Tempat Makan di Kuala Lumpur Mesra Poket? Ini Dia 10 Kedai Yang Patut Korang Pergi
TOP 10 Tempat Makan Mesra B40 Di Kuala Lumpur
Kuala Lumpur antara bandar yang mempunyai tempat makan yang agak mustahil untuk habis diterokai. Terlampau banyak, dari yang terletak di tengah-tengah kota, hinggalah yang tersembunyi. Bagi golongan B40, mencari tempat makan yang enak dengan harga yang berpatutan di tengah-tengah bandar metropolitan ini pastinya seperti sesuatu yang mustahil untuk ditemukan.
Jangan risau, kerana dalam artikel ini kami akan kongsikan beberapa pilihan tempat makan terbaik dan sedap di Kuala Lumpur yang mesra B40 atau erti kata lain harga yang murah dan berpatutan. Siapa kata nak makan makanan yang sedap semuanya kena mahal? Jom kita terjah tempat makan yang mungkin korang tak tahu ada di bandaraya Kuala Lumpur!
Tempat Makan Best Di Kuala Lumpur Yang Mesra Poket
1. Cucuk – Cucuk Steamboat
Siapa kata steamboat kat KL ni semuanya buffet dan mahal? Ada je murah dan berpatutan dengan harga yang sesuai untuk rakyat marhaen macam kita ni. Kalau teringin, korang kena cuba pergi sini Cucuk-Cucuk Steamboat berhampiran dengan LRT Ampang Park. Cucuk-Cucuk Steamboat telah lama menjadi pilihan kebanyakkan orang terutamanya pekerja-pekerja yang baru balik kerja untuk singgah dan makan di sini.
Ada pelbagai jenis makanan yang telah dicucuk dengan lidi seperti ayam, daging lembu, udang, kerang, malah sayur-sayuran disediakan. Senang cerita, tinggal pilih lidi dari harga serendah RM 1.50, lepas tu mereka akan masukkan dalam sup panas yang mendidih. Lepas tu tunggu je la, bila dah masak, cicah bersama ketiga-tiga sos yang disediakan iaitu kuah manis, kuah pedas dan kuah kacang. Memang ngam!
Cucuk – Cucuk Steamboat akan tutup sebaik saja bahan-bahan habis. Jadi kalau nak makan, datang awal tau sebab warung tepi jalan ini memang ramai orang akan datang tidak henti-henti.
Alamat: Berhampiran LRT Ampang Park
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.00 pm – 11.00 pm)
2. Nasi Lemak Kak Chuk
Nasi lemak di sini bukan sahaja aromatik, wangi, berlemak dan sedap malah sambal dia memainkan peranan penting tau menambah lebih rasa unik kepada hidangan ini. Paling penting sekali adalah, korang semua wajib makan dengan sayur kangkung tau! Kalau takda sayur kangkung bukan Nasi Lemak Kak Chuk lah.
Korang juga boleh nikmati nasi lemak bersama lauk-pauk yang dimasak menggunakan resipi keluarga Kak Chuk sendiri. Antara lauk yang menjadi kegemaran ramai ialah ayam berempah, ayam rendang, sambal kerang, sambal sotong dan sebagainya.
Selain itu, kalau nak kunjungi kedai ini, wajib datang awal kerana memang ramai pelanggan sanggup beratur untuk mendapatkan sepinggan nasi lemak disini untuk memulakan hari mereka tau. Kalau datang lambat memang habis lah jawabnya kan? Warung ini ada menyediakan tempat duduk tetapi sedikit terhad dan selalunya pelanggan mereka lebih gemar bungkus berbanding makan di kedai.
Alamat: 1, Jalan Daud, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (6:30 am – 11:30 am , 5:30 pm – 10 pm) | Isnin (Tutup)
3. Restoran Kudu Chowkit
Siapa kata di Kuala Lumpur tidak ada kedai nasi kandar yang sedap macam di Penang? Restoran Kudu Chowkit merupakan pilihan ramai terutama pada waktu makan tengahari, di mana ramai pelanggan sanggup beratur panjang untuk menikmati nasi kandar yang sedap di KL.
Di sini, korang boleh nikmati pelbagai jenis lauk seperti daging masak kicap, ayam sambal bawang, ayam madu, ayam goreng masala, ayam masak merah atau masakan seafood dengan pelengkap hidangan lain seperti telur masin, kacang bendi dan sebagainya.
Restoran Kudu Chowkit telah dibuka sejak tahun 1969 lagi, tempat makan ini turut pernah dilawati oleh seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang mana hidangan kegemaran beliau adalah daging kicap. Apa lagi? Mesti cuba!
Alamat: 335, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Chow Kit, 50100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Selasa – Khamis, Sabtu, Isnin (8.00 am – 7.00 pm) | Jumaat (8.00 am – 12.45 pm, 2.00 pm – 7.00 pm) | Ahad (Tutup)
4. Kedai Batu Kg. Pandan
Berkonsepkan seperti foodcourt dan harga pun memang berbaloi dengan makanan-makanan di sana. Terletak di tengah-tengah Kg. Pandan, tempat ni dah jadi pilihan ramai warga tempatan dan orang luar. Satu benda yang unik kat Kedai Batu Kg. Pandan ni, dia ada macam-macam jenis makanan seperti masakan panas, sate, western food dan lain-lain. Paling best, korang kena cuba nasi goreng dan ABC dia memang power gila.
Alamat: Jalan Thaver, Kampung Pandan, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (12.00 pm – 11.00 pm)
5. Yong Tau Foo Kg. Pandan
Ini antara kedai legend di Kampung Pandan sebab katanya dah lama bukak sejak tahun 1977. Yong tau foo di kedai ni sangat murah. Bayangkan lah, korang boleh menikmati sepinggan yong tau foo dengan hanya RM 5. Terdapat pelbagai pilihan seperti semua jenis bebola, telur puyuh, tauhu sumbat, peria goreng dan sebagainya.
Boleh pilih seberapa banyak yang korang semua nak. Lepastu bayar dan makan je. Keunikkan kedai ni kuah manis dan sambal yong tau foo, memang sedap dan cukup rasa. Korang juga boleh tambah sup dalam mangkuk kecil dan makan bersama yang membuatkan yong tau foo korang another level.
Alamat: 4, Jalan Thaver, Kampung Pandan, 55100 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin – Khamis, Sabtu – Ahad (11.30 am – 8.30 pm) | Jumaat (Tutup)
6. Mat Rock Ayam Goreng Kunyit
Menu simple macam ayam goreng kunyit pun boleh jadi viral? Kalau korang cuba hidangan di Mat Rock Ayam Goreng Kunyit ni, baru lah tahu kenapa.
Perniagaan yang pada awalnya dimulakan dengan hanya sebuah trak di sekitar KL pada 13 tahun yang lalu, kini berkembang sehingga hampir 10 buah trak dan mampu membuka kedai makan kerana sambutan hangat daripada orang ramai.
Dah singgah ke sini, korang boleh cuba set nasi ayam goreng kunyit bersama dengan teh o ais. Ayamnya cukup juicy dan garing pada masa yang sama! Berbeza dengan kedai lain yang kebiasaannya memasak ayam sehingga kering atau keras. Sambal yang dihidangkan bersama nasi ini juga meningkatkan tahap kelazatannya. Mesti cuba!
Alamat: Ayam Goreng Kunyit Mat Rock Special, Jalan Kampung Pandan, Maluri, 55100 Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (11.00 am – 11.00 pm)
7. Nasi Kahwin Hari-Hari
Kedai makan ini memang terkenal di Bukit Bintang. Jika ada yang rindu untuk makan menu kenduri, bolehlah datang ke sini. Antara menu yang menjadi kesukaan ramai adalah nasi minyak yang dimakan bersama ayam rose terangkat, ayam madu dua, daging masak hitam dan kambing pasamah.
Rasanya memang mengiurkan dan pasti menjilat jari. Bukan makanan sahaja enak, namun dekorasi tempatnya juga menarik dengan hiasan mural di dinding. Sambil makan bolehlah korang ootd dengan kreatif.
Alamat: Lorong, Jalan Berangan, Bukit Bintang, 50200 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin-Ahad (10.00 am – 5.30 pm)
8. Nasi Ayam MASH Kg Dato’ Keramat
Kampung Datuk Keramat memang terkenal dengan lambakan kedai yang boleh dikatakan sedap dan menyelerakan. Salah satu daripadanya adalah Nasi Ayam Mash ini. Apa yang menariknya di Nasi Ayam Mash ini adalah kicapnya yang lain daripada yang lain.
Ayamnya digoreng garing. Nasinya juga memang sangat sedap dan menepati cita rasa orang-orang melayu. Kerana keenakan nasi ayam ini, memang ramai yang menganggap kedai ini adalah kedai makan terbaik di Kuala Lumpur.
Alamat: 152, Jalan Keramat, Kampung Datuk Keramat, 54000 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Selasa – Khamis, Sabtu, Isnin (11.00 am – 3.00 pm) | Jumaat (11.00 am – 2.00 pm)
9. Suraya Seafood
Makanan Thai memang dekat dengan orang kita. Tidak mengira bangsa, ianya sentiasa menjadi pesanan ramai pelanggan di kebanyakan tempat makan. Jelas menunjukkan yang tomyam dan orang Malaysia berpisah tiada.
Restoran Suraya Seafood ini ada menyediakan makanan Thai yang digemari ramai. Antaranya ialah tomyam, kerabu maggie, ikan siakap tiga rasa, kerang bakar dan pulut mangga. Terlajak lazat, percayalah!
Alamat: Jalan Raja Muda Musa, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (1.00 pm – 12.00 am) | Ahad (1.00 pm – 4.00 am)
10. Selera Ramai Ikan Singgang
Bagi yang dah lama tak pekena lauk ikan singgang, datanglah ke Selera Ramai Ikan Singgang yang cukup popular dan harganya sangat berbaloi di Kampung Baru. Menu yang dihidangkan di gerai Ikan Singgang asli ini memang mempunyai citarasa gabungan masakan Selatan Thai dan juga Kelantan yang bersifat tradisional.
Menu yang mesti korang cuba semestinya Ikan Singgang, Ikan Rebus Goreng, Lidah Goreng dan juga ulam-ulaman. Sekali cuba, pasti nak lagi!
Alamat: 46, 786, Jalan Dewan Sultan Sulaiman, Kampung Baru, 50300 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Waktu Operasi: Isnin – Ahad (5.00 pm – 2.00 am)
Jadi, peminat makanan yang ingin merasa nikmatnya cita rasa Kuala Lumpur tanpa perlu mengorbankan bajet, janganlah risau lagi! Kota ini memang penuh dengan pelbagai pilihan makanan sedap yang mesra poket.
Dari gerai jalanan sehingga restoran menarik, Kuala Lumpur menawarkan tempat makan dengan keunikan kuliner yang pasti menepati cita rasa tanpa mengoyakkan dompet korang semua. Jom menjelajah dan mencuba pelbagai hidangan yang sedap-sedap dan juga jimat. Selamat menikmati ! Kalau nak tahu cara buat telur separuh masak boleh baca di SINI.