8 Petua Masak Nasi Impit Agar Tahan Lama, Lepas Lima Hari Pun Masih Sedap!
Tips Masak Nasi Impit Ketupat Segera Agar Lembut, Tidak Keras Dan Tak Cepat Basi
Apa petua masak nasi impit agar tahan lama tak basi? Alangkah sedapnya sekiranya di pagi hari raya kita dapat makan ketupat sambil dicicah rendang dan kuah kacang. Dengan membayangkannya pun saja dah buat kecur liur! Tapi tak semua orang pandai menganyam ketupat. Ia memerlukan skil dan teknik yang betul untuk menghasilkan sarung ketupat yang kemas. Ataupun, korang dah kesuntukan masa untuk menganyam ketupat. Jadi alternatif mudah yang ada ialah dengan memasak nasi impit atau ketupat segera saja.
Petua Masak Nasi Impit Yang Tahan Lebih Lama Tak Basi
Sumber Gambar Asian Inspirations
Sebenarnya, kalau nak diikutkan, rasa nasi impit dan ketupat ni sama saja. Malah, masak nasi impit lagi senang sebab korang boleh saja beli nasi impit instant di kedai. Tinggal nak rebuskannya saja.
Cuma satu masalah yang timbul adalah, nasi impit ni cepat berair dan basi. Sebab tu lah korang kena ikut beberapa tips dan petua masak nasi impit di bawah ni, agar nasi impit yang dimasak boleh tahan lebih lama! Jadi tipsnya adalah:
Basuh Paket Nasi Impit
Beras yang bersih adalah beras yang dapat tahan lebih lama. Oleh itu, lepas saja korang dah beli nasi impit instant, bolehlah basuh dengan air paip terlebih dahulu. Setiap paket tu ada lubang-lubang kecil jadi air boleh masuk ke dalam dan beras dapat dibersihkan. Basuh 2-3 kali, sehingga air yang keluar daripada paket nasi impit adalah air yang jernih.
Pastikan Air Rebusan Banyak
Sumber Gambar Blogspot
Untuk memastikan nasi impit masak sepenuhnya, korang kenalah gunakan air yang mencukupi untuk merebusnya. Kalau boleh, isikan air ke dalam periuk sehingga nasi impit betul-betul tenggelam, dan barulah tutup periuk dan hidupkan api. Elakkan daripada memasukkan terlalu banyak nasi impit ke dalam periuk. Kalau boleh beri ruang kepada nasi impit untuk berkembang setelah ia masak.
Masukkan Secubit Garam
Sumber Gambar Mashed
Antara salah satu petua untuk memastikan nasi impit tahan lebih lama adalah dengan memasukkan secubit garam ke dalam air rebusan. Jangan masukkan terlalu banyak pula, takut nasi impit jadi masin nanti. Kalau nak nasi impit lebih wangi, boleh masukkan dua helai daun pandan yang diikat ke dalam air rebusan.
Masukkan Juga Asam Gelugur atau Limau Kasturi
Sumber Gambar New Malaysian Kitchen
Satu lagi petua lama untuk memastikan nasi impit tahan lebih lama adalah dengan memasukkan dua keping asam gelugur ataupun asam keping. Kalau tak ada, korang boleh gantikan dengan limau kasturi. Caranya, perahkan dua biji limau kasturi dan masukkan dengan kulitnya sekali ke dalam air rebusan.
Rebus Nasi Impit dengan Lebih Lama
Semasa nak merebus nasi impit, gunakan api sederhana dan rebuskannya dengan lebih lama. Korang boleh rujuk kepada masa yang ditetapkan pada paketnya dan rebus lebih 5-6 minit daripada masa yang ditetapkan. Ini untuk memastikan agar nasi impit betul-betul masak dan tak lembik.
Toskan Sehingga Kering
Setelah nasi impit siap direbus, toskan betul-betul agar semua air dapat dibuang. Biarkan ia sejuk sehingga suhu bilik sebelum dipotong. Kalau nak pastikan ia betul-betul kering, boleh juga lapkan dengan tisu ataupun tuala bersih yang kering. Barulah nasi impit tak cepat berair dan basi.
Potong Bila Nak Makan Saja
Sumber Gambar Cerita Ita
Antara salah satu sebab nasi impit cepat basi adalah kerana kita selalu memegangnya. Bakteria dan kuman daripada tangan kita akan berpindah kepada nasi impit membuatkannya cepat basi. Oleh itu, potong nasi impit bila nak makan saja. Elakkan daripada memegang nasi impit dalam keadaan tangan yang basah.
Simpan di dalam Peti Sejuk
Seperti makanan lain, nasi impit juga boleh disimpan di dalam peti sejuk untuk tahan lebih lama. Jika ia disimpan di dalam peti sejuk, nasi impit boleh bertahan sehingga 3-5 hari! Masukkan nasi impit ke dalam bekas kedap udara dan kalau nak makan, kukus semula nasi impit tersebut agar ia kembali panas dan gebu.
Selepas mengikuti petua masak nasi impit di atas, korang dah tak perlu risau lagi membazir nasi impit yang belum dimakan sebab cepat basi. Lepas 5 hari pun masih boleh nikmatinya lagi.
Kalau masak ketupat pun, perlu tahu petua dan cara yang betul agar ianya tak mudah basi. bolehlah ikuti tips-tipsnya di SINI!