KesihatanCara Mudah

Strok Haba : Tanda, Simptom, Gejala & Tips Elak Kena Strok Haba – KKM

Panduan Cara Pencegahan Strok Haba dan Tanda-Tanda Awal

Negara kita kini sedang dilanda cuaca panas yang agak teruk sehingga boleh menyebabkan strok haba. Jabatan Meteorologi Malaysia (MET) juga telah mengeluarkan status cuaca panas tahap 1 (berjaga-jaga) di mana suhu meningkat kepada 35 hingga 37 darjah celcius teruatamanya bagi kawasan utara semenanjung. Amaran ini amatlah membimbangkan buat seluruh rakyat Malaysia kerana ianya boleh mengundang kepada berlakunya gejala Strok Haba.

Apa yang lagi menggerunkan adalah strok haba ini juga boleh menyebabkan berlakunya kematian. Tragedi tidak diingini ini telah pun berlaku kepada salah sebuah keluarga yang telah kehilangan anak mereka disebabkan strok haba. Justeru itu kita hendaklah mengambil berat tentang perkara ini dan jangan tidak endah atau memandang remeh kepada fenomena strok haba kerana ianya bukan sahaja memberi kemudaratan malah boleh meragut nyawa kita mahupun orang tersayang.

Tanda Strok Haba Serta Tips Pencegahan Yang Disyorkan Kementerian Kesihatan Malaysia

Berikut adalah maklumat penting mengenai strok haba dan juga info lain yang berkaitan

Apa itu Strok Haba?

Strok haba adalah suatu penyakit yang serius akibat terdedah kepada keaadaan sekeliling yang panas melampau dan berterusan semasa menjalankan aktiviti fizikal. Ianya menyebabkan badan tidak mampu menstabilkan suhu badan dan berlaku apabila suhu badan meningkat dengan cepat melebihi 40 darjah celcius atau lebih.

Ianya boleh berlaku secara tiba-tiba mahupun berperingkat. Kadar kejadian strok haba adalah berbeza bergantung kepada faktor geografi, cuaca dan juga aktiviti penduduk setempat. Risiko strok haba ini adalah tinggi apabila berada dalam keadaan suhu sekeliling melebihi 39.2 darjah celcius.

Sebab Berlaku

Strok Haba boleh berlaku antaranya disebabkan kekurangan air dan garam galian dalam badan dalam jumlah yang banyak. Ini biasanya disebabkan oleh pendedahan yang berpanjangan kepada suhu tinggi atau melakukan aktiviti fizikal yang berat dalam cuaca panas.

Tanda, Gejala / Simptom Strok Haba

Berikut adalah beberapa tanda, gejala ataupun simptom sekiranya berlakunya strok haba pada seseorang individu yang perlu berwaspada:

1. Peningkatan suhu badan secara mendadak melebihi 40°C
(Suhu badan yang normal adalah 36.5°C hingga 37.5°C)

2. Denyutan jantung menjadi lebih cepat sehingga pesakit merasa seakan berdebar-debar
(Kadar denyutan jantung normal adalah 60 – 100 denyutan seminit)

3. Pernafasan menjadi lebih cepat dan pendek|
(Kadar pernafasan normal adalah 12 – 20 nafas seminit)

4. Tekanan darah menurun
(Tekanan darah yang normal adalah 120 – 140 / 60 – 80 mmHg )

5. Badan mengalami rasa kering dan panas

6. Kepala rasa berpusing

7. Pening atau sakit kepala

8. Berasa mual atau loya

9. Tidak selesa, rasa keliru dan mungkin tidak sedar

10. Sawan ataupun pengsan

11. Mudah hilang fokus

12. Lidah menjadi bengkak

13. Badan tidak berpeluh

14. Kulit kering dan kemerah-merahan

Golongan Berisiko

Berikut pula adalah golongan yang berisiko terkena strok haba :

  • Kanak-kanak
  • Warga emas terutamanya yang mengalami penyakit jantung, buah pinggang, paru-paru atau sedang mengambil beberapa jenis ubatan
  • Atlet khususnya mereka yang selalu berada di padang, atau gelanggang terbuka dan sering terdedah kepada cahaya matahari
  • Pekerja yang bekerja di kawasan terbuka dan terdedah kepada cahaya matahari seperti buruh kasar, petani, nelayan dan lain-lain
  • Individu yang berada di dalam kenderaan tertutup tanpa penyaman udara dihidupkan dalam tempoh masa yang terlalu lama

Rawatan Strok Haba

Sekiranya telah didapati mempunyai gejala strok haba seperti dinyatakan, rawatan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

Semasa Di Tempat Kejadian

  1. Mangsa hendaklah dialihkan dari sinaran matahari yang melampau iaitu sebaiknya ke tempat berbumbung atau yang mempunyai hawa dingin
  2. Sejukkan mangsa dengan menggunakan kain yang lembap atau siram dengan air sejuk
  3. Berikan mangsa udara segar dengan menghalakan kipas secara terus ataupung mengipas menggunakan kertas / surat khabar kepada mangsa
  4. Berikan minuman sejuk dan segar jika mangsa masih sedarkan diri
  5. Dapatkan bantuan perubatan dengan menelefon talian 999

Semasa Di Hospital

  • Mangsa akan diperiksa kadar denyutan nadi, kadar pernafasan, tekanan darah dan tahap kesedaran
  • Jika mangsa mengalami renjatan, rawatan khusus akan diberikan
  • Penyiasatan darah dan lain-lain penyiasatan yang berkaitan akan dijalankan sekiranya ada keperluan

Cara Pencegahan Strok Haba

Bagi mengelakkan berlaku strok haba beberapa cara atau langkah pencegahan penting boleh dilakukan antaranya adalah:

  • Elakkan melakukan aktiviti fizikal di bawah sinaran matahari yang panas atau cuaca suhu terlampau panas bagi tempoh yang berpanjangan
  • Jangan lakukan aktiviti fizikal sekiranya berada dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan di bawah sinaran matahari dalam tempoh yang lama
  • Banyakkan minum air kosong bagi kekal hidrasi iaitu 3 hingga 4 liter air sehari tanpa mengira tahap aktiviti fizikal
  • Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang
  • Memakai pakaian yang ringan, berwarna terang dan longgar
  • Pakai topi / payung untuk melindungi daripada pancaran haba terus ke badan
  • Menggunakan kipas / pendingin hawa untuk menyejukkan badan
  • Tidak duduk di dalam kenderaan yang bertutup tanpa pendingin hawa
  • Lebihkan masa berada di dalam rumah dan hadkan aktiviti luar
  • Kurangkan minum minuman berkafein, alkohol dan bergula

Oleh itu, sama-sama lah kita mengambil maklum dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekitar. Lebih baik mencegah daripada merawat. Untuk tips sejukkan rumah boleh baca lanjut di SINI.

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button