Cara MudahRumah

Air Takde Macam Mana Ni? Ini Tips Persediaan & Cara Jimat Air Masa Gangguan Bekalan Air

Cara Mudah Simpan Air Waktu Bekalan Air Putus Atau Terganggu

Antara tak ada elektrik dengan tak ada air, mana satu yang lebih teruk? Rata-rata mesti akan bagi jawapan tak ada air lagi teruk, betul tak? Ya lah, tanpa air, kita susah nak mandi, nak memasak, nak bersihkan kotoran, nak ambil wudhu, boleh kata tanpa air, kita jadi susah nak hiduplah!

Gangguan bekalan air adalah sesuatu yang kita tak mahu terjadi di kawasan perumahan sendiri. Tapi adakalanya, gangguan bekalan air terjadi bukanlah disengajakan. Mungkin ada kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan, ataupun disebabkan oleh pencemaran air yang terjadi di loji.

TERKINI: Gangguan bekalan air berjadual dijangka akan berlaku di beberapa kawasan di Selangor pada 30 Mac hingga 1 April 2021. Rujuk maklumat rasmi di SINI

Tips Persediaan Sebelum Menghadapi Gangguan Bekalan Air

Kadang kala, Jabatan Bekalan Air Negeri akan memberikan notis awal, bahawa akan terdapat gangguan bekalan air di sesetengah kawasan. Apabila menerima notis, bolehlah buat persediaan awal supaya hidup tak terganggu apabila masalah tak ada air timbul nanti.

1. Menyimpan Air di dalam Bekas atau Plastik Sampah

Antara persediaan awal yang boleh dilakukan adalah dengan menyimpan air di dalam bekas-bekas yang besar, supaya mencukupi untuk digunakan sekeluarga sepanjang tempoh tak ada air nanti. Antara cara-cara menarik dan berkesan yang dilakukan oleh rakyat di negara kita adalah:

Sumber Gambar Harian Metro

  • Mengisi air di dalam tong, baldi atau tempayan besar.

Sumber Gambar Vanilla Kismis

  • Mengisi air di dalam periuk kenduri.

Sumber Gambar Twitter

  • Mengisi air di dalam beg plastik yang besar atau plastik sampah yang tebal. Ini sesuai untuk korang yang takda baldi besar-besar tu lah.

2. Memasak Stok Makanan Awal

Sumber Gambar Vanilla Kismis

Selain tu, korang boleh juga masak siap-siap stok makanan untuk beberapa hari dan simpan dulu di dalam peti sejuk di bahagian beku. Nanti kalau nak makan, cuma keluarkan dan panaskan semula saja. Tapi kalau rasa leceh sebab banyak benda nak kena basuh nanti, boleh je pesan makanan dari luar. Lagi senang kan?

Tips Persediaan Menghadapi Gangguan Bekalan Air yang Terjadi Secara Tiba-Tiba

Namun, ada juga masa di mana gangguan bekalan air terjadi secara tiba-tiba. Tak ada notis, tak ada pengumuman, tiba-tiba saja air tak keluar bila buka paip. Dalam situasi ini, cara persediaan berbeza sikit.

1. Kenal Pasti di Mana Lokasi Lori Air

Sumber Gambar Soya Cincau

Buka laman web atau laman Facebook Jabatan Bekalan Air Negeri korang untuk mengetahui bila dan di mana lokasi lori air bakal berada. Sementara tu bolehlah siap-siap sediakan bekas untuk mengisi air dan berada di tempat tersebut lebih awal untuk mengelakkan perlu beratur panjang. Nak lagi senang sediakan troli macam dalam gambar kat atas, takdelah korang patah tangan nak angkat baldi penuh air tu sampai ke rumah. Berat tau!

2. Gunakan Pinggan dan Cawan Pakai Buang

Sumber Gambar Dress

Untuk menjimatkan air yang diambil pula, gunakan saja pinggan dan cawan pakai buang. Korang tak perlu lagi menggunakan air yang dah disimpan untuk membasuh pinggan atau cawan yang dah digunakan.

3. Alas Pinggan dengan Plastik Atau Kertas Makanan

Sumber Gambar Putery Memory

Ataupun, korang boleh juga cuba cara ni: alaskan pinggan dengan plastik. Macam yang kedai mamak selalu buat tu. dengan cara ni, pinggan pun takkan kotor. takdelah korang bazir air yang disimpan tu untuk basuh pinggan kan. Boleh guna untuk hal lebih penting macam buang air dan sebagainya. 

4. Letakkan Water Dispenser di Singki

Kalau korang ada water dispenser, bolehlah isikannya dan letakkan di singki. Boleh digunakan untuk membasuh tangan selepas makan. Kalau tak ada, gunakan besen pun boleh. Tapi kalau nak jimat lagi air, gunakan sudu garfu pakai buang, ataupun tisu basah untuk mencuci tangan yang kotor.

5. Sediakan Botol Penyembur untuk Ambil Wudhu

Sumber Gambar Fitrah Alhajj

Cara ni selalunya orang pergi haji akan gunakan. Letakkan air bersih di dalam botol penyembur kecil untuk ambil wudhu. Banyak air yang boleh dijimatkan jika guna cara ni daripada mengambil wudhu seperti biasa. Walaupun gangguan bekalan air adalah sesuatu yang boleh mengganggu rutin seharian, tapi dengan adanya tips-tips di atas, korang boleh laluinya dengan mudah.

Sementara ada air ni, adalah penting untuk korang tahu cara-cara jimat air supaya bil air tak melambung setiap kali hujung bulan. Tips-tips jimat air tersebut korang boleh baca di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button