5 Resipi Hidangan Bajet Jimat Dan Sedap Bawah RM 10! Boleh Cuba Ni!
Resipi Masakan Bajet Murah Dan Jimat Dengan Hanya RM10
Kalau korang sedang dalam menjaga bajet atau perbelanjaan, terutamanya untuk makanan, korang masih boleh menikmati resipi hidangan bajet yang sedap walaupun jimat. Tak ada lah hari-hari makan nasi bujang je atau nasi ngan telur kicap. Tak semestinya korang perlu memilih untuk makan makanan tidak berkhasiat bila berjimat untuk makan ni contohnya maggi. Banyak lagi makanan lain boleh masak sebenarnya.
Tak dinafikan dengan adanya perkhidmatan seperti Grab dan Foodpanda, lebih mudah untuk korang dapatkan makanan berbanding masak sendiri. Tapi percayalah korang akan dapat berjimat lebih banyak bila masak sendiri. Bila masak sendiri, korang juga boleh jaga dan masak kuantiti makanan yang korang perlu sahaja. Kadang tu boleh makan sampai esok lagi. Dah jimat
Resipi Hidangan Bajet Murah Dan Jimat Dengan Hanya RM10
Ini 5 resipi hidangan bajet yang jimat dan sedap bawah RM 10 yang korang boleh cuba:
Ayam Masak Kicap
Sumber Gambar Resipi Che Nom
Masakan yang sangat sinonim dengan rakyat malaysia ini sebenarnya sangat mudah dan murah untuk dimasak. Tambahan pula kita sebagai rakyat Malaysia tak boleh bertahan lama tanpa makan ayam, dan ayam pula antara protein termurah yang ada di pasaran berbanding lembu, kambing dan sebagainya. Kalau korang beli dekat kedai paling-paling dah RM16 untuk ramai-ramai makan. Masak sendiri je dah jimat lebih kurang RM6.
Bahan-Bahan:
- 1 dada ayam yang sudah dipotong, perap dan goreng (RM 5.00)
- 5 sudu kicap manis (RM 1.06)
- 1 biji tomato dipotong 4(Rm 0.95)
- 1 biji cili merah (RM 0.65)
- 1 biji bawang Holland dihiris atau dipotong dadu (RM 0.29)
- Garam secukup rasa (RM 0.25)
Bahan Kisar:
- 3 ulas bawang putih (RM 0.50)
- 1 biji bawang merah (RM 0.60)
Jumlah: Rm 9.30
Cara Masak:
- Tumis bahan kisar dengan minyak panas yang sudah dipanaskan dalam kuali sehingga wangi
- Masukkan ayam dan gaul dengan bahan kisar yang sudah ditumis hingga sebati
- Masukkan kicap, bawang holland, cili merah, tomato, dan kacau sehingga sebati
- Perisakan dengan garam secukup rasa
Nasi Goreng Telur
Sumber Gambar The Spruce Eats
Nasi goreng telur ialah salah satu hidangan yang boleh membuatkan korang cepat kenyang, mudah dan murah untuk dimasak. Cukup ada bahan utama seperti nasi, telur dan garam, hidangan ini korang boleh buat sendiri bila-bila masa korang rasa lapar.
Bahan-Bahan:
- Nasi sejuk dua cawan (RM 2.00)
- Telur dua biji (RM 1.00)
- 3 ulas bawang putih (RM 0.50)
- 2 biji bawang merah (RM 1.20)
- Satu ikat daun bawang (RM 1.00)
- Garam dan lada secukup rasa (RM 0.50)
- Kicap soya dua sudu (RM 0.20)
Jumlah: RM 6.40
Cara Masak:
- Potong dadu bawang putih dan bawang merah dan tumiskan dengan minyak panas yang sudah dipanaskan dalam kuali
- Masukkan nasi ke dalam kuali dan kacau sehingga sebati dengan bahan tumisan tadi.
- Masukkan telur dan gaul dengan nasi sehingga sebati.
- Masukkan kicap soya, garam dan lada secukup rasa dan kacau lagi sehingga sebati.
- Hiris nipis daun bawang dan taburkan atas semangkuk nasi yang sudah siap digoreng.
Ikan Bilis Tempe Rangup
Sumber Gambar Resipi Che Nom
Bagi korang yang sedang berdiet dan cepat rasa kenyang bila makan, ini resipi hidangan bajet yang korang wajib cuba. Kelebihan hidangan ikan bilis tempe rangup ni korang boleh makan dengan nasi atau begitu sahaja. Hidangan ini juga tidak mudah basi jika disimpan dalam bekas kedap udara. Jadi boleh makan untuk esok lusa atau hari lain juga bila dah masak. Kan jimat macam tu.
Bahan-Bahan:
- 1 cawan ikan bilis sudah digoreng (Rm 0.50)
- 2 pek tempe – 200 gram yang sudah digoreng (Rm 1.00)
- 1 cawan kacang tanah yang sudah digoreng (RM 3.oo)
- 5 biji bawang merah kecil yang sudah dikisar halus (RM 1.25)
- 3 sudu besar cili boh – 37.5 gram (RM 0.50)
- Garam dan gula secukup rasa (RM 0.50)
- Minyak masak dua sudu (RM 0.20)
Jumlah: RM 6.95
Cara Masak:
- Tumis cili boh dengan minyak panas yang sudah dipanaskan dalam kuali
- Masukkan bawang merah yang sudah dikisar dan tumsi sehingga wangi
- Masukkan garam dan gula secukup rasa
- Masukkan tempe, ikan bilis dan kacang tanah yang sudah digoreng dan kacau sehingga rata dan sebati.
- Untuk kekalkan kerangupan tempe, ikan bilis dan kacang, padamkan api ketika menggaul bahan tersebut.
Sup Bebola Ikan Dan Cendawan
Sumber Gambar Youtube
Pernah tak ada masanya korang hilang selera makan, dan cuma ingin makan sesuatu yang ringan dan bersup? Ini resipi hidangan bajet yang korang boleh buat untuk membuka selera tanpa perlu membocorkan poket korang. Resipi ni kalau makan waktu hujan dengan nasi panas memang sedap.
Bahan-Bahan:
- 1 pek cendawan tiram – 500 gram dipotong dua (RM 5.00)
- 1 pek cendawan enoki – 100 gram (RM 0.89)
- 10 biji bebola ikan dibelah dua – (Rm 1.00)
- 3 ulas bawang putih dihiris nipis (RM 0.50)
- 3 biji bawang merah dicincang halus (RM 1.80)
- 1 cawan air
- Lada dan garam secukup rasa (RM 0.50)
- Minyak masak dua sudu (RM 0.20)
Jumlah: RM 9.89
Cara Masak:
- Tumiskan bawang putih dan bawang merah sehingga wangi dengan minyak panas yang sudah dipanaskan dalam kuali
- Tambahkan air dan masukkan cendawan tiram dan cendawan enoki, biarkan mendidih selama 10 minit supaya ‘umami’ dalam cendawan sebati dengan air rebusan.
- Masukkan bebola ikan, garam dan lada secukup rasa.
Oden
Sumber Gambar Facebook Ain Aziz
Korang selalu tak beli oden di kedai seperti Family Mart? Oden tu sebenarnya mudah untuk dimasak sendiri di rumah. Malas kos nak masak sendiri pun lebih murah. Bahan-bahan yang korang perlukan pun cukup mudah dan tak banyak. Kalau beli dekat family mart tu mungkin tak dapat banyak kan, yang ni korang boleh beli nak letak sosej banyak ke, bebola ayam apa ke ikut korang.
Bahan-Bahan:
- 1 paket pes asam pedas Adabi 70 gram (RM 1.90)
- 1 paket pes tom yam Adabi 40 gram (RM 1.60)
- 1 paket Ajinomoto 15 gram (RM 0.60)
- 1 paket 5 in 1 Figo Steamboat Choice 250g – seafood nugget, seafood tofu, fish ball, squid roll, lobster flavoured ball (RM 5.35)
- Air secukupnya
Jumlah: RM 9.45
Cara Masak:
- Panaskan pes asam pedas dalam periuk dan masukkan air, gaul sehingga sebati
- Masukkan pes tom yam dan ajinomoto
- Jumlah boleh diubah suai mengikut citarasa masing-masing
- Masukkan bahan-bahan dalam pek paket 5 in 1 Figo Steamboat Choice ke dalam periuk berisi kuah oden tadi
- Biarkan mendidih sehingga bahan tersebut masak.
Sekarang tidak lagi menjadi masalah untuk kita masak hidangan yang jimat dan mudah, yang penting kita sendiri mesti mempunyai keinginan untuk memasak sendiri, jika ingin sentiasa menjaga perbelanjaan dan poket setiap bulan. Senang je kan resipi hidangan bajet ni? Kalau tak sempat nak masak juga tapi nak berjimat, boleh rujuk panduan SINI