5 Sayur Senang Tanam Sendiri Di Rumah. Tinggal Rumah Flat Pun Boleh Buat!
Sayur-Sayuran Yang Mudah Untuk Tanam Di Rumah
Sumber Gambar GoodsHomeDesign
Bercucuk tanam sayur senang tanam di rumah ini ialah salah satu aktiviti yang korang kena cuba buat terutamanya masa PKP (Perintah Perkawalan Pergerakan) ini di mana kita menghabiskan kebanyakan masa di rumah. Banyak faedah yang korang boleh dapat bila bercucuk tanam sendiri di rumah, lebih-lebih lagi kalau korang tanam sayur-sayuran.
Bukan sahaja kalau tanam sendiri korang dapat jimat duit daripada beli sayur, tapi dengan menanam juga korang dapat pastikan sayuran yang dimakan tu bebas daripada bahan kimia dan sebagainya. Maklumlah sekarang ni macam-macam orang guna untuk pastikan sayur yang dijual tahan lama dan kelihatan segar. Jadi kalau tanam sendiri memang tiada was-was lagi.
Sayur Senang Tanam Di Rumah, Kawasan Terhad Macam Rumah Flat Pun Boleh
Sumber Gambar Butik Sihat Comel
Tanam sayur di rumah ni taklah serumit yang korang sangka. Selain dapat ilmu atau skil bercucuk tanam, korang boleh jimatkan duit, kurangkan pembaziran dan tak perlu risau pasal bekalan sayur untuk dimakan keluarga di rumah. Kalau korang tinggal di kediaman seperti rumah flat atau pangsapuri dengan ruang terhad pun boleh buat. Ini 5 jenis sayur yang senang untuk korang tanam sendiri di rumah:
1. Daun Bawang. Janji Ada Bawang Merah Kat Dapur!
Sumber Gambar Good Times
Korang pernah tak bila beli daun bawang di pasar kemudian tengok dah layu walaupun baru sekejap disimpan di rumah? Pernah tak korang kalau beli bawang merah tapi nampak ada yang dah tumbuh pucuk dan tak boleh guna untuk masakan?
Ada satu penyelesaian mudah untuk mengelak pembaziran macam ni, iaitu dengan menanam sendiri daun bawang di rumah. Korang ambik bawang merah di dapur, potong bahagian atasnya dan tanam bahagian bawah di dalam pasu bertanah. Bagi yang dah tumbuh pucuk, korang boleh tanam terus tanpa memotong bawang tersebut. Siram sehari sekali dan pastikan didedahkan pada cahaya matahari.
Kebiasannya daun bawang akan tumbuh dalam tempoh beberapa hari, maksima tiga minggu. Korang tak perlu lagi beli daun bawang di pasar kalau takut cepat layu, dan tak perlu buang bawang merah kalau ada yang sudah tumbuh pucuk. Selain itu, aroma daun bawang ini membantu untuk menghalau serangga perosak dari mendekati tanaman lain.
2. Sayur Kangkung. Lupa Siram Pun Boleh Tahan !
Sumber Gambar Lazada
Sayur kangkung ialah antara sayur senang tanam dan murah ditanam di rumah. Selain itu, sayur kangkung ini juga kaya dengan protein, antioksidan dan beta-karoten yang bagus untuk kesihatan tubuh badan.
Cara paling senang menanam sayur kangkung ialah dengan memotong 30 cm ke 40 cm bahagian bawah ke akar batang kangkung, masukkan ke dalam pasu berisi tanah sedalam 15 cm. Siram 2-3 hari sekali, dan pastikan dapat cahaya matahari. Kangkung ni sukar untuk layu walaupun korang terlupa siram sekali dua kerana tanaman ini boleh bertahan sehingga 2-3 minggu tanpa air. Mudah untuk siapa yang pelupa tu.
3. Bayam Merah. Tinggi Protein Dan Vitamin!
Sumber Gambar Soon Huat Seeds
Korang tahu tak yang bayam merah ni mempunyai 30% lebih protein berbanding dengan beras, bijirin betari dan bijirin rai. Selain itu, bayam merah juga mempunyai kandungan vitamin K tertinggi berbanding sayur berdaun yang lain, di mana dapat membantu mengurangkan risiko penyakit osteoporosis.
Bayam merah ini juga mudah ditanam, janji disiram sehari sekali dan mendapat cahaya matahari secukupnya. Korek beberapa lubang dengan jarak 3 cm setiap lubang pada tanah yang berisi di dalam bekas. Masukkan dua biji benih bayam merah pada setiap lubang dan timbus semula lubang tersebut. Siram dan pastikan tanah sentiasa lembap. Bajakan seminggu sekali, dan korang boleh mula tuai setelah 25-26 hari kemudian.
Benih bayam merah ini senang didapati, ada dijual di mana-mana kedai tanaman, malah ada juga di kedai seperti Mr. DIY, juga ada dijual online seperti di Shopee atau Lazada.
4. Cili. Jangan Buang Bijinya Bila Masak!
Sumber Gambar Highland Fresh
Cili merupakan sayur wajib ada bagi setiap rumah terutamanya bagi mereka yang menggemari masakan pedas. Bahan dalam cili iaitu kapsaisin boleh membantu dalam mengurangkan rasa sakit kepala termasuk migrain.
Kalau korang baru nak berjinak-jinak dalam bercucuk tanam di rumah, cili boleh dijadikan antara sayur yang korang boleh mula untuk tanam kerana tak perlu banyak penyelenggaraan selain cantik untuk dilihat.
Setiap kali korang potong cili ketika memasak, jangan buang bijinya. Kumpul dan masukkan di dalam pot atau pasu berisi tanah. siram sehari sekali dan bajakan setiap dua minggu sehingga cili berbuah, selalunya dalam tempoh tiga bulan.
5. Daun Kari. Bukan Boleh Guna Untuk Masak Je, Rambut pun boleh!
Sumber Gambar Ministry of Curry
Masakan India dan Melayu kebanyakannya menggunakan daun kari. Rasanya yang halus dalam masakan cukup menyempurnakan sesuatu hidangan ditambah aroma sitrusnya. Daun kari ini selain boleh digunakan dalam masakan, juga boleh membantu dalam penjagaan rambut dengan menjadikannya pes dan disapu ke rambut. Dari sudut kesihatan, daun kari boleh mengurangkan kolestrol dan risiko sakit jantung.
Kalau korang beli daun kari dari mana-mana kedai, kebiasannya akan dijual sekali dengan tangkainya. Potong bahagian bawahnya sekurang-kurangnya 3 inci bersama daun dan masukkan dalam pasu yang berisi ‘soilless potting mix‘ sedalam satu inci. Sembur batang daun kari yang dah ditanam dengan air dan pastikan tempat tanaman dan tumbuhan ini lembap untuk sehingga 3 minggu seterusnya.
Soilless potting mix ini ialah campuran beberapa bahan organik dan bukan organik selain tanah yang subur untuk digunakan sebagai tempat tanaman. Soilless potting mix ini ada dijual di kedai-kedai tanaman dan juga online seperti platform Shopee dan Lazada.
Kalau korang tak pernah bercucuk tanam sebelum ini, jangan takut untuk mencuba benda baru. Manfaat yang korang akan dapat bukan sekadar untuk diri sendiri, malah juga boleh dikongsikan bersama orang lain. Selamat mencuba! Bagi yang suka makan pedas, hati-hati sebab ada kesan dan bahaya nya boleh baca di SINI