Cari Kerja Tapi Tak Dapat-Dapat? Hindari 4 Dosa Besar Atau Kesilapan Semasa Temuduga!
4 Kesilapan Yang Selalu Dilakukan Semasa Temuduga
“Apa lah kesilapan semasa temuduga yang aku dah buat tak dapat-dapat kerja ni?” Mungkin dah bermacam-macam kedai yang sudah korang keluar masuk, daripada kedai pakaian di shopping mall, kedai makan dan restoran, sehinggalah kerja sebagai pak guard, masih belum dipanggil untuk bekerja. Mungkin rezeki masih belum tiba, tapi boleh jadi juga punca tak dapat kerja yang dimohon adalah disebabkan beberapa kesilapan semasa temuduga yang korang buat semasa nak minta kerja tu. Nak tahu kat mana salahnya? Baca lanjut di bawah.
4 Kesilapan Semasa Temuduga yang Selalu Dilakukan Semasa Memohon Kerja
1. Pakaian Macam Nak Pergi Pasar
Sumber Gambar Pestabuku
Walaupun korang nak minta kerja di shopping mall, tak bermakna korang boleh walk-in ke dalam kedai minta kerja dengan pakai baju jersi dan berselipar je. Di mana-mana tempat yang orang mahu cari pekerja pun, gambaran pertama pemohon kerja tu paling penting. Bila korang pakai pakaian yang terlalu kasual, lagi-lagi hanya memakai selipar, ia mungkin memberi gambaran yang korang ni seorang yang selekeh dan tak mementingkan penampilan fizikal.
Sebaliknya, bila korang nak pergi cari kerja tu, cuba pakai pakaian yang nampak lebih kemas. Daripada pakai baju jersi, korang boleh pakai kemeja lengan pendek atau baju-T berkolar. Tak perlu nak masukkan baju dalam seluar (tuck-in) pun, sebab asalkan korang pakai kasut dan bukannya selipar, korang dah memperbaiki penampilan korang berkali-kali ganda.
Sama kes juga dengan rambut. Bila nak mohon kerja tu, pastikan rambut korang disikat dengan kemas. Kalau lelaki, boleh pakai minyak rambut atau gel rambut dan kalau perempuan yang berambut panjang pula, boleh ikat rambut korang untuk nampak lebih kemas. Yang bertudung pun pakailah tudung dengan kemas dan yang telah digosok. Pasti majikan lebih tertarik untuk ambil pekerja yang kelihatan kemas dan rapi.
2. Perangai Tak Molek
Sumber Gambar Freesumes
Satu benda yang kena ingat waktu nak mohon kerja adalah tingkah laku perlu sentiasa sopan. Pastikan senyum dan bertutur dengan bahasa dan suara yang lembut. Orang takkan berminat nak ambil orang yang bermasam muka dan kurang ajar untuk bekerja, lagi-lagi kalau kerja tu melibatkan interaksi dengan pelanggan.
Ada beberapa benda penting yang korang kena jaga masa temuduga, iaitu:
- Jabat tangan dengan erat untuk menunjukkan keyakinan diri
- Duduk dalam keadaan badan yang tegak dan tidaklah nampak seperti orang malas
- Sentiasa melakukan hubungan mata (eye-contact) dan tidak pandang ke tempat lain semasa panel temuduga sedang bercakap
- Bercakap dengan yakin kerana temuduga ni nak tengok sejauh mana tahap keyakinan korang, jadi cakap je selagi boleh, orang kata hentam je. Tapi kalau betul-betul tak tahu cakap jelah tak tahu dan saya akan cuba cari jawapan tu.
Semakin banyak tanggapan positif yang korang tinggalkan pada bakal majikan, semakin tinggi peluang korang untuk dapatkan kerja tu!
3. Diam Seribu Bahasa
Pastikan masa korang nak mohon kerja tu, tunjukkan minat pada bakal majikan dan nampakkan kesungguhan nak minta kerja tu. Tumpukan perhatian kepada apa yang dikatakan oleh bakal majikan dan jangan lupa untuk mengangguk! Mungkin korang fikir, “Eleh, angguk je pun?” tapi percayalah, benda yang kecil ni lah yang akan dilihat oleh bakal majikan. Bila mengangguk sewaktu diorang bercakap, ia menunjukkan gambaran yang korang sedang menumpukan perhatian dan berminat dengan kerja tu.
Jangan lupa juga untuk bertanya soalan! Bila bertanya soalan, itu tandanya korang telah menumpukan perhatian sepanjang temuduga tu. Boleh juga sediakan soalan siap-siap untuk ditanyakan sebelum temuduga nanti.
Tips penting: Di penghujung temuduga tu, pastikan cakap pada bakal majikan tu yang kerja ni memang sesuai dan korang sangat berminat untuk bekerja bersama diorang. Dengan ini kita dapat tunjuk pada majikan yang kita benar-benar berminat nak bekerja di syarikat itu bukan hanya mencuba nasib.
4. Terlalu Memilih Kerja atau Demand Gaji
Waktu temuduga nanti, bila bakal majikan tanya berapa gaji yang korang jangka, janganlah pula terlalu demand dan letakkan gaji yang terlalu mahal. Kalau tiada pengalaman, memang kena terima je berapa gaji yang ditawarkan. Tapi kalau dah ada pengalaman sikit, bolehlah bagitahu majikan yang korang ada pengalaman dan sepatutnya dibayar gaji lebih sikit. Kalau kerja atau tugas yang diberikan agak berat, tak salah untuk minta gaji tinggi sikit barulah setimpal dengan kerja yang dibuat. Tapi korang mesti bagitahu yang ianya boleh dibawa bincang atau orang cakap boleh ‘nego’ agar tidak nampak keterlaluan.
Soal memilih kerja pula, perlu diingat jika keadaan terlalu terdesak untuk dapatkan kerja, korang tak boleh memilih sangat hanya nak kerja yang korang suka buat, yang tak suka tak nak. Tak salah ambil je dulu peluang pekerjaan yang ada, nanti bila dah ada gaji mungkin boleh beli baju baru dan pergi temuduga dekat tempat yang lebih besar gaji.
Jadi tak kiralah kalau korang cari dan mohon banyak kerja sekalipun, tapi kalau masih lakukan 4 kesilapan semasa temuduga peluang korang untuk mendapat kerja yang dimohon mungkin agak rendah. Jadi, jangan lupa untuk berlatih dan tampil bersedia bila korang nak mohon kerja nanti! Sebelum keluar cari kerja tu pastikan buat dulu 3 perkara INI.