AgamaInformasi

Malam Jumaat Baca Surah Yasin Atau Al-Kahfi? Ini Penjelasannya

Hukum Bacaan Surah Yasin Atau Kahfi Pada Malam Jumaat

Malam jumaat baca surah yasin atau kahfi? Kelazimannya hari khamis malam jumaat, surau-surau dan masjid-masjid pastinya akan membuat bacaan Surah Yasin dan tahlil secara berjemaah. Sejak dari kecil lagi kita dah biasa baca yasin pada malam Jumaat kan? Tak salah pun sebenarnya cuma kebelakangan ini ada yang bangkitkan isu bacaan surah Al-Kahfi atau surah Yasin lebih baik pada malam tersebut? Jangan risau di sini akan dikongsikan jawapan hasil perkongsian seorang ustaz di negara kita.

Bukanlah menjadi masalah pun untuk membaca mana-mana surah dalam Al-Quran malah digalakkan lagi untuk membacanya. Ini kerana berdasarkan sebuah hadis, Abdullah bin Mas’ud menyatakan, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia melakukan satu kebajikan. Dan satu kebajikan itu dilipatgandakan sepuluh kali. Saya tidak mengatakan Alif Lam Mim itu satu huruf, melainkan Alif itu satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Sunan Tirmizi).

Malam Jumaat Baca Surah Yasin Atau Surah Al-Kahfi? Ini Penjelasannya

Persoalan yang ramai tanya mengenai malam jumaat baca surah Yasin atau surah Al-Kahfi telah dijelaskan oleh Ustaz Azhar Idrus menerusi Facebook beliau dan berikut adalah penjelasannya:

Hukum Bacaan Surah Yasin

Membaca surah Yasin adalah besar pahalanya kerana termasuk dalam perintah yang umum dalam agama iaitu anjuran membaca Al-Quran.

Dari Abi Umamah Al-Bahili ra katanya : Saya mendengar Rasulullah saw bersabda :

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِى يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لأَصْحَابِه
Ertinya : “Bacalah kamu sekelian akan Al-Quran. Kerana ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafa’at bagi orang-orang yang suka membacanya.” (Hadith Muslim)

Dari Abi Hurairah ra adalah Rasulullah saw bersabda :

مَنْ قَرَأَ يس فِيْ لَيْلَةٍ اِبْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ غُفِرَ لَهُ
Ertinya :“Siapa yang membaca Yasin pada malam hari dengan mengharapkan keredhaan Allah maka akan diampunkan (dosa) baginya .” (Hadith At-Tabarani, Baihaqi & Ibn Hibban)

Hukum Bacaan Surah Yasin Pada Malam Jumaat

Adalah harus untuk malam jumaat baca surah Yasin atau pada malam mana sahaja yang berkelapangan. Ia juga boleh dibuat sama ada secara sendirian atau berkumpulan kerana tidak ada dalil yang melarang membaca Yasin pada malam Jumaat mahupun malam yang lain.

Dari Abi Hurairah ra Rasulullah saw bersabda :
وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Ertinya : “Tidaklah berkumpul satu kaum di salah satu rumah Allah (masjid) sambil membaca Al-Quran dan saling bertadarus bersama-sama, maka akan turun ketenangan atas mereka dan rahmat Allah akan meliputi mereka dan para malaikat akan melindungi mereka dan Allah menyebut mereka dikalangan makhluk-makhluk yang berada di sisi-Nya” (Hadith Muslim)
 
Apakah betul menentukan malam jumaat sahaja untuk membaca Yasin?
Sebaiknya tidaklah menentukan malam jumaat sahaja untuk mebaca Yasin sekalipun ada hadis yang menyebut tentang membaca Yasin pada malam jumaat.
Bukankah hadith membaca Yasin pada malam jumaat itu dhaif?
 
Benar hadith tersebut dhaif.
Bolehkah kita beramal dengan hadith yang dhaif?
 
Berselisih ulama pada beramal dengan hadith dhaif itu kepada 3 pendapat. Pendapat jumhur ulama ialah boleh beramal dengan hadith dhaif tetapi hanya untuk amalan sunat atau fadhilat sahaja, tidak boleh untuk berhujjah.
Bukankah beramal dengan hadith dhaif itu dikira bida’ah?
 
Tidak benar. Bidaah ialah beramal dengan tanpa dalil. Hadith dhaif termasuk dalil sekalipun tidak sekuat dalil hadith sahih atau hasan.
Surah apakah yang afdhal dibaca pada malam jumaat?
 
Yang afdhal dibaca pada malam jumaat atau hari jumaat ialah surah Al-Kahfi.
Dari Abu Sa’id al-Khudri ra Rasulullah bersabda :
مَنْ قَرَأَ سُوْرَةَ الْكَهْفِ فِي يَوْمِ الْجُمْعَةِ أَضَآءَ لَهُ مِنَ النُّوْرِ مَا بَيْنَ الْجُمْعَتَيْنِ
Ertinya : “Barangsiapa membaca surat Al-Kahfi pada hari Jumaat maka akan terpancar cahaya baginya di antara dua Jumaat.” (Hadith Al-Hakim dan Al-Baihaqi)
 
Jika dibaca surah Al-Kahfi pada malam atau hari selain jumaat apakah hukumnya?
 
Harus hukumnya membaca surah al-Kahfi pada hari atau malam selain jumaat tetapi membacanya pada malam jumaat atau hari jumaat afdhal sebagaimana disebutkan di dalam hadith.
Bagaimana orang-orang yang sudah biasa membaca Yasin pada malam jumaat?
 
Tidak menjadi sebarang kesalahan dan apa yang telah mereka amalkan selama ini mendapat pahala cuma afdhal dibaca surah Al-Kahfi pada malam jumaat. Hadith-hadith sahih menyebut siapa membaca Quran akan mendapat pahala dan kelebihan samada bacaannya itu hukumnya harus atau afdhal.
Adakah mesti tinggalkan amalan yang sudah sekian lama iaitu membaca Yasin pada malam jumaat?
 
Bukan ditinggalkan tetapi elok ditambah bacaan Al-Kahfi dibaca bersama Yasin inshaAllah berlipat kali ganda pahalanya.
Bagaimana perkataan orang-orang yang mengatakan hanya malam jumaat dimestikan membaca Yasin?
 
Perkataan tersebut adalah salah kerana tidak ada seorang pun ulama yang mewajibkan bacaa Yasin pada malam jumaat atau mengatakan surah Yasin hanya boleh dibaca pada malam jumaat sahaja.
Jadi apakah yang sebaiknya kita amalkan berkenaan perkara ini?
 
Bacalah Al-quran setiap hari sama ada sedikit atau banyak dan yang sudah mengamalkan membaca Yasin pada malam jumaat maka teruskanlah dan tambah satu lagi surah iaitu surah Al-Kahfi kerana sepakat ulama pada afdhal membacanya pada malam jumaat.
Dan baca juga surah Yasin dan surah-surah yang lain pada malam-malam selain Jumaat atau siangnya bila berkesempatan kerana bila saja pun dibacakan Quran pasti akan mendapat ganjaran yang besar disisi Allah.
Wallahua’lam
Jadi selepas ini tak perlu lagi keliru malam jumaat baca surah Yasin atau surah Kahfi kan? Kalau pergi masjid atau surau, jemaah semua membaca surah Yasin, tak salah pun untuk kita sama-sama ikut baca. Yang afdhalnya kita tambah lah bacaan surah Kahfi selepas itu atau balik rumah nanti. Dah tahu ilmu ni, apa kata share pada orang lain agar semua dapat manfaat. Nak tahu cara semak umur mengikut Kalendar Islam boleh baca di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button