Sumber Gambar Yokohama
Kalau korang ada kereta atau motorsikal, korang mesti tahu betapa pentingnya tayar sebagai komponen kenderaan yang terdedah dengan permukaan jalan setiap hari. Malah tak kurang juga kemalangan berlaku disebabkan tayar kenderaan yang tidak terjaga. Jadi, ini 5 perkara tentang tayar kereta yang korang wajib ambil tahu!
1. Kod dan Spesifikasi Tayar – Info Penting Bukan Setakat Nombor!
Sumber Gambar careta
Kalau korang perhatikan tayar kereta korang, biasanya ada kod yang terdapat pada tayar tersebut. Dan setiap tayar yang dikeluarkan secara sah oleh pengilang akan mempunyai butiran dari jenis, saiz, keupayaan sehinggalah minggu dan tahun keluarannya. Ini sebagai panduan untuk pilih tayar yang sesuai untuk kereta korang.
Contoh kod tayar yang biasa terdapat di Malaysia: 195/55R1687V
Kod | Perincian |
195 | Lebar tayar dalam unit mm |
55 | Peratusan ketinggian tayar dari lebar tayar |
R | Radial(Tayar dalam bentuk bulatan) |
16 | Saiz Rim untuk tayar dalam unit inci |
87 | Had maksimum beban yang ditanggung tayar |
V | Kod had maksimum kelajuan untuk tayar |
Setiap huruf pada hujung kod tayar tak semuanya sama, contohnya huruf ‘V’ ini melambangkan had laju 240 km/jam. Jadi, korang tak boleh pandu melebihi had laju tersebut jika menggunakan tayar ini. Jangan dapat kereta Kancil tapi memecut laju macam Ferrari, memang cari nahas. Untuk huruf lainnya korang boleh rujuk di bawah:
Kod | Had Laju (km/jam) |
S | 180 |
T | 190 |
U | 200 |
H | 210 |
V | 240 |
Z | Lebih 240 |
W | 270 |
ZR | Lebih 270 |
Y | 300 |
(Y) | Lebih 300 |
Untuk kod 2519 macam gambar di bawah ini pula merujuk minggu dan tahun pengeluaran:
Sumber Gambar carsome
25 = Minggu ke 25 dalam Tahun 2019
19 = Tahun 2019
Jadi, pilihlah tayar yang sesuai dengan gaya pemanduan dan kereta korang, serta semaklah supaya korang tak terbeli tayar yang sudah terlalu lama tarikh pengeluarannya, kerana kebiasannya tayar yang tahun pengeluarannya dah lama lebih murah berbanding dengan yang baru. Tayar baharu yang berusia lebih daripada lima tahun masih boleh digunakan tetapi tayar akan menjadi keras kerana getah tayar dah tamat tempoh penggunaannya.
2. Tekanan angin tayar kereta
Sumber Gambar carsome
Dah tahu jenis tayar kena tahu pula pasal angin dalam tayar. Masa korang pam tayar kereta, kena pastikan tekanan angin tayar kereta pada kadar optimum, tak boleh terlebih atau terkurang kerana kedua-duanya akan menyebabkan tayar kereta korang haus lebih cepat. Malah bukan sekadar akan memberi kesan kepada tayar, penjajaran stereng dan suspensi kereta korang pun boleh terjejas.
Macam mana nak tahu tekanan angin yang sesuai untuk tayar kereta korang? Rujuk panduan yang biasanya terdapat tepi pintu kereta korang macam dalam gambar berikut ni:
Sumber Gambar klezcarlundang
Kalau korang lihat pam angin di stesen minyak, sebelum pam, pastikan tengok dahulu sama ada pam tersbeut menggunakan unit kPa atau PSI. Contohnya kalau pam angin stesen minyak Petronas ada menunjukkan kedua-dua unit tersebut dan telah diselaraskan antara satu sama lain. Contoh kalau ikut gambar di atas, set tekaanan angin yang sesuai dengan menekan butang ‘+’ sehingga ke unit 210kPA atau 31 PSI, kemudian pam tayar sehingga bunyi ‘beep’ daripada mesin pam menandakan telah selesai.
Sumber Gambar jilolakaka
3. Balancing (Penyeimbangan) dan Allignment (Penjajaran) Tayar Kereta yang Betul
Sumber Gambar tirediscounter
Setiap kali korang menukar tayar kereta yang baru, tayar tersebut mestilah melalui proses penyeimbangan dan penjajaran untuk memastikan jangka hayat tayar korang lebih lama dan tidak haus secara tidak sekata seperti dalam gambar di atas.
Balancing atau penyeimbangan ialah proses di mana mekanik akan meletakkan pemberat pada rim tayar bagi memastikan putaran tayar kereta korang seimbang dan sekata, jika tak seimbang, korang akan mengalami gegaran berlebihan pada stereng ketika memandu.
Alignment atau penjajaran pula ialah proses yang menyelaraskan sudut tayar oleh mekanik bagi memastikan kereta korang bergerak dalam keadaan lurus apabila stereng diluruskan. Kalau masa korang memandu, kereta korang tersasar dari landasan sedangkan stereng sudah diluruskan, maksudnya dah kena hantar bengkel buat allignment lah tu.
Kos termasuk upah untuk buat penjajaran tayar biasanya sekitar RM 20-RM 50 dan untuk penyeimbangan tayar pula sekitar RM 5-RM10 untuk satu tayar so kalau buat 4 tayar dalam RM20 – RM40 . Ini hanyalah harga anggaran ya, tapi hati-hati juga, jangan terpedaya kalau ada bengkel caj korang dengan harga tak masuk akal.
4. Bila Kena Tukar Tayar Kereta?
Ada beberapa perkara yang korang kena perhatikan pada tayar kereta sebagai tanda tayar tersebut sudah sampai masanya untuk ditukar iaitu:
Tayar kereta haus
Korang perhatikan tayar kereta korang, jika bar dalam bulatan merah tersebut dah separas atau selari dengan bunga tayar, itu maksudnya tayar kereta korang sudah cukup haus untuk ditukar
Sumber Gambar pandulaju
Tayar Merekah dan Tayar Tua
Tayar sebaiknya ditukar jika sudah merekah kerana itu merupakan salah satu petanda tayar tersebut ialah tayar lama. Tayar yang tua juga iaitu 6-10 tahun melepasi tempoh masa pengeluarannya juga mesti ditukar atas faktor keselamatan. Tayar yang dipakai pada kereta juga selalunya elok sehingga 3 atau 4 tahun bergantung pada penggunaan kereta dan juga kekerapan di atas jalan.
Tayar bengkak atau rosak
Jika keadaan tayar korang sudah bengkak atau rosak, itu petanda tayar itu wajib ditukar kerana akan membahayakan pemanduan korang atas jalan raya, terutamanya jika tayar tersebut jadi sentiasa kurang dan hilang angin. Kalau terus pakai juga silap-silap boleh meletup dan mengancam nyawa tau!
5. Pemeriksaan Tayar
Korang disarankan untuk memeriksa keadaan tayar setiap selang waktu 10,000 km pemanduan. Namun, kalau korang rasa gegaran yang berlebihan terutamanya pada stereng ketika memandu, atau kereta tak bergerak lurus, itu pun tanda yang dah kena buat pemeriksaan tayar secepatnya.
Dah tahu lima perkara penting tentang tayar kan? Jadi perlu sentiasa ambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan tayar kereta korang dalam keadaan baik, bukan sekadar nak elak hakisan, tapi juga penting untuk keselamatan diri sendiri dan juga orang tersayang. Nak tahu tips jimat minyak boleh baca SINI