Setiap Tahun Azam Baru Jadi Angan-Angan? Ini 5 Tips Azam Baru Pasti Jadi!
Cara Pasang Azam Baru Sehingga Berjaya
Azam baru merupakan salah satu benda yang kita buat setiap kali bertukar tahun baru, mungkin bagi kita nak mempunyai permulaan yang baru. Ada antara kita nak berazam nak hidup lebih sihat, nak jadi lebih produktif, kewangan lebih stabil dan sebagainya. Seperti tahun-tahun sebelum ini, berapa banyak azam baru yang korang dah tanam, berapa banyak yang korang dah berjaya capai, dan berapa banyak pula azam menjadi angan-angan?
Sudah tentu nak berazam tu lebih mudah dari melaksanakan azam tersebut. Kadang-kadang belum sampai suku tahun, azam yang kita tanam pada awal tahun kita dah tinggalkan dan tak ada perubahan langsung. Memang tak dinafikan kita semua pernah mengalami masalah sebegini. Tapi apa yang kita boleh buat untuk pastikan ianya tak berulang lagi pada tahun ini?
Cara Pasang Azam Baru Sehingga Berjaya
Jom kita sama-sama berusaha capai azam tahun baru kita dengan praktikkan 5 tips ini:
#1 Kena Tahu Kenapa Penting Untuk Capai Azam Tu?
Sumber Gambar Gordon Training
Sebelum kita mula tanamkan azam, kita tanya diri kita sendiri dulu kenapa kita hendak tanam azam tersebut? Hal ini kerana kita hendak memastikan azam yang kita tanam itu mempunyai tujuan yang betul-betul kita nak capai sesuai dengan tujuan kita. Dalam satu kajian oleh Journal of Clinical Psychology dinyatakan bahawa mereka yang menanam azam baru setiap tahun dengan tujuan yang jelas adalah 10 kali lebih berkemungkinan untuk berjaya mencapai azam tersebut berbanding mereka yang tidak berbuat demikian.
Kalau korang nak tahu, dalam kajian sama juga menunjukkan cuma 12% mereka yang berazam setiap tahun berjaya mencapai azam mereka. Jadi korang harus tahu tujuan di sebalik azam korang. Contohnya, korang berazam nak mempunyai kewangan yang stabil, tujuannya mungkin untuk keluarga korang atau korang sendiri mempunyai hidup yang lebih baik. Barulah rasa lebih bersemangat kan nak capai azam tu.
#2 Letak Azam Yang Spesifik Dan Realistik! Jangan Umum Sangat
Sumber Gambar KappanOnline
Setiap kali menjelang tahun baru, jutaan manusia berazam untuk ‘kurangkan berat badan’, ‘jadi lebih produktif’, ‘mempunyai kewangan stabil’ dan sebagainya. Perkara ini tidaklah salah namun kalau korang jadikan azam korang lebih spesifik dan realistik, korang akan mempunyai motivasi yang lebih untuk mencapai azam tersebut. Dalam erti kata lain, pastikan azam baru yang korang tetapkan itu boleh dicapai dengan kadar kemampuan masing-masing.
Contohnya, korang mempunyai azam nak kurangkan berat badan. Jadikan azam tersebut lebih spesifik seperti ‘nak kurangkan berat badan 2 kg setiap bulan dengan memastikan kalori defisit 300 kcals setiap hari’. Bila azam korang spesifik, lebih mudah untuk korang buat perancangan untuk mencapainya kerana mempunyai sasaran yang lebih tepat. Pastikan sasaran dan azam korang realistik dan bukannya drastik.
#3 Jangan Banyak Sangat Azam! 1 -3 Azam Dah Cukup
Sumber Gambar Time
Mungkin ada di antara kita yang mempunyai senarai yang panjang untuk pelbagai azam setiap kali menjelang tahun baru. Apa kata kali ini kita cuba kurangkan azam yang kita nak capai setiap tahun dan fokus kepada 1 ke 3 azam sahaja. Profesor psikologi di Universiti Hertfordshire bernama Richard Wiseman mencadangkan fokuskan tenaga pada satu azam sahaja lebih baik dan lebih mudah tercapai berbanding menyalurkan tenaga pada bermacam-macam azam yang setiap satunya mempunyai objektif tersendiri.
Perkara ini juga disokong oleh American Psychological Association (APA) bahawa fokus terhadap satu matlamat mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk mencapai kejayaan jangka panjang. Nak buat semua benda ni sangat memenatkan. Kalau korang fokus kepada satu atau dua azam sahaja, perkara tersebut lebih mudah untuk dicapai.
#4 Dah Ada Azam Perlu Ada Rancangan! Tak Boleh Redah Je
Sumber Gambar Freepik
Kita selalu mendengar bahawa gagal merancang bermakna merancang untuk gagal. Perkara ini sangat benar. Jangan tunggu sampai minit terakhir baru korang nak pilih azam dan buat perancangan. Perancangan azam pula juga mestilah bermula selesai sahaja korang dah tetapkan azam baru korang. Pakar mencadangkan supaya kita melakukan brainstorm bagaimana kita hendak mencapai azam kita termasuklah merubah perlakuan, langkah yang kita perlu ambil, kenapa kita ingin melakukannya, dan bagaimana kita hendak jejaki apa yang kita buat selaras dengan azam kita.
Perancangan yang kita buat mestilah terperinci dan spesifik, termasuklah apa yang kita boleh atau perlu buat jika kita menghadapi halangan dalam mencapai azam tersebut. Contohnya, kita merancang untuk berjoging 4 hari seminggu untuk pastikan hilang berat selama 2kg setiap bulan, namun ada minggu kita mempunyai kecederaan atau kesakitan dan sudah tak berjogging selama 5 hari berturut-turut. Apa yang kita boleh buat untuk pastikan azam kita tadi masih tercapai? Bagaimana kita hendak meneruskan azam tersebut? Semua ini harus diletakkan dalam perancangan.
#5 Mulakan Dengan Langkah Kecil, Baru Boleh Capai
Sumber Gambar 9Gag
Mempunyai visi dan matlamat yang besar tidak salah. Tapi dalam mencapai azam baru korang, mulakan dengan langkah kecil terlebih dahulu. Jangan letak sasaran yang di luar kemampuan diri sendiri. Perkara ini boleh menjadikan korang hilang motivasi dan meninggalkan azam tersebut. Langkah-langkah kecil yang korang ambil inilah akan membantu korang untuk mencapai azam korang yang lebih besar.
Contoh korang berazam untuk menyertai marathon. Korang janganlah esoknya terus join marathon tanpa persedian dan perancangan. Mulakan dengan berjoging 2-3 kali seminggu dan perlahan-lahan tambah kekerapan dan jarak berjoging korang. Bagitu juga dengan azam baru yang lain. Ingat, seribu langkah bermula dengan satu langkah.
Tahun baru pun sudah membuka lembarannya. Semoga azam kita tahun ini akan tercapai dengan mengamalkan 5 tips ini. Kalau nak tahu tips-tips kewangan yang boleh diamalkan seharian untuk jimat lebih RM5,000 setahun boleh baca lanjut di SINI