Apa Perlu Buat Selepas Banjir Surut. Antaranya Keringkan Dulu Alat Elektrik Baru Guna!
Apa Perlu Buat Selepas Banjir Surut
Sumber Gambar UMP
Ramai lagi tak tahu apa perlu buat selepas banjir surut sebenarnya kan. Sehari dua ni, keadaan cuaca di Malaysia sangat tak menentu. Hujan turun tak henti-henti, kadang-kadang seharian hujan turun tanpa ada tanda untuk berhenti. Dan akibat daripada hujan yang turun lama ni, beberapa kawasan rendah dan tempat yang mempunyai sistem saliran yang kurang elok akan dilanda banjir. Cuaca yang teruk ni sampai memberi kesan yang buruk kepada ramai orang kerana jalan-jalan tak dapat diredah, dan rumah-rumah pula ditenggelami air hingga paras bumbung.
Bagi kawasan yang sentiasa dinaiki air, mungkin mereka sudah bersedia terlebih awal sebab dah pernah laluinya sebelum ni. Tapi bagi mereka yang pertama kali menjadi mangsa banjir seperti banjir kilat iaitu air naik secara tiba-tiba, korang boleh baca tips persediaan sebelum dan semasa banjir berlaku di SINI.
Apa Perlu Buat Selepas Banjir Surut? Ini Antara Langkahnya
Bila air banjir surut, dan pihak berkuasa dah benarkan korang untuk pulang ke rumah masing-masing kerana situasi dah selamat, ada banyak benda yang perlu dilakukan. Mungkin korang akan rasa sedih dengan harta benda yang rosak disebabkan banjir, keluarga kelaparan dan mungkin terdedah kepada penyakit, sampai tak tahu dekat mana patut mula dulu.
Dekat bawah ni, kitorang senaraikan perkara-perkara apa perlu buat selepas banjir surut, supaya lebih memudahkan korang yang mungkin masih terkejut akibat banjir yang berlaku.
Tangkap Gambar atau Video
Sumber Gambar Facebook
Benda pertama sekali yang korang kena buat apabila pulang ke rumah adalah untuk merekodkan segala apa yang berlaku pada rumah. Korang boleh tangkap gambar ataupun rekod video. Pastikan korang lakukan ni sebelum mula bersihkan rumah sebab ia akan dijadikan bukti semasa nak claim insurans nanti (kalau ada).
Pakai But dan Sarung Tangan
Sumber Gambar Kaodim
Sebelum nak bersihkan rumah, pastikan korang pakai pakaian yang menutup seperti but dan sarung tangan. Ada kemungkinan lumpur-lumpur yang masih tersisa di rumah tu mengandungi beratus jenis bakteria yang boleh membuatkan korang sakit kalau tak pakai pakaian perlindungan. Yang penting sekali, elakkan anak daripada bermain dengan lumpur banjir sebab diorang lagi senang untuk jatuh sakit.
Periksa Kerosakan Harta Benda
Bila banjir dah surut dan korang dah boleh pulang ke rumah, periksa seluruh rumah. Tengok kalau-kalau ada tanda rekahan pada rumah yang boleh mendatangkan bahaya. Periksa juga kalau ada apa-apa binatang berbisa dan berbahaya yang tersesat masuk ke dalam rumah semasa banjir. Kalau ada terus telefon bomba untuk bantu korang.
Sumber Gambar Eksposkaltim
Selain tu, korang juga kena periksa kalau ada saluran paip air atau gas yang bocor. Peralatan elektrik yang tenggelam juga perlu dikeringkan dahulu sebelum digunakan. Periksa juga kalau ada bahan bakar seperti petrol yang mengalir masuk ke dalam rumah. Buang semua makanan yang dah rosak terkena air banjir.
Buangkan Air dan Lumpur
Sumber Gambar Berita Harian
Gunakan penolak air untuk membuang segala air yang masih bertakung di dalam rumah. Dalam masa yang sama, ia juga boleh digunakan untuk menolak lumpur keluar dari rumah. Mungkin ada sesetengah tempat yang korang perlu gunakan kain dan mop untuk mengelap sisa-sia lumpur. Gunakan baldi untuk membilas lantai dengan air bersih. Kalau ada waterjet boleh juga guna untuk lebih mudah.
Keringkan Rumah
Sumber Gambar Kaodim
Walaupun dah gunakan penolak air tu untuk membuang air, lantai korang pasti masih terasa lembap. Hidupkan kipas dengan kelajuan maksimum dan gunakan kipas boleh alih untuk mengeringkan bahagian-bahagian yang tersorok atau tempat yang jauh daripada kipas siling. Sebelum tu, pastikan semua perkakas elektrik dah dibersihkan dan dikeringkan terlebih dulu sebelum dihidupkan.
Bersihkan Barang-Barang Lain
Sumber Gambar Utusan Borneo
Bila lantai, dinding, dan benda-benda besar dah dibersihkan, tiba pula masa untuk bersihkan barang-barang kecil seperti alatan dapur dan pinggan mangkuk. Gunakan sabun semasa mencuci dan gosok betul-betul supaya tak ada kotoran tertinggal. Selain tu, korang juga digalakkan untuk membasuh semua pakaian dua kali, untuk lebih selamat.
Pergi Jumpa Doktor Sekiranya Sakit
Air banjir boleh membawa bermacam-macam jenis penyakit. Malah kawasan yang dibiarkan lembap untuk satu tempoh yang lama, boleh menyebabkan kulat hidup dengan subur. Ada beberapa jenis kulat boleh menyebabkan alergi dan asma. Kalau ada sesiapa dalam ahli keluarga korang yang menunjukkan simptom-simptom sakit, cepat-cepat ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan.
Bak kata orang, malang tu tak berbau. Kalau korang menjadi salah satu daripada mangsa banjir untuk tahun ni, jangan rasa berputus asa. Teruskan kehidupan dan belajar daripada apa yang pernah berlaku dalam hidup korang. Semoga dipermudahkan semuanya. Jadi dah tahu kan apa perlu buat selepas banjir surut, kalau nak tahu persiapan sebelum berlakunya banjir boleh baca lanjut di SINI