Cara Solat Sunat Gerhana Matahari Dan Solat Sunat Gerhana Bulan
Panduan Solat Sunat Khusuf & Solat Sunat Kusuf
Masih ramai yang belum tahu cara solat sunat gerhana. Dalam setahun, pastinya akan berlaku paling kurang pun sekali gerhana tidak kira lah gerhana matahari ataupun gerhana bulan. Kita sebagai umat Islam mestilah mengakui kekuasaan Allah dan melihat kejadian gerhana ini sebagai salah satu tanda kekuasaan Allah. Justeru itu salah satu cara untuk menunjukkan keimanan kita kepada Allah adalah dengan melaksanakan Solat Sunat Gerhana Matahari atau Solat Sunat Gerhana Bulan.
Sebenarnya berlakunya gerhana bukanlah kerana kemurkaan Allah tetapi merupakan petanda kepada kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Ianya boleh menjadi peringatan kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah SWT. Ianya bukan hanya berlaku pada akhir zaman malah telah berlaku sejak dahulu lagi dan juga pada zaman Nabi SAW. Maka marilah kita bersama-sama mengambil iktibar dan mencontohi sebaik-baik tauladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW.
TERKINI: Gerhana Bulan Penuh Pada 8 November 2022
Panduan Solat Sunat Gerhana Matahari Dan Bulan
Berikut adalah cara menunaikan solat sunat gerhana matahari dan solat gerhana bulan serta maklumat lain yang berkaitan untuk panduan semua umat Islam:
Dalil
Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”
Hukum Solat
Solat Khusuf (Gerhana Bulan) dan Solat Kusuf (Gerhana Matahari) adalah sunat Muakkad sama ada bagi orang yang bermukim ataupun bermusafir, merdeka ataupun hamba, lelaki mahupun perempuan dan sama ada ditunaikan secara berjemaah atau bersendirian.
Waktu Solat
1. Solat Gerhana Matahari : bermula apabila ternyata berlaku gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana tersebut, dan sehingga jatuh matahari dan gerhana itu. Jika gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak ada solat gerhana matahari.
2. Solat Gerhana Bulan : Mulai apabila ternyata berlakunya gerhana bulan dan berakhir dengan hilang gerhana serta naik matahari. Tidak dikira dengan naik fajar atau jatuhnya pada malam dengan gerhananya. Jika berlaku gerhana bulan ketika terbenamnya, dan sebelum terbit fajar maka dibolehkan solat. Namun jika terbenamnya bulan sesudah terbit fajar, maka terdapat dua pendapat iaitu:
- Qaul Qadim : Tidak ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan telah hilang bila terbit fajar (subuh)
- Qaul Jadid : Ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan masih ada sehinggalah terbit matahari (syuruk)
* Di dalam mazhab Syafie dibolehkan bersolat walaupun ketika berlaku gerhana tersebut adalah waktu tahrim.
Tempat Solat
Solat sunat gerhana boleh dilakukan di mana-mana sahaja sama ada di rumah, surau, masjid ataupun musolla. Walau bagaimanapun adalah afdhal dibuat di masjid di mana Solat Jumaat didirikan.
Jumlah Rakaat
Sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia adalah sekurang-kurangnya. Dilakukan dengan dua kali rukuk, dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.
Niat Solat Sunat Gerhana Matahari
- أُصَلِّى سُنَّةَ الْكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
- Usolli Sunnatal Kusuu-fi Rak’ataini Imaman / Makmuman Lillahi Taala
- Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat sebagai imam / makmum kerana Allah Taala.”
Niat Solat Sunat Gerhana Bulan
- أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَ
- Usolli Sunnatal Khusuu-fi Rak’ataini Imaman / Makmuman Lillahi Taala
- Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat sebagai imam / makmum kerana Allah Taala.”
Cara Solat Sunat
Perbezaan ketara solat sunat gerhana adalah ia mempunyai 2 kali rukuk pada setiap rakaat. Bacaan tasbih pada setiap rukuk dan sujuk diperbanyakkan sehingga 100 kali. Secara ringkasnya adalah seperti berikut:
Rakaat Pertama
- Takbiratul Ihram.
- Membaca doa iftitah.
- Membaca Ta`awudz.
- Membaca surah al-Fatihah.
- Membaca mana-mana surah, yang terlebih afdhal surah al-Baqarah.
- Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 kali.
- Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau mana-mana surah.
- Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 kali.
- Membaca (سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ) & Iktidal.
- Sujud dan membaca tasbih.
- Duduk antara 2 sujud.
- Sujud kembali.
- Berdiri ke rakaat kedua.
Rakaat Pertama
- Membaca surah al-Fatihah.
- Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
- Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 kali semasa ruku’.
- Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Maidah atau mana-mana surah.
- Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.
- Membaca ( سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ) & Iktidal.
- Sujud dan membaca tasbih.
- Duduk antara 2 sujud.
- Sujud kembali.
- Membaca tasyahud akhir.
- Memberi salam.
* Tidak perlu iqamah cukup sekadar ucapan : الصلاة جامعة
* Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari
* Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti ketika hendak solat jumaat
Khutbah Solat Gerhana
- Adalah sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang
- Khutbahnya adalah seperti khutbah hari raya, tetapi tidak disunatkan bertakbir
- Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dnegan dunia dan sebagainya
- Jika solat tersebut hanya terdiri dari wanita sahaja, maka tidak perlu khutbah
Jika bertembung antara solat sunat Gerhana dengan solat yang lain
Secara umumnya, bila pertembungan ini berlaku maka kaedahnya didahulukan yang mana paling ringan. Jika sama nilainya, maka didahulukan yang paling kuat.
Sebagai contoh:
- Sekiranya pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah
- Sekiranya pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari atau bulan kembali cerah. Namun jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu
- Sekiranya pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan witir didahulukan solat gerhana
Sumber: Mufti Perak