Masuk Nak Beli 1 Barang, Keluar Dengan 10 Barang! Elak Benda Ini Terjadi, Ini Tips Beli Barang Kedai RM2 Dan Lain-Lain
Cara Mudah Beli Barang Di Kedai Eco, Daiso, Mr. DIY Dan Lain-Lain
Apa tips beli barang kedai RM2? Kedai ECO, Daiso, dan Mr. DIY antara kedai yang menjadi kegemaran kita semua untuk pergi sebab apa yang kita nak cari, mesti ada dekat situ. Nak pula, harganya semua murah-murah belaka. Tapi pernah tak korang masuk kedai-kedai ni dengan niat nak beli satu dua barang je, tapi lepas dah pusing-pusing satu kedai, tiba-tiba dekat kaunter masa nak bayar, dia jadi penuh satu bakul pula.
Tips Beli Barang Kedai RM2 dan Cara untuk Mengatasi Terlebih Belanja
Sebenarnya kedai-kedai ni bukan berhantu, tapi diorang bermain dengan psikologi kita sebagai pelanggan setiap kali masuk ke dalam kedai. Jangan korang terkejut pula kalau kitorang kata setiap rak, setiap barang yang tersusun ada sebabnya dan benda ni akan mempengaruhi keputusan pembelian kita.
Jom kita baca perkongsian saudara Fahmi Samuni mengenai trik psikologi yang digunakan oleh kedai-kedai ni dan macam mana cara untuk kita atasinya!
1. Jangan Guna Troli Atau Bakul!
Sumber Gambar Ecoindustrialstorageracks
Mungkin korang fikir, “Alah, troli ni buat tempat letak barang je. Apa yang psikologinya?” Benda yang dianggap remeh ni lah sebenarnya yang membuatkan korang rasa nak tambah barang lagi. Troli yang kosong akan memberi isyarat pada otak yang korang masih ada banyak ruang untuk diisi dengan barang-barang lain.
Memandangkan barang-barang yang terdapat di kedai-kedai ni selalunya kecil-kecil, troli atau bakul korang akan nampak kosong kalau isi satu atau dua barang je. Jadi korang pun lebih terasa nak isi bakut atau troli tu dengan lebih banyak barang lagi bila nampak masih banyak ruang dalam troli atau bakul.
Tips beli barang kedai RM2 yang pertama: Bila korang masuk ke dalam kedai, jangan ambil troli atau bakul. Jalan dengan tangan kosong je dan fokus pada barang yang korang nak beli je. Kalau barang yang nak dibeli tu muat untuk dipegang dengan tangan, pegang je. Kalau banyak barang, jangan tak pakai bakul atau troli pula. Nanti kalau jatuh kan dah susah.
2. Tutup Mata Pada Harga Promosi!
Sumber Gambar MrDIY
Strategi ni semua kedai pun akan lakukan. Diorang akan letakkan tanda promosi yang besar dan berwarna-warni untuk tarik perhatian korang untuk beli benda tu. Harga asal selalunya akan dipotong dan diletakkan harga promosi yang lebih besar yang boleh membuatkan korang rasa berbaloi bila beli barang tu. Padahal asalnya korang tak nak beli barang tu pun.
Tips beli barang kedai RM2 yang kedua: Jangan masuk ke kedai bila korang nampak poster promosi besar-besar. Tapi macam susah pula nak tahan diri daripada masuk kedai yang ada promosi, kan? Kalau nak masuk juga, tanamkan dalam kepala yang sebenarnya harga promosi tu adalah sama je dengan harga asal. Melainkan korang betul-betul perlukan barang tu, baru beli, sebab beli barang promosi juga salah-satu cara untuk berjimat. Nak tahu lebih lanjut? Boleh baca di SINI.
3. Jaga Mata Tu! Tengok Senarai Barang Nak Dibeli Je!
Sumber Gambar Desainrumahid
Kalau korang perasan, banyak barang-barang keperluan harian seperti pinggan mangkuk, bekas-bekas makanan, akan diletakkan pada paras mata. Dengan cara ni, benda-benda kegunaan harian ni lah yang korang akan nampak dulu bila lalu di antara rak-rak di kedai. Tu yang rasa nak beli semua benda sebab korang rasa benda tu diperlukan, walaupun hakikatnya dekat rumah dah ada je benda-benda ni semua.
Tips beli barang kedai RM2 yang ketiga: Bila masuk ke kedai, cuba untuk jalan menunduk atau mendongak sedikit supaya korang tak rasa tertarik nak beli barang-barang yang dipamerkan pada paras mata ni. Macam kelakar sikit nak buat kan? Kalau gitu korang buat tips tambahan ni iaitu sebelum nak masuk kedai, pastikan korang dah ada senarai barang-barang yang nak dibeli dan fokus untuk beli barang-barang tu je.
4. Jangan Terpengaruh Dengan Warna Produk!
Sumber Gambar Says
Warna produk pun boleh mempunyai peranan yang kuat dalam mempengaruhi kuasa membeli. Warna-warna yang terang dan nampak ceria selalunya akan membuatkan orang tertarik untuk beli. Sebab tu banyak produk-produk ni mempunyai warna-warna yang terang. Kadang-kadang korang tak perlukan pun barang tu, tapi akhirnya barang tu dibeli juga sebab tertarik dengan warnanya.
Kadang-kadang, warna sekeliling pun boleh mempengaruhi minda korang secara tak sedar. Bakul atau troli berwarna kuning membuatkan korang rasa nak beli produk warna kuning. Dan kalau pemegang troli berwarna merah pula korang jadi lebih cenderung untuk membeli barang yang warna merah pula.
Tips beli barang kedai RM2 yang keempat: Bila nak masuk ke kedai-kedai ni, pastikan korang pakai spek mata warna hitam. Barulah warna-warna ni akan kelihatan sama je dalam pandangan mata. Jadi tak adalah korang terpengaruh nak beli produk tu sebab warna dia je. Ini tips psikologi tau, mungkin korang rasa lawak, tapi cuba buat dulu.
Beli barang dekat kedai ni, bukan macam beli tudung, yang korang boleh beli macam-macam warna dan boleh pakai warna lain untuk hari lain. Kalau ada satu jug dekat rumah, jug tu je lah yang korang akan gunakan sampai rosak. Kalau beli jug macam-macam warna, nanti buat penuh kabinet je sambil kumpul habuk. Dah jadi satu kerja lain pula nak mengemas.
Ternyata setiap susunan di dalam kedai-kedai RM2 dan sewaktu dengannya ada sebabnya tersendiri. Akhirnya, terpulang pada kita juga untuk mengelak daripada menjadi ‘mangsa’ kepada trik psikologi lalu membeli barang lebih daripada apa yang kita perlukan. Ingat semua tips beli barang kedai RM2 ni dan jadilah pengguna yang bijak! Kalau nak tahu tips tempat beli barang keperluan yang murah boleh baca di SINI.