Atasi Masalah Singki Tersumbat Dengan Tips Mudah Ini. Tak Perlu Panggil Tukang Paip Untuk Baiki
Cara Mudah Baiki Singki Tersumbat
Mungkin korang dah perasan tanda-tanda awal bila singkit tersumbat. Air semakin lambat mengalir keluar daripada saluran singki. Kadang-kadang, ada bau yang tak sedap keluar daripada lubang singki. Dan tahu-tahu je, air di singki tiba-tiba bertakung dan tak mengalir keluar langsung. Masalah singki tersumbat boleh buat kita sakit kepala, lagi-lagi kalau masa tu ada banyak pinggan mangkuk yang nak dibasuh.
7 Tips Baiki Singki Tersumbat
Selalunya singki tersumbat ni berpunca daripada sisa makanan atau minyak yang membeku di bahagian saluran singki. Kalau korang hadapi masalah ni, jangan telefon tukang paip dulu! Ada cara yang lebih mudah (dan jauh lebih murah) yang boleh dilakukan sendiri di rumah!
1. Air Panas
Sumber Gambar Decoratex
Rasanya ni tips yang paling mudah. Panaskan air dalam cerek sampai ia mendidih. Kemudian, korang akan menuang air panas tersebut secara berperingkat. Tuang sedikit air panas ke dalam lubang singki, tunggu sekejap untuk biarkan air tu mengalirkan segala sisa makanan yang tersangkut di paip. Kemudian tuang lagi beberapa kali, sampailah air berjaya mengalir dengan lancar. Kalau ada air lebihan dalam cerek, boleh reward diri sendiri dengan secawan teh atau kopi.
2. Sabun Pencuci Pinggan
Apa-apa jenama sabun pencuci pinggan boleh digunakan, asalkan ia dalam bentuk cecair. Caranya: korang picitkan sabun ke bahagian lubang singki dan kemudian jiruskan dengan air panas sampailah singki dah tak tersumbat. Selalunya sisa-sisa makanan yang berminyak yang membuatkan singki tersumbat, jadi gabungan sabun dan air panas boleh membantu untuk larutkannya.
3. Cuka dan Baking Soda
Sumber Gambar Free Malaysia Today
Gabungan dua benda ni memang dikenali sebagai agen pencuci yang berkesan. Caranya:
- Gabungkan ⅓ cawan baking soda dengan ⅓ cawan cuka. Kacau sampai ia berbuih.
- Tuangkan campuran yang berbuih tadi ke dalam lubang singki yang tersumbat dan tunggu dalam 10 minit untuk ia bersihkannya.
- Jirus dengan air panas sehingga lubang singki dah tak tersumbat lagi.
4. Garam
Garam ni bahan yang wajib ada dekat setiap dapur dan ia juga boleh digunakan untuk membaiki singki yang tersumbat. Caranya senang je, taburkan garam ke lubang yang tersumbat, lagi elok kalau guna garam kasar, dan kemudian jiruskan dengan air panas. Partikel garam yang kasar tersebut akan bergesel dengan sisa makanan yang tersangkut dan membawa ia mengalir keluar bersama-sama.
5. Pelocok
Sumber Gambar Detour Plumbing
Pelocok atau plunger adalah salah satu alat yang sering digunakan untuk membaiki singki yang tersumbat. Cuma kadang-kadang, singki masih tersumbat walaupun dah gunakan pelocok. Ini tandanya, orang itu melakukannya dengan cara yang salah. Cara yang betul untuk gunakan pelocok adalah dengan menekan pelocok tadi betul-betul di lubang singki dan singki tersebut mestilah berisi dengan air. Tekanan antara air dan pelocok tu nanti yang akan membantu untuk mengeluarkan sisa makanan yang melekat di saluran singki.
6. Drain Snake atau Dawai
Sumber Gambar Lazada
Ada satu alat yang dipanggil drain snake. Ia adalah sejenis tali bergerigi yang panjang dan fleksibel. Korang boleh dapatkan di mana-mana kedai DIY atau beli online di Shopee pun boleh. Cara gunakannya pun mudah.
- Masukkan tali tersebut ke dalam saluran singki sampailah ia tersekat.
- Kemudian, pusing-pusingkan beberapa kali supaya benda yang menyekat aliran air tu akan tersangkut pada drain snake dan tarik perlahan-lahan.
- Ulang beberapa kali sampai singki dah tak tersumbat.
Kalau korang nak gunakan dawai atau hanger besi pun boleh juga, tapi ia tak fleksibel sangatlah.
7. Buka Perangkap Paip
Sumber Gambar Sirap Limau
Antara tempat yang korang kena periksa kalau singki tersumbat adalah perangkap singki yang terletak di bahagian bawah. Singki ni ada banyak jenis perangkap, tapi fungsinya semua sama, iaitu untuk memerangkap sisa-sisa makanan. Sebelum nak tanggalkan, pastikan dah sediakan baldi di bawahnya. Buka perangkap perlahan-lahan dan biarkan air habis mengalir dulu. Kemudian gunakan dawai atau berus gigi lama untuk menolak keluar apa-apa sisa yang tersangkut. Bila dah selesai, boleh cuci dengan air paip.
Jadi sebenarnya senang je nak baiki singki yang tersumbat ni. Tak payah nak telefon tukang paip pun. Boleh buat sendiri je. Kadang-kadang, dekat bilik air pun, air boleh bertakung juga bila rambut yang gugur terkumpul dekat bahagian lubang saliran bilik air. Untuk elakkan masalah keguguran rambut korang boleh gunakan petua-petua di SINI.