KewanganCara Mudah

Nak Keluar Duit KWSP? Ketahui 4 Perkara Boleh Buat Dengan Duit Tu Agar Berbaloi

4 Benda Boleh Buat Dengan Pengeluaran Duit KWSP i-Sinar

Pada 16 November yang lalu, pihak KWSP ada buat pengumuman mengenai kebenaran untuk mengeluarkan duit simpanan daripada akaun 1 buat mereka yang terkesan (hilang kerja, diberi cuti tanpa gaji, dan tiada sumber pendapatan) dengan pendahuluan maksimum sebanyak antara RM4,000 hingga RM10,000. Bantuan ni dijangka akan dapat membantu 2 juta orang yang terkesan. Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai cara pengeluarannya, korang boleh baca di SINI.

Kalau korang termasuk dalam golongan yang terkesan, dan akan memohon untuk pengeluaran duit simpanan dari akaun 1, mesti masing-masing dah ada rancangan sendiri nak buat apa dengan duit simpanan tu nanti. Ada yang nak biaya komitmen sendiri dan keluarga sementara tunggu kerja baru, ada yang nak gunakan untuk perbelanjaan harian, dan macam-macam lagilah.

Korang kena ingat yang duit simpanan ni dikeluarkan sebab betul-betul terdesak je. Jangan pula korang gunakan duit simpanan tu untuk berjimba pula, nanti menyesal bila pencen kelak, duit yang ada tinggal sikit je. Untuk mengelakkan pembaziran atau duit simpanan yang dikeluarkan tu habis begitu je, ni ada 4 benda yang korang boleh buat dengan duit KWSP tu.

Video Panduan

4 Benda Boleh Buat Dengan Pengeluaran Duit KWSP i-Sinar

Ni antara beberapa cadangan apa yang korang boleh buat dengan duit yang dikeluarkan daripada KWSP agar berbaloi dan bermanfaat buat anda dan keluarga.

1. Buat Modal Berniaga

Sumber Gambar Mforum

Adalah lebih baik kalau duit simpanan tu korang gunakan untuk jana pendapatan sementara menunggu peluang pekerjaan baru tiba. Malah, korang boleh dapat lebih daripada duit yang dikeluarkan kalau jualan tu menguntungkan. Ada macam-macam benda yang korang boleh niagakan dan tak perlukan modal yang besar pun. Boleh buka gerai air tepi jalan, atau jual pisang goreng, atau buah-buahan potong, dan semua hanya menggunakan modal yang sedikit. Untung kasar jual air tepi jalan sebulan boleh cecahRM4,000 kot! Tak percaya baca sini.

Kalau korang tinggal di Wilayah Persekutuan KL, Putrajaya dan Labuan, baru-baru ini Menteri Wilayah Persekutuan dah pun benarkan semua orang untuk membuka gerai di mana-mana kawasan yang sesuai di Wilayah Persekutuan dan korang tak perlu bayar pun untuk permit meniaga sehingga 15 April tahun depan. Boleh mohon secara percuma di pejabat cawangan pihak berkuasa tempatan masing-masing ataupun nak mohon secara online pun boleh.  Jangan risau kalau apa yang dijual tak laku, sebab sekarang ni korang boleh jual online juga. Hanya daftar di grabfood atau foodpanda ataupun boleh buat delivery sendiri. 

2. Beli Motosikal untuk Jadi Rider

Sumber Gambar Mycompass

Dalam musim pandemik ni, makin ramai orang memilih untuk makan di rumah dan menggunakan perkhidmatan rider je seperti FoodPanda dan GrabFood untuk menghantar makanan diorang. Jadi, dengan duit simpanan yang ada, korang bolehlah beli motosikal secara tunai. Bukan je dapat elak daripada buat loan dengan bank, malah korang dapat beli dengan harga yang lebih murah lagi sebab tak perlu bayar interest atau faedah kalau beli secara ansuran.

Syarat pengeluaran akaun 1 KWSP pun adalah untuk mereka yang kehilangan kerja atau diberikan cuti tanpa gaji. Jadi bila dah ada motor, boleh lah korang bekerja semula sebagai rider dan dapat pulangan berkali ganda ada yang sampai RM4000sebulan. Silap-silap dapat cover duit korang beli motor tu siap dapat untung lagi. Kalau tak minat hantar makanan banyak lagi jenis rider korang boleh cuba. Tengok sini.

3. Membeli Laptop atau Telefon untuk Menjadi Dropship

Sumber Gambar Mycompass

Kalau korang jenis lebih suka buat kerja di rumah, bolehlah gunakan duit simpanan yang dikeluarkan tu untuk membeli laptop atau telefon. Dua benda ni korang boleh jadikan alat untuk jana pendapatan secara online di rumah sahaja, dan salah satu caranya adalah dengan menjadi ejen dropship. Cuba kaji dulu benda apa yang sering dibeli orang, dan daftarkan diri korang menjadi ejen untuk jenama tersebut.

Tak susah pun nak daftar jadi ejen dropship ni, search je dekat internet ‘ejen dropship’ mesti banyak keluar. Nak jual pun sekarang tak susah, terdapat banyak platform yang boleh digunakan. Yang lagi best percuma je! Contohnya Shopee, Lazada, Facebook, Instagram, dan Whatsapp pun boleh. Kalau daftar dengan jenama terkenal ni, kadang tak perlu iklan atau marketing sungguh-sungguh pun sebab orang dah tau produk tu, silap-silap diorang yang datang cari kita. Boleh untung sehingga RM100 sehari! Ini contohnya.

4. Selesaikan Hutang untuk Elak Penalti

Sumber Gambar Buletin daily

Akhir sekali, mungkin ada beberapa pinjaman bank atau kad kredit yang korang tak mampu bayar beberapa bulan sebelum ni kerana kehilangan kerja. Bila dah dapat keluarkan duit simpanan nanti, lebih baik kalau semua tunggakan pinjaman tu dibayar dahulu secepat mungkin. Kalau korang lambat-lambat bayar akan dikenakan penalti pula. Lepastu, makin bertambah pula hutang yang perlu dilangsaikan. Kalau hutang kereta tak bayar boleh kena tarik, dah takde kereta pulak. Kan makin pening nanti. Tapi kalau nak guna duit tu untuk modal dahulu pun boleh, nanti dah dapat untung kena cepat-cepat bayar lah.

Ternyata bila dapat mengeluarkan duit simpanan daripada akaun 1 KWSP, ia dapat membantu ramai orang yang terkesan. Tapi kena jaga-jaga juga, sebab memandangkan duit yang akan korang dapat tu dalam jumlah yang besar, pastikan ia dibelanjakan pada hal-hal yang sepatutnya je dan jangan lakukan sebarang pembaziran. Jadi, bolehlah cuba 4 cadangan yang diberikan kat atas untuk memastikan duit simpanan korang tak habis macam tu je!

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button