetahui matlamat ini akan membantu kita membuat keputusan yang lebih bijak mengenai jumlah emas yang perlu disimpan dan tempoh penyimpanan yang sesuai.

 

2. Beli Ikut Kemampuan

Korang tidak perlu melabur jumlah besar untuk memulakan penyimpanan emas. Terdapat pelbagai jenis emas yang boleh dipilih seperti jongkong, koin, barang kemas mahupun pelaburan. Mulakan dengan membeli berdasarkan gram yang tidak terlalu berat dan ikutlah bajet atau kemampuan masing-masing. Pelbagaikan jenis emas untuk disimpan dapat membantu mengurangkan risiko dan memberikan fleksibiliti dalam pelaburan kita.

Pastikan korang memahami perbezaan antara jenis-jenisnya sebelum membuat keputusan.

 

3. Lakukan Kajian Pasaran

Sebelum membeli, luangkan masa untuk melakukan kajian pasaran. Bandingkan harga dan penawaran dari pelbagai penjual atau institusi kewangan. Ini akan membantu kita untuk mendapatkan harga dan nilai terbaik bagi sejumlah wang yang kita laburkan.

Sentiasa pantau prestasi harga emas dan semak semula perancangan kita dari semasa ke semasa. Keadaan pasaran boleh berubah dan kemungkinan kita perlu membuat penyesuaian strategi penyimpanan emas mengikut keadaan semasa.

 

4. Penyimpanan yang Selamat

Pastikan emas yang kita simpan selamat. Pilih tempat penyimpanan yang selamat dan terlindung daripada risiko seperti kecurian atau kerosakan. Terdapat dua cara penyimpanan emas sama ada di institusi kewangan atau rumah kita sendiri.

Apapun kaedah penyimpanan yang kita pilih, Kalau boleh jangan lah canang satu dunia kita beli emas dan hindari memberitahu sesiapa, kecuali individu yang sangat dipercayai, mengenai di mana dan bagaimana korang menyimpan emas. Kita tak nak benda buruk berlaku kan.

 

5. Jangan Terburu-Buru Untuk Menjual

Emas adalah pelaburan jangka masa panjang. Jangan terburu-buru untuk menjualnya. Simpan emas ini boleh memberikan manfaat yang lebih baik dan berbaloi jika korang bersabar serta memberikan peluang kepada pelaburan tersebut untuk berkembang.

Kalau nak untung besar kenalah sabar menunggu. Baru lah berbaloi kan? Sabar itu kan sebahagian daripada iman.

 

 

Jadi, adakah perlu golongan B40 menyimpan emas? Jawapannya jelas – YA!

Emas bukan hanya untuk golongan atasan, tetapi ia adalah satu alternatif bijak untuk golongan B40 yang ingin meraih kesejahteraan kewangan. Dengan perlindungan nilai, potensi pelaburan jangka panjang, likuiditi dalam keadaan kecemasan, dan peluang pendapatan pasif menjadikannya satu aset pelaburan atau kewangan yang bagus.

Memang tak dapat dinafikan bahawa emas membantu dalam kestabilan dan kejayaan kewangan kita. Jadinya, marilah kita mula menyimpan emas dan menambahkan sedikit sinar dalam hidup kita. Justeru, tiap kali gaji kena juga berjimat untuk beli emas kan? Boleh baca 7 Perkara Wajib Buat Untuk Elak Gaji Habis Awal.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button