InformasiCara Mudah

Sekarang Ni Hujan Lebat Lama Je Boleh Banjir Kilat. Apa Nak Buat Untuk Pastikan Motor, Kereta & Rumah Selamat?

Cara Mudah Menghadapi Banjir Kilat

Setiap tahun, pasti akan ada je tempat dalam negara kita yang mengalami bencana alam yang agak teruk, dan yang paling banyak berlaku mestilah banjir kilat. Sejak kebelakangan ni, kejadian banjir kilat makin banyak berlaku, tak kiralah sama ada di tengah bandar, mahupun di pinggir bandar.

Monsun timur laut ataupun musim tengkujuh di Malaysia lazimnya berlaku sekitar bulan November hingga Mac setiap tahun. Hujan akan turun secara berterusan selama beberapa jam, sampai membuatkan air cepat naik dan mengakibatkan banjir. Ada banyak kesan buruk yang datang daripada banjir kilat ni, seperti penyebaran penyakit, kerosakan harta sendiri, dan ada juga beberapa kes yang boleh mengancam nyawa.

Apa Perlu Buat Kalau Banjir

Bila kita dah tahu tempat kita berpotensi mengalami banjir kilat, takkan kita nak duduk diam je tak buat apa kan? Kita mesti kena tahu apa benda yang patut dilakukan bila banjir kilat melanda. Boleh jadi juga rumah kita selamat dari banjir kilat sebab di tanah tinggi, tapi bila kita pergi bandar ke mana-mana tiba-tiba hujan lebat jadi kawasan situ naik air. Jadi apa perlu buat? Ni beberapa langkah persediaan yang boleh diambil sebelum, semasa, dan selepas banjir kilat berlaku. 

Sebelum Banjir

1. Langgan Insurans/Takaful Bencana Alam

Untuk mengelakkan kereta atau motor rosak disebabkan banjir, korang amat digalakkan untuk mengambil insurans kenderaan bencana alam lagi-lagi bagi mereka yang bekerja di tengah bandaraya seperti Kuala Lumpur. Lazimnya, insurans standard kenderaan yang korang ada tak cover kalau kenderaan tu rosak sebab ditenggelami banjir atau dihempap pokok. 

Korang kena langgan pakej premium insurans tu ataupun add-on, yang selalunya boleh cover kalau kenderaan rosak sebab bencana alam. Kebiasaannya amaun yang perlu dibayar adalah 0.5% daripada had yang korang boleh claim (sum assured), tapi ni semua ikut syarat syarikat insurans masing-masing. Contohnya sum assured untuk kereta tu RM30,000 maka korang kena bayar RM150. Memang nampak macam besar tapi ini hanya perlu dibayar setahun sekali. Lagi murah daripada jumlah perlu baiki kenderaan kalau dah rosak ditenggelami air kan? Jadi buatlah pilihan bijak.

Sumber Gambar Berita Harian

2. Mempunyai Plan Kecemasan Banjir

Kalau korang duduk di kawasan yang selalu dilanda banjir kilat, semua ahli rumah perlu ada dan tahu plan kecemasan banjir. Plan ni berfungsi supaya bila berlaku banjir kilat lagi, tak adalah masing-masing masih terpinga-pinga nak buat apa. Antara perkara yang korang boleh masukkan dalam plan kecemasan tu adalah:

Rumah:

  • Kalau ada ramalan cuaca yang menjangkakan hujan lebat akan turun, periksa longkang di sekeliling rumah. Pastikan tak ada halangan yang menyekat pergerakan air hujan yang berlebihan. Ini supaya kalau sekalipun air naik, cepat sikit air akan surut kerana saluran longkang tidak tersumbat. 
  • Letakkan dokumen penting macam IC, Surat Beranak, Geran Tanah dan sebagainya di satu tempat selamat seeloknya di dalam plastik atau bekas kalis air supaya tidak basah. 
  • Pastikan peti kecemasan dan makanan kecemasan terlindung dan mudah diambil sekiranya berlaku banjir nanti.
  • Kenal pasti Bilik Gerakan Banjir yang berdekatan dengan rumah. Jadi nanti bolehlah telefon atau pindah sekiranya kawasan rumah terlalu bahaya untuk tinggal. 

Kereta / Motor

  • Letakkan kenderaan korang ataupun parking di tempat yang selamat (seperti jauh dari pokok untuk elak tumbang akibat ribut, dan juga tepi parit untuk elak air naik jika hujan lebat)
  • Jika terpaksa juga parking di kawasan berpotensi naik air termasuklah parking bawah tanah di office, shopping mall mahupun apartment, pastikan sentiasa awasi cuaca pada hari tersebut. Jika hujan berterusan dengan lebat, boleh alihkan kenderaan ke tempat lagi tinggi dan selamat.

Semasa Banjir

3. Matikan Suis Elektrik & Alihkan Benda Penting Ke Tempat Tinggi

Sekiranya korang dah dapat lihat tanda-tanda awal nak banjir, siap sedia untuk matikan semua suis elektrik dalam rumah dan letakkan kepala plug di tempat paling atas jika boleh. Sementara tu, korang juga boleh alihkan perabot ke tempat yang lebih tinggi atau selamat. Selain itu, antara benda yang penting untuk diletakkan di tempat tinggi adalah:

  • Dokumen penting seperti geran tanah, surat beranak & juga kunci-kunci rumah.
  • Barang kemas dan duit serta kad-kad bank. (Penting juga kalau rumah kita rosak sekurang-kurangnya ada harta atau duit yang boleh digunakan untuk baiki)
  • Perkakas Elektrik seperti televisyen, komputer, cerek elektrik, oven dan lain-lain (yang mudah diangkat, jangan pula korang gigih nak angkat peti sejuk atau washing machine tu. nanti cedera susah pulak)
  • Kusyen sofa, tilam dan bantal (Sebab benda ni mudah serap air dan akan tinggalkan kesan bau jika nak bersihkan nanti)
  • Kayu yang mudah reput atau tidak kalis air seperti perabot vintage atuk nenek kita dulu-dulu

Kalau ikutkan memang semua benda penting, tapi perlu susun ikut priority.  Jangan lupa beritahu pada jiran untuk bersedia takut diorang tak perasan kawasan rumah dah mula nak banjir.

4. Jangan Redah Banjir Sesuka Hati

Kalau air dah mula naik, jangan sesuka hati nak redah. Kita tak tahu kalau-kalau tempat yang kita nak lalui tu selamat atau tak. Contohnya ada longkang ke lubang ke, mata kita memang tak nampaklah kalau dah semua nya naik air kan. Pastikan korang sentiasa memakai kasut atau selipar untuk lindungi tapak kaki daripada terpijak benda-benda tajam. Ye lah bila banjir kan semua benda terapung dan ke sana sini, boleh jadi pisau ke garpu kat dapur tu sampai ke ruang tamu. 

Sumber Gambar Careta

Redah Banjir Atas Jalan Dengan Kenderaan

Lepastu, kalau korang berada di dalam kenderaan pula, jangan terus harungi banjir, walaupun air yang bertakung tu nampak cetek. Lebih baik patah balik dan lalui jalan yang lebih selamat atau tunggu sehingga air surut. Bukan apa, kalau redah juga dan tersangkut lebih banyak kos akan dibelanjakan untuk baiki kerosakan. 

Kalau korang terpaksa jugak redah banjir tu sebab hal-hal kecemasan atau takut hujan makin lebat dan air makin naik. Ikut tips ini:

  • Tunggu kenderaan lain redah kawasan tersebut dan anggarkan kedalaman air
    Nota: Air sedalam 60 cm cukup untuk mebuatkan kereta kecil timbul, air sedalam 30 cm pula boleh mengalihkan kedudukan kenderaan. (air yang deras juga berbeza dengan air yang tenang)
  • Untuk redah air banjir, pandu dengan perlahan tetapi tidak terlalu perlahan
  • Gunakan gear rendah (gear 1) atau gear D bagi auto (tekan minyak dengan sekata, bukan sekejap laju sekejap perlahan)
  • Jangan tukar gear bagi mengelakkan air disedut melalui ekzos dan boleh menyebabkan enjin mati
  • Selepas meredah air, uji brek anda dan tekan brek beberapa kali untuk mengeringkan kawasan antara cakera/dram dan pelapik brek

Paling tidak diinginkan terjadi, kalau kenderaan korang terhenti atau enjin mati secara tiba-tiba, kunci kenderaan dan tinggalkan kenderaan tu untuk ke tempat yang lebih selamat. Kalau ada orang ramai sekeliling yang sanggup tolak kereta korang pun boleh.

5. Sentiasa Awasi Anak

Sumber Gambar Utusan Malaysia

Anak -anak yang masih kecil mungkin rasa seronok bila nampak air mula bertakung. Diorang rasa benda tu macam mandi di kolam renang. Awasi diorang supaya tak mandi dan bermain di dalam air banjir, lagi-lagi kalau berada dekat dengan tiang elektrik sebab takut ada wayar hidup. Dah terjadi pun sebelum ni banyak kes budak-budak lemas atau terkena renjatan elektrik akibat bermain ketika banjir. 

Selepas Banjir

6. Periksa Kerosakan Harta Benda

Bila banjir dah surut dan korang dah boleh pulang ke rumah, periksa seluruh rumah. Tengok kalau-kalau ada tanda rekahan pada rumah yang boleh mendatangkan bahaya. Periksa juga kalau ada apa-apa binatang berbisa dan berbahaya yang tersesat masuk ke dalam rumah semasa banjir. 

Selain tu, korang juga kena periksa kalau ada saluran paip air atau gas yang bocor, peralatan elektrik yang tenggelam, periksa kalau ada bahan bakar seperti petrol yang mengalir masuk ke dalam rumah. Buang semua makanan yang dah rosak terkena air banjir juga.

Bagi kenderaan dan motor pun perlu berhati-hati sebelum menghidupkannya. Sebaiknya dihantar ke bengkel dahulu untuk check dan selenggara. Contohnya tengok minyak enjin, jika kelihatan seperti dicampur susu, maksudnya air dah masuk dalam enjin lah tu. Jangan hidupkan enjin tapi telefon trak penunda untuk elakkan lebih tinggi kos kerosakan yang korang perlu baiki nanti.

Lepas ni, kalau kawasan rumah ke office banjir, korang dah tahu lah nak kena buat apa. Apa yang penting, langkah-langkah keselamatan perlulah diambil supaya kita dan keluarga yang tercinta tak ditimpa apa-apa musibah yang lebih berat. Kalau hujan lebat nak bawa juga motosikal baca dulu di SINI. Bagi yang muslim, sebaik sahaja ditimpa musibah eloklah kita amalkan doa ini. 

Sumber Gambar Buku Prima

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button