RumahInformasi

Nak Sewa Atau Beli Rumah? Ramai Tersilap Langkah Akhirnya Hutang Bertambah & Membebankan. Baca Ini

Kelebihan & Kekurangan Sewa Atau Beli Rumah

Bila dah semakin dewasa ni, kita mesti dalam dilema sama ada nak beli atau sewa rumah. Terutamanya bagi mereka yang baru nak memulakan hidup selepas berkahwin dan berkeluarga. Tapi ukuran nak beli atau sewa ini tetap satu, iaitu kemampuan kewangan korang. Jadi mana satu yang lebih baik sama ada sewa atau beli rumah? Sama-sama kita tengok kebaikan dan kekurangan untuk sewa dan beli rumah ni dulu sebelum buat keputusan besar dalam hidup kita.

Kebaikan & Kekurangan Sewa Atau Beli Rumah

Mungkin masing-masing ada pendapat tersendiri mengenai kelebihan sewa atau beli rumah ini, tapi di bawah ini kami kongsikan sedikit pengalaman serta kajian kami terhadap topik ini: 

Kelebihan Sewa Rumah

  • Bayaran Sewa Bulanan dan Pendahuluan yang Rendah 

Jumlah wang yang diperlukan untuk mula menyewa ialah lebih rendah berbanding membeli rumah. Jadi kalau memang tak banyak duit pada ketika itu, menyewa adalah pilihan yang tepat.

Katakan korang nak sewa kondominium di Puchong yang kalau nak beli berharga RM 460,000, kadar sewa biasanya sekitar RM 1500 untuk unit tersebut. Duit pendahuluan atau deposit yang korang perlukan pula biasanya 2 bulan = RM 3000. Kalau nak beli rumah ini biasanya perlu deposit 10% dah RM46,000 dan komitmen bulanan pinjaman bank pula lebih kurang RM 1800. Lagi mahal kan? 

Deposit sewaan biasanya korang akan dapat balik setelah habis tempoh menyewa atau boleh digunakan untuk menyelesaikan baki sewaan bulan terakhir korang. Tapi kalau korang tak jaga rumah sewa tu memang kena tolak jugak la nanti duit deposit tu untuk baiki kerosakan

So, dengan menyewa, korang mempunyai lebih wang di dalam tangan untuk dilaburkan atau disimpan untuk kecemasan, punya lebih wang juga bermaksud punya lebih pilihan sekiranya berdepan situasi yang melibatkan masalah kewangan.

  • Tempoh Kontrak Pendek & Rendah Risiko, Kalau Kena Pindah Tak Perlu Risau.

Tempoh kontrak untuk sewa rumah kebiasannya maksima setahun, bergantung kepada perjanjian antara penyewa dan tuan rumah. Malah ada yang sesingkat satu bulan sahaja. 

Risiko yang ditanggung pula rendah kerana korang boleh tamatkan kontrak sewa korang bila-bila masa sahaja jika terpaksa berpindah atau mempunyai masalah kewangan. Berbeza dengan beli rumah, korang kena cari penyewa atau jual rumah tersebut kalau dalam situasi ini kerana korang ada komitmen pinjaman yang besar dengan bank.

Jadi kalau menyewa, tiba-tiba tempat kerja kena pindah negeri lain, tak ada masalah besar sangat mengenai rumah tu. Berbanding kalau beli perlu ambil masa untuk jual rumah tersebut ataupun mencari orang untuk disewakan.

Sumber Gambar washingtonpost

  • Jimat Duit Untuk Penyenggaraan Rumah

Tanggungjawab untuk menyenggara rumah contohnya sinki tersumbat, atap bocor dan sebagainya kebiasannya akan dikendalikan oleh tuan rumah, jadi korang boleh jimat duit daripada perlu keluar kos sendiri. Namun ia bergantung pada jenis kerosakan juga, kalau korang sendiri yang memang sengaja rosakkan benda tu, kena tanggung sendiri lah kos kan. 

Kekurangan Sewa Rumah

  • Tidak Mempunyai sebarang Aset Hartanah

Kalau korang berterusan menyewa, kekurangannya adalah tidak mempunyai aset hartanah terutamanya sebagai pelaburan masa depan. Kebanyakan hartanah harganya meningkat setiap tahun, kerana itu banyak orang membeli hartanah lebih awal sebagai pelaburan jangka panjang, sama ada untuk dijual balik setelah harga meningkat atau untuk diwariskan kepada keluarga mereka.

  • Tak Bebas Nak Ubahsuai atau Renovasi Rumah Seperti Cat

Korang tidak boleh sebarangan melakukan pengubahsuaian atau renovasi ke atas rumah sewa tanpa kebenaran tuan rumah, apatah jika boleh menyebabkan perubahan atau kerosakan kekal. Jadi, korang agak terikat sekiranya nak tukar warna cat, atau tebuk dinding nak pasang penyangkut dan sebagainya, semuanya memerlukan kebenaran tuan rumah terlebih dahulu.

Sumber Gambar istockphoto

Kelebihan Beli Rumah

  • Tak Perlu Takut Dihalau Tuan Rumah Atau Kadar Sewa Naik

Korang akan berasa lega apabila sudah mempunyai rumah sendiri kerana nasib korang untuk menyediakan bumbung buat diri sendiri dan keluarga tak bergantung pada mana-mana pihak lain lagi. Ini juga bermaksud, tak perlu memikirkan takut dihalau tuan rumah atau kenaikan kadar sewa.

  • Mempunyai Aset Hartanah sebagai Pelaburan

Mempunyai rumah bermaksud korang mempunyai aset hartanah yang harganya berpotensi untuk naik pada masa hadapan. Ini juga bermaksud aset hartanah yang korang ada merupakan pelaburan untuk masa hadapan. Bayangkan bayaran bulanan pinjaman rumah sama dengan bayaran sewa bulanan, paling tidak selepas 30 tahun, korang dah ada rumah sendiri berbanding mereka yang sekadar menyewa selama 30 tahun tetapi akhirnya duit itu habis begitu sahaja. 

  • Bebas Nak Renovasi Atau Ubahsuai Rumah

Kalau beli rumah, korang boleh buat sebarang pengubahsuaian atau renovasi terhadap rumah tersebut sebebasnya kerana korang sendiri adalah tuan rumah. Cat rumah boleh ditukar setiap kali tahun baru tanpa perlu minta izin sesiapa. Jangan dirobohkan rumah tu seluruhnya sudahlah ya untuk buat bangunan baru, nanti kena saman dengan Majlis pulak. 

Kekurangan Beli Rumah

  • Ansuran Bulanan Pinjaman Rumah dan Pendahuluan yang Tinggi

Jumlah wang yang diperlukan terutamanya pada permulaan untuk membeli rumah sangat tinggi berbanding dengan sewa rumah. Ini tak disebut bayaran bulanannya lagi.

Katakan korang nak beli kondominium di Puchong berharga RM 460,000:

Ansuran Bulanan: RM 1859(ansuran bulanan) + RM 250(kos penyelenggaraan). 

Ansuran bulanan dihitung berdasarkan tempoh pinjaman 30 tahun dengan faedah 3.5% dan bayaran pendahuluan 10%. Ini bermaksud ansuran bulanan ini akan lebih tinggi jika kadar faedah lebih tinggi.

Kos Pendahuluan: 

  • Bayaran Pendahuluan 10%    = RM 46,000
  • Kos Penutupan 4%                = RM 18,400
  • Kos insurans rumah 3%         = RM 13, 800

Jumlah                                 = RM 78,200

Jadi korang kena bayar dalam RM78,200 banyak juga kan? Mana nak cari duit sebanyak ni kalau masih muda dan baru bekerja ataupun berkeluarga.

  • Tempoh Pinjaman yang Lama dan Tidak Fleksibel

Pinjaman rumah biasanya selama 30 tahun bersamaan dengan 360 bulan. Itulah tempoh komitmen ansuran bulanan yang korang perlu bayar dan kontrak pinjaman rumah bukan seperti kontrak sewa rumah yang boleh ditamatkan bila-bila masa. Sekiranya korang tak mampu membayar ansuran bulanan kepada pihak bank, bukan sahaja rumah akan ditarik, malah nama korang bakal disenarai hitam dan boleh diisytihar muflis.

Sumber Gambar thebalance

Kesimpulannya, nak sewa atau beli rumah? Berbalik kepada kemampuan kewangan masing-masing. Kalau rasa mampu nak bayar ansuran bulanan pada masa yang panjang, ada simpanan yang banyak dan selesa nak tinggal satu lokasi sahaja, maka belilah rumah. Jangan beli hanya kerana tekanan sekeliling atau ketika banyak hutang Jika tiada pendapatan yang stabil, tidak mahu terbeban dengan komitmen yang panjang dengan bank dan sering berpindah lokasi untuk kerja, maka sewalah rumah.

Kalau nak beli rumah, tapi rasa rumah sekarang ni mahal-mahal sangat, jangan risau. Kerajaan ada sediakan pelbagai skim untuk tolong rakyat membeli rumah pertama. Boleh baca di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button