Cara MudahRumah

Tips Jadi Sukarelawan Bersih Rumah Banjir. Apa Perlu Bawa, Pakai & Adab Cuci Rumah Orang

Persediaan & Panduan Penting Sukarelawan Banjir

Susulan musibah banjir yang melanda beberapa tempat di negara kita baru-baru ini, ramai sukarelawan yang ingin menghulurkan bantuan bersih rumah banjir. Rakyat Malaysia sememangnya prihatin dalam membantu orang lain dalam kesusahan. Tidak kira bantuan dari segi kewangan mahupun tenaga kerja, pasti ramai yang berebut ingin menyumbang.

Memang tak dinafikan rakyat Malaysia amat terkenal dengan perasaan simpati dan sifat ingin membantu. Tapi harus diingat bila suka menolong ni, perlu buat betul-betul juga. Tak ada lah niat nak tolong orang tapi jadi makin menyusahkan pula. Contohnya nak datang membantu membersihkan rumah tetapi terpijak kaca kerana tak pakai kasut tebal, dah kena panggil ambulans pula tolong.

Tips Penting Sukarelawan Banjir

Berdasarkan perkongsian orang ramai di Twitter, ini adalah antara perkara penting yang perlu sukarelawan bersedia untuk membatu mangsa banjir:

 

Barang Yang Perlu Bawa / Pakai

1. Kasut Boot Getah / Safety Rubber Boot

Ini amat penting kerana kawasan banjir ini kita tak tahu apa yang ada di lantai. Ye lah dah banjir kan, boleh jadi ada paku, kaca atau benda tajam lain yang boleh melukakan tapak kaki korang. Nanti susah pula nak bekerja kan bila dan sakit. Jadi baik pakai kasut boot getah yang tahan ni berbanding selipar atau kasut yang mungkin boleh tembus.

2. Baju & Seluar Ganti / Spare

Disebabkan kawasan banjir lazimnya berlumpur, semestinya baju dan seluar korang akan dipenuhi dengan lumpur ataupun kotor dengan kesan banjir tersebut. Jadi untuk mengelakkan korang rasa tak selesa, bawa lah baju dan seluar spare ataupun pakai je terus baju yang memang nak buang. Jadi balik nanti tak perlu lah korang sibuk nak basuh baju yang teruk kotor tu.

3. Alatan Mandi

Selepas membersihkan kawasan banjir, pastinya korang perlu bersihkan diri dulu juga sebelum balik ke rumah atau masuk ke kereta. Jadi lebih baik bawa sendiri kelengkapan mandi untuk memudahkan urusan korang.

4. Penarik Air / Water Squeegee

Water squeegee atau penarik air ini adalah sangat penting untuk menolak dan menarik lumpur keluar dari rumah. Berbanding mop atau penyapu biasa, ini lebih sesuai untuk membuang lumpur daripada kawasan rumah.

5. Plastik Sampah Heavy Duty

Ini pula kegunaan yang paling utama juga dalam membersihkan kawasan banjir iaitu plastik sampah. Plastik sampah ni penting untuk membuang segala barang yang sudah tidak boleh digunakan lagi atau rosak akibat banjir seperti pinggan mangkuk yang pecah, buku yang basah dan sebagainya. Plastik besar ni lebih elok bawa yang besar dan untuk kegunaan lasak kerana tak mudah koyak.

6. Sarung Tangan Plastik / Heavy Duty

Yang ini juga sama penting dengan kasut boot getah tadi iaitu sarung tangan plastik yang tebal atau kegunaan tahan lasak. Ini kerana sewaktu membersihkan tu pasti korang akan tersentuh kaca yang pecah atau benda lain yang tajam. Jadi dengan memakai sarung tangan ni dapat lah selamatkan korang dan boleh terus buat kerja tanpa sakit.

7. Penyembur Air / Waterjet 

Waterjet atau penyembur air ini amatlah memudahkan kerja pembersihan di kawasan banjir khususnya bagi kawasan berlumpur. Contohnya bila bersihkan barang tu korang hanya perlu sembur sahaja dan tak perlu lap satu persatu bahagian yang terkena lumpur.

8. Penyodok 

Penyodok ini pula penting untuk mengangkat lumpur yang tertinggal di dalam kawasan rumah yang susah untuk ditolak keluar rumah seperti dalam tandas dan sebagainya.

9. Kereta Tolak / Wheel Barrow

Yang ini pula amatlah sesuai untuk dibawa bagi memudahkan kerja korang. Contohnya kalau dah angkat lumpur guna penyodok tadi boleh lah masuk kan dalam kereta tolak ni jadi lebih mudah nak bawa keluar atau nak buang jauh dari rumah. Nak angkat barang lain seperti sampah pun mudah guna benda ni.

10. Baldi

Kalau dekat rumah korang tak ada kereta tolak, boleh je bawa baldi juga sebab ianya sangat berguna. Pertama boleh jadi tempat tadah air bersih untuk jirus dan buang air lumpur. Selain tu boleh juga jadi tempat untuk cedok lumpur dan buang ke luar rumah.

11. Hos Air Getah / Water Pipe

Ini juga boleh digantikan jika korang tiada waterjet. Hos getah ni mudah untuk sembur air ke mana-mana bahagian yang kotor atau berlumpur. Kalau semburan paip tu tak kuat boleh pegang pada muncung hos dan tutup dengan jari sebahagian tempat keluar air agar lebih kuat pancuran air.

 

Elak Penyakit Kencing Tikus Sewaktu Banjir

Untuk para sukarelawan juga, haruslah diingat bahawa penyakit kencing tikus adalah satu penyakit yang mudah terkena sewaktu banjir kerana ia adalah penyakit bawaan air. Jadi untuk mengelak ini terjadi boleh ikut langkah berikut yang dikongsikan Dr Amirul Amzar:

  1. Pakai Kasut But
  2. Pastikan tiada luka yang terdedah
  3. Pakai pelindung mata untuk elak air banjir masuk ke mata
  4. Elakkan minum air banjir mentah
  5. Elakkan mengharungi air banjir jika tidak perlu
  6. Sekiranya boleh, tolong elakkan ambil wuduk menggunakan air banjir. Memang ianya sah, tetapi risiko jangkitan itu ada.

 

Adab Membersihkan Rumah Mangsa Banjir

Untuk membantu mangsa banjir juga, tidaklah semudah masuk dan terjah sahaja, sebagai seorang rakyat malaysia yang kaya dengan budi bahasa, kita haruslah mempunyai adab juga. ini antara perkongsian saudara Akmal Nasir mengenai adab bantu cuci rumah mangsa banjir:

  1. Minta izin tuan rumah
  2. Pindahkan semua barang dengan cermat
  3. Pastikan mana satu barang yang hendak diselamatkan dan mana satu barang yang hendak dibuang
  4. Cuci sehingga selesai, jangan tinggal separuh jalan
  5. Maklumkan kepada tuan rumah telah siap mencuci sebelum beredar

 

Sebenarnya mudah je kan nak tolong orang atau mangsa banjir ni. Kalau tak tahu macam mana ikut je NGO yang ada banyak buat misi bantuan mangsa banjir. Mereka selalunya akan lebih teratur dan bersedia dalam hal ini. Bagi mangsa banjir yang tenggelam peti sejuk, mesin basuh atau alat elektrik lain, jangan terus buang, baca tips dulu di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button