Anak Nak Masuk Tadika? Ada 10 Perkara yang Ibu Bapa WAJIB Tahu!
Tips Hantar Anak Baru Masuk Tadika
Antara salah satu kenangan indah untuk anak (dan semestinya ibu bapa) adalah hari pertama anak nak masuk tadika. Ia merupakan satu transisi perkembangan yang besar sebab waktu tu lah kali pertama dia akan belajar bersama-sama rakan-rakan yang lain, berinteraksi dengan orang-orang baru, dan lakukan semuanya dengan sendiri tanpa bantuan ibu bapa.
Kemasukan anak ke dalam tadika ni bukan diorang je yang kena bersedia. Mak ayah pun sama! Kalau anak perlukan persediaan dari segi emosi dan mental, kita pula akan menyediakan mereka dalam bentuk fizikal seperti barang-barang yang nak dibawa dan sebagainya.
Tips Hantar Anak Nak Masuk Tadika
Mungkin ada ibu bapa yang kali pertama mahu hantar anak ke tadika dan diorang tak tahu apa yang perlu dibuat. Jangan risau, kitorang akan kongsikan beberapa tips mudah persediaan ibu bapa untuk anak masuk tadika dekat bawah ni!
1. Jangan Beli Barang Sekolah yang Mahal
Untuk barang-barang sekolah seperti alat tulis dan botol air, lebih baik kalau belikan anak yang murah-murah je. Beli di Mr. D.I.Y atau Kedai Eco. Kadang-kadang, anak kita ni masih belum reti nak simpan barang elok-elok. Jadi boleh jadi ada pensel yang hilanglah, pemadam diberi pinjam kawan dan macam-macam hal lagi.
Kalau beli barang yang murah, tak adalah rasa sesak sangat nak beli baru. Tapi nak beli barang mahal berkualiti pun tak apa, cuma jangan nanti bergaduh sebab hilang dekat sekolah lepastu mak ayah marah pula anak tak pandai jaga barang.
2. Beli Pensel Warna 12 Batang
Pensel warna ni pun tak perlu beli yang jenama mahal atau yang satu set sampai 36 batang pensel terus tu. Cukup beli yang 12 batang, untuk galakkan anak menjadi lebih kreatif dan mengajar diorang nama-nama serta kombinasi warna. Bukan apa kalau beli yang besar tu nak bawak je dah susah, dekat tadika nanti berebut pulak ngan kawan-kawan lain.
Sumber Gambar Babab
3. Ajar Anak Cara Nak ke Tandas
Kalau dekat rumah, diorang boleh pergi ke tandas bila-bila je. Tapi sewaktu dalam kelas, ada tatacara yang korang perlu ajar. Ajarkan anak untuk angkat tangan dan minta izin pada guru sebelum nak ke tandas. Lagi satu, di rumah, korang perlu siap-siap ajar diorang cara nak buka seluar atau kain seragam sekolah supaya tak adalah nanti tiba-tiba ada yang tersepit pula bila tersalah cara buka zip di sekolah. Yang lelaki pula jangan pakai tali pinggang, nanti berejam nak buka tali pinggang tu.
4. Ajar Anak Tidur Awal
Selalunya waktu persekolahan tadika bermula pada awal pagi. Jadi beberapa minggu sebelum sekolah nak bermula, korang dah perlu ajar anak untuk tidur awal. Dalam pukul 10 dah boleh siap-siap minta diorang masuk bilik untuk tidur. Nanti bila dah terbiasa, masa nak mula sekolah nanti, tak adalah susah untuk diorang bangun awal.
5. Pastikan Kuku Anak Sentiasa Pendek
Selain daripada untuk memastikan kebersihan anak terjaga, ia juga dapat memastikan supaya tak ada guru yang tercedera bila anak meronta-ronta dan mencakar cikgu bila diorang meragam nak balik ke rumah.
Sumber Gambar Buka Review
6. Tulis Nama Anak Pada Semua Benda
Semua barang sekolah anak, pastikan korang dah siap-siap tulis namanya. Dari beg sekolah, alat tulis, botol air, dan termasuk juga dengan kasut dan stoking! Nanti bila ada kes hilang atau ada kawannya ambil, senanglah nak cari barang-barang miliknya. Ataupun bila barang sama, memang selalu tertukar nanti, ada nama senang tak perlu berebut dah.
Sumber Gambar Susun Atur Sioca
7. Ajar Anak Jangan Lap Mulut dengan Lengan Baju
Ini antara salah satu benda penting yang korang kena ajar anak sebelum nak masuk tadika. Lepas makan, ajar anak supaya lapkan mulut dan tangan dengan tisu atau kain. Nanti tak adalah setiap malam korang kena bersengkang mata menyental baju anak yang kotor dengan kesan minyak makanan.
8. Jangan Intip Anak dari Tingkap Kelas
Benda ni selalu mak ayah buat. Punyalah risau dengan anak-anak pada hari pertama persekolahan diorang, sampaikan sanggup ambil cuti dan mengintai dari luar kelas, untuk memastikan anak okey. Sebenarnya perbuatan ni lagi membuatkan anak rasa nak balik ke rumah dan tak boleh nak fokus belajar. Percaya pada cikgu dan anak dan jangan menunggu di luar kelas supaya sesi pembelajaran tak terganggu.
Sumber GambarHarian Metro
9. Jangan Susahkan Cikgu
Pastikan korang ambil anak tepat pada waktunya. Jangan pula buat cikgu dan anak tertunggu-tunggu korang yang lambat. Nanti dah memakan masa cikgu pula. Lagi satu, jangan suka WhatsApp cikgu pada waktu mengajar atau waktu yang tak sesuai seperti tengah malam. Nak tahu perkembangan anak di sekolah boleh, cuma perlu hubungi diorang pada waktu yang sesuai.
10. Mula Ajar Anak Cara Berdikari
Masa nak hantar anak ke sekolah tu, jangan bawakan beg sekolah diorang. Biar diorang bawa sendiri. Sambil tu bolehlah perlahan-lahan mengajar mereka untuk mula melakukan tugasan sendiri. Nak pakai atau buka kasut pun biar diorang yang buat. Lama-lama nanti, diorang akan terbiasa untuk melakukan apa-apa tugasan dengan sendiri.
Sumber Gambar Sirap Limau
Apa yang penting dalam persediaan korang untuk menghantar anak ke tadika adalah untuk relaks dan jangan gelabah. Nanti pejam celik pejam celik, korang akan hantar anak ke universiti pula. Jadi nikmati saat-saat yang ada ini bersama-sama dengan anak. Tips jimat beli kelengkapan sekolah anak boleh baca sini.