Korek Telinga / Hidung Batal Ke Puasa? Swab Test Puasa Sah? Ini Perkara Batal Puasa
Senarai Perkara Atau Benda Yang Membatalkan Puasa
Masih ramai yang keliru perkara yang membatalkan puasa seperti korek telinga, korek hidung masih sah ke puasa? Jangan risau kalau masih tertanya soalan ini korang bukan seorang je, ramai juga yang tanya. Tambahan pula sekarang ini dengan pandemik COVID-19 yang masih belum habis di mana ada yang melakukan ujian calit atau swab test. Persoalannya adakah terbatal puasa kerana ujian tersebut memerlukan calitan dibuat di dalam hidung atau tekak.
Tak perlu risau kerana pihak bertanggungjawab seperti jabatan agama telah pun menjelaskan jawapan kepada permasalahan ini. Apa yang penting kita faham dan tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa ini. Perkara yang makruh dilakukan semasa berpuasa juga patut kita elakkan agar memperoleh pahala. Untuk penjelasan lanjut, sila baca ulasan penuh di bawah.
Senarai Perkara – Perkara Batal Puasa
Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat tujuh perkara yang membatalkan puasa iaitu:
1. Makan dan minum. Batal sama ada sedikit ataupun banyak.
2. Sampainya ain kepada rongga tengah badan melalui laluan yang terbuka.
- Ain ini bermaksud fizikal sesuatu yang terlihat pada mata.
- Ruang tengah termasuklah bahagian otak, dan bahagian bawah halkum, perut dan terus ke kemaluan depan dan belakang.
- Laluan terbuka adalah lubang mulut, hidung, qubul dan dubur
3. Muntah dengan sengaja
4. Persetubuhan. Sekalipun tidak mengeluarkan air mani.
5. Onani iaitu mengeluarkan air mani
6. Datang darah haid atau nifas
7. Gila dan Murtad
Berdasarkan MuftiWP juga, semuanya membatalkan puasa apabila dilakukan secara sengaja (kecuali gila), sekiranya tidak sengaja, terlupa dan dipaksa, maka tidak batal. Rujuk Fiqh al-Manhaji (1/241-245).
Penggunaan Inhaler Pesakit Asma
Menurut tarjih MuftiWP setelah melihat pendapat para ulama, mereka lebih cenderung mengatakan bahawa penggunaan inhaler di siang hari bulan Ramadhan untuk pesakit asma yang serangannya tidak terkawal adalah tidak membatalkan puasa. Begitu juga sebarang penyakit kronik yang memerlukan penggunaan inhaler ketika serangan adalah diharuskan. Dicadangkan juga pengguna tersebut hendaklah berkumur-kumur selepas selesai menggunakannya.
Sumber: MuftiWP
Korek Hidung Atau Korek Telinga Batal Ke?
Berdasarkan Pendakwah Da’i Syafiqah, kes korek telinga dan hidung boleh dikategorikan kepada tiga keadaan:
- Sewaktu kita tiada hajat atau maksudnya tidak gatal dalam hidung atau telinga tetapi sengaja kita korek saja-saja, hukumnya adalah makruh.
- Seandainya kita berhajat, contohnya ada sesuatu di dalam hidung atapun telinga dan rasa gatal, barangkali jika tidak korek boleh mengganggu keselesaan diri, justeru dibolehkan dan diharuskan untuk kita mengoreknya.
- Satu lagi keadaan di mana hukumnya boleh membatalkan puasa. Suka diingatkan bahawa antara perkara yang membatalkan puasa adalah memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka seperti mulut, hidung, telinga dan kemaluan.Cumanya perlu tahu had untuk rongga tersebut, jika melebihi had berkenaan, ia boleh membatalkan puasa. Contohnya:
- Had telinga adalah batin telinga yang bahagian dalam
- Had rongga hidung adalah pada pangkal batang hidung ataupun bahagian hidung yang ada tulang
Maka kesimpulannya menurut beliau adalah:
- Jika kita masukkan sesuatu ain ataupun korek melebihi had sempadan ruang rongga tersebut, ia boleh membatalkan puasa
- Jika kita korek hidung atau telinga ketika berhajat dan tidak melebihi sempadan had tersebut, ia tidaklah membatalkan puasa
Sumber: Sinarharian
Hukum Swab Test Ketiga Sedang Berpuasa
Apakah hukum membuat ujiat calitan pengesanan COVID-19 atau Swab Test Ketika berpuasa? Menurut MuftiWP, swab test atau ujian saringan COVID-19 yang menggunakan kaedah Nasopharyngeal swab (melalui hidung) dan Oropharyngeal swab (melalui tekak) yang dijalankan ketika sedang berpuasa adalah tidak membatalkan puasa. Ini disebabkan calitan yang diajalankan melalui dua kaedah tersebut tidaklah sampai ke kawasan rongga dalam
Sekarang ni dah tahu perkara yang membatalkan dan tidak membatalkan puasa bolehlah kita terus beribadah dengan lebih yakin. Pastikan share ilmu ni pada orang lain juga agar semua sama-sama faham. Tak ada lah nanti yang pening masih boleh puasa ataupun dah terbatal. Nak tahu amalan apa yang boleh dilakukan oleh para wanita yang datang haid dan tidak boleh berpuasa boleh baca lanjut di SINI