5 Sebab Kenapa Penting Duit Bila Berkeluarga
Ramai yang seronok melihat rakan-rakan kita mula berumah tangga. Tapi tak ramai yang faham akan kepayahan dan cabaran selepas berkahwin tu. Sebab berumahtangga bukan sentiasa happy je tau! Ada masa dugaan dan rintangan menimpa, jadi kesusahan juga perlu ditanggung bersama.
Duit adalah benda paling penting sekali bila kahwin dan berkeluarga. Bukan cinta sahaja ya! Tak percaya? cuba fikir balik nak kahwin orang lelaki mesti sediakan duit paling kurang mas kahwin. Lepastu dah kahwin nanti nak bagi nafkah dekat isteri pun guna duit. Jadi memang tak boleh dinafikan duit tu penting kan?
Sumber Gambar Bernama
Berdasarkan laporan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, lebih 17,000 kes penceraian disebabkan kewangan. Terbukti, isu duit dalam rumah tangga ni memang sangat penting. Jika kedua-dua pasangan tak benar-benar memahami situasi kewangan masing-masing dan bertolak ansur, pasti memberi kesan buruk di kemudian hari.
Sebab duit sahaja pun boleh sehingga bercerai tau! Jangan main-main. Mula-mula bertengkar suami isteri, lepastu anak-anak pula dimarahi atau silap haribulan boleh jadi kes penderaan anak-anak dan juga isteri. Hal ini jugak boleh bagi kesan pada pekerjaan korang. yelah bila balik rumah makin stress prestasi kerja pun boleh jadi bertambah teruk.
Sebab itu sebelum nak kahwin tu perlu fikir kewangan dah cukup stabil belum. Kenapa duit tu penting bila dah berkeluarga? Berikut adalah 5 perkara yang korang kena urus sesudah kahwin :-
1. Nak sara hidup anak orang! Bukan jaga perut sendiri je.
Sebagai seorang suami, isteri itu amanah. Dia datang dari keluarga lain yang selama ini ditanggung bapanya. Ingat, bukan sekadar nafkah batin je kena bagi. Nafkah zahir juga penting. Jadi, sebagai ketua rumah, perlu sediakan makan, minum, tempat tinggal dan pakaian. Itu sebab pentingnya duit bila berkeluarga.
Tak perlu jauh la. Kalau sebelum ini duit nak makan sendiri pun tak pernah cukup, takkan nak tanggung bayar untuk 2 orang pula?
Apa Korang Boleh Buat?
Isteri perlu turut bekerja atau mempunyai gaji, lagi-lagi di zaman ekonomi tengah teruk ni. Mereka perlu faham kondisi suami dan berazam untuk sama-sama bantu satu sama lain. Kata dulu susah senang bersama, dah lupa ke pada janji? Paling tak pun buat kerja sampingan di rumah. Tak tahu nak buat kerja apa? Baca sini. Zaman sekarang pun ramai dah suami isteri bekerja untuk sara keluarga.
2. Tempat tinggal nak kena ada, takkan nak menumpang je rumah mertua
Pentingnya duit bila berkeluarga ini. Mungkin mak ayah bagi tinggal di rumah mereka pada awal perkahwinan. Soalnya, sampai bila korang nak duduk kat situ? Mereka mungkin tak buka mulut sebab anak sendiri kan takkan nak halau, tapi korang sendiri kena lebih sensitif. Takkan korang nak sentiasa susahkan mak ayah yang telah kita susahkan sejak kita bayi lagi?
Apa Korang Boleh Buat?
Tak salah menyewa rumah. Sewa rumah flat pun tak apa sebagai langkah awal. Tak perlu terus nak duduk rumah teres atau rumah idaman. Ya betul memang sekarang ni rumah nak sewa mahal, nak beli lagi lah tak mampu kan. Boleh baca sini tuntuk tips mencari rumah sewa murah.
3. Nak kena bayar komitmen bulanan, duit minyak atau transport pergi kerja
Bila sudah berkeluarga, kita memang tak boleh lari dengan komitmen bulanan. Komitmen ini sebenarnya termasuklah kos keperluan untuk kita jalani kehidupan seharian
Selama ini kita membujang, kita tak susah dan risau soal bil elektrik, bil air, bil indah water, bil internet, minyak motor dan lain-lain lagi. Ni bila dah sewa rumah sendiri, ada motor atau kereta nak pergi kerja dan hantar isteri pergi kerja, semua perlu dibayar.
Apa Korang Boleh Buat?
Suami dan isteri perlu rancang kewangan dan buat belanjawan tahunan. Dari situ korang boleh agak yang mana boleh dikurangkan atau ditambah. Contohnya bil telefon mungkin boleh ambil pakej ‘subline’ yang selalu digunakan oleh suami isteri dan lebih murah berbanding plan atau pakej asing-asing.
4. Dah ada anak nanti nak beli susu, pampers, bayar pengasuh / sekolah pulak
Memang rezeki tak pernah salah alamat. Anak-anak juga adalah rezeki buat kita dan yang paling penting amanah untuk dijaga. Kadang-kadang orang tu tak dilimpahi rezeki kaya dengan harta kewangan, tapi rezeki dikurniakan anak yang ramai. Banyak belanja yang diperlukan terutamanya ketika anak masih kecil. Begitu pentingnya duit bila berkeluarga
Waktu masih bayi nak kena beli susu formula, lepastu pampers atau lampin pakai buang lagi. Yelah mak ayah kerja dua-dua mana sempat mak nak bagi susu ibu je, atau basuh lampin kitar semula. Susu dengan pampers je seorang anak dah dekat RM70 sebulan. Ni belum campur nak bayar pengasuh untuk jaga anak bila mak bapak kerja. Yang atuk nenek boleh tolong jaga tu kira untung lah.
Apa Korang Boleh Buat?
Rancang keluarga. Rezeki, Allah boleh bagi bila-bila masa tapi kita boleh rancang sebenarnya agar kita tidak menzalimi amanah yang diberi. Macam mana nak rancang? Boleh pergi ke klinik kesihatan berdekatan dan dapatkan nasihat atau rawatan daripada pakar. Jangan malu nak pergi jumpa doktor. Jangan pula bila dah beranak dan tak mampu untuk menjaganya, anak itu dibuang pula. Kesian bayi yang tidak bersalah diperlakukan sebegitu rupa.
Sumber Gambar Facebook
5. Nak juga merasa makan sedap atau bercuti bersama keluarga kan?
Ini lumrah kita semua sebagai manusia. Sesekali kita mesti nak merasa makan kat kedai sedap-sedap, melaram baju dan tudung baru atau berseronok jalan-jalan makan angin. Ini sebenarnya kehendak. Oleh itu, bila ada duit lebih je boleh kita buat. Yakni selepas kita telah langsaikan kos dan komitmen keperluan untuk hidup. Tapi kalau makan pun asyik cukup-cukup je? Bila nak ada lebihnya?
Apa Korang Boleh Buat?
Buat tabung untuk satu-satu kehendak. Semakin murah kehendak kita, semakin cepat kita dapat penuhi. Contoh nak makan KFC dalam bulan tu. Simpan sehari RM1, 30 hari dah dapat RM30 boleh dapat 2 set KFC. Itu belum dikira kalau anda bersungguh-sungguh buat duit sampingan tahu?
Budaya jimat dan merancang kewangan perlu kita buat seawal mungkin. Kita kahwin dengan pasangan sebab kita sayang dia dan nak sehidup semati dengan dia. Untuk memastikan rumah tangga itu kekal sejahtera, memang nak tak nak pentingnya untuk ada duit bila berkeluarga. Bagi yang muslim, jangan lupa sentiasa berdoa pada Allah agar menjaga keamanan dan keharmonian keluarga. Boleh amalkan doa ini setiap kali lepas solat, inshaAllah berkekalan hingga ke syurga.