Apa Kita Rugi Kalau Tak Turun Undi Pilihan Raya Kali Ini?
Kenapa Penting Untuk Pergi Mengundi Pilihan Raya Umum Atau Pilihan Raya Negeri
Macam yang kita tahu, pilihan raya merupakan ciri penting dalam sistem demokrasi jadi amatlah rugi kalau kita tak turun undi pilihan raya ini. Sebab itulah pilihan raya tidak kira Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Negeri menjadi kaedah mudah membezakan negara yang demokrasi dengan tidak demokrasi. Mungkin susah untuk memastikan penglibatan secara langsung dan aktif setiap warganegara dalam politik, sebab itulah mengundi dilihat jalan paling mudah dan berkesan bagi sekurang-kurangnya memastikan proses demokrasi berfungsi dengan baik.
Namun, pilihan raya tidak ada maknanya kalau pengundi sendiri tak keluar untuk mengundi. Walaupun tiada hukuman yang akan dikenakan bagi warganegaranya yang tak turun undi pilihan raya, ia tetap menjadi keperluan yang penting dalam pemerintahan. Dengan mengundi kita telah menunaikan hak dan tanggungjawab sebagai warganegara kepada negara dan juga masa depan anak cucu kita. ‘Tak rugi apa pun kalau tak mengundi, mengundi pun bukan dapat apa,” kata mereka yang tak mengundi. Ada ke kerugian kalau kita tak pergi mengundi? Dalam artikel ini kita akan kupas apa kerugian yang kalau kita tak keluar mengundi pilihan raya.
Kerugian Kalau Kita Tak Turun Undi Pilihan Raya Negeri Atau Pilihan Raya Umum
1. Kehilangan Hak Untuk Bersuara
Ini adalah kerugian yang paling jelas. Tanpa mengundi, suara kita tidak akan dihitung dalam keputusan pilihan raya. Pendapat dan pandangan kita tidak akan diwakili di dalam sistem politik.
Kehilangan hak bersuara dalam pilihan raya boleh membawa kepada kurangnya representasi, pengaruh, dan penglibatan dalam proses politik. Kita sepatutnya menghargai hak ini dan turut serta dalam setiap peluang pilihan raya untuk memastikan suara didengar dan keadilan kita semua terjamin.
2.Isu-Isu Penting Diketepikan
Dalam pilihan raya, isu-isu penting seperti pendidikan, kesihatan, ekonomi, dan alam sekitar akan dibangkitkan. Kalau kita tidak mengundi, macam mana kita nak pastikan wakil rakyat yang dipilih mengambil berat tentang bagaimana isu-isu ini harus diuruskan untuk menjamin kesejahteraan kita.
Terutamanya pada zaman sekarang ni, semua benda mahal. Kadang-kadang bila beli barang rumah untuk satu bulan tak penuh troli pun dah boleh cecah RM200. Kita yang B40 ni, macam mana nak teruskan hidup kalau harga barang makin hari makin meningkat kan? Jadi isu-isu ini lah yang perlu diketengahkan dalam musim pilihan raya.
3. Hak Golongan Muda Diabaikan
Lebih 20 juta rakyat Malaysia dijangka keluar mengundi, dengan golongan belia Malaysia (berumur 18-29 tahun) kini menjadi blok pemilih terbesar. Ini berikutan pewartaan Undi18, yang membenarkan semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas mengundi. Sebagai blok pemilih terbesar, pilihan anak muda akan menjadi representasi untuk politik Malaysia secara keseluruhannya.
Jika golongan muda tidak mengundi, pandangan dan aspirasi mereka mungkin tidak diwakili sepenuhnya dalam sistem politik. Ini boleh mengakibatkan dasar-dasar yang tidak mengambil kira kepentingan generasi muda. Oleh kerana golongan muda kini mampu untuk berfikir secara matang dan tahu hak masing-masing, adalah amatlah penting untuk kita turun mengundi dalam pilihan raya kali ini. Contohnya, mana lah tahu isu underpaid intern ini boleh dipertimbangkan dan diselesaikan satu hari nanti.
4. Dapat Pemimpin Yang Lemah
Mengundi adalah satu-satunya cara memastikan bahawa wakil-wakil rakyat yang terpilih benar-benar mencerminkan pandangan dan aspirasi rakyat. Tanpa penglibatan dalam proses ini, kita tidak memainkan peranan dalam memilih wakil-wakil yang paling tepat dalam menjamin kepentingan anda dan masyarakat untuk membawa perubahan yang positif.
Biarpun pertelingkahan antara ahli-ahli politik membuatkan kita merasa mual terhadap politik, namun memilih untuk boikot dan tidak turun mengundi dalam pilihan raya bukanlah caranya. Satu undi yang ditinggalkan bererti kita memberi satu peluang tambahan untuk kemenangan orang yang salah. Sudah pastilah kan kita tidak mahu orang yang salah atau terlibat dalam kes salah laku dan rasuah untuk memimpin kita. Sebagaimana yang pernah disebutkan oleh William E Simon;
“Bad politicians are sent to Washington by good people who don’t vote.” – William E Simon
5. Ekonomi Negara Tidak Terjamin & Boleh Terjejas
Wakil-wakil rakyat yang terpilih dalam pilihan raya mempengaruhi dasar-dasar ekonomi yang akan dilaksanakan. Keputusan mengenai cukai, peraturan perniagaan, insentif pelaburan, dan lain-lain boleh memberi impak langsung kepada ekonomi negara. Oleh itu, menjadi satu kerugian kepada kita kerana tak dapat menjamin kestabilan ekonomi negara jika tidak turun mengundi. Ini lah sebabnya kita perlu gunakan peluang ini dan laksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dalam pilihan raya.
Dengan mengundi pemimpin yang memahami dan mengutamakan kepentingan ekonomi, kita turut membantu dalam membentuk dasar-dasar yang mendukung pertumbuhan dan kestabilan ekonomi. Pada masa yang sama, pelabur luar negara cenderung merasa lebih yakin untuk melabur dalam negara tersebut.
Buat yang terlibat dalam pilihan raya, kita mempunyai peluang untuk mengubah negeri dan negara kearah yang lebih baik dan positif. Setiap rakyat yang layak mengundi wajib menunaikan tanggungjawab masing-masing. Jangan hanya menjadi rakyat pasif dan tidak mahu ambil tahu tentang politik negara.
Jangan hanya ‘bising-bising’ atau ‘memekak’ dalam media sosial, tapi tak turun undi pilihan raya pun. Sebaliknya terjemahkan ‘suara’ itu dalam bentuk tindakan iaitu dengan mengundi. Buat kali pertama yang mengundi, sebaiknya menyemak butiran daftar pemilih terlebih dahulu di laman web utama MySPRSemak dengan ikuti panduan di SINI.