Ramai Ibu Tak Tahu Sahur Masa Terbaik Penghasilan Susu. Ini 7 Tips Agar Tak Kekurangan Susu Semasa Berpuasa!
Tips Berpuasa Semasa Menyusukan Anak Bagi Para Ibu
Betul ke ada ibu kekurangan susu semasa berpuasa? Sama seperti ibu yang sedang mengandung yang berpuasa, ibu yang menyusukan anak juga diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa sekiranya takut akan menjejaskan diri sendiri ataupun anak yang disusukan. Tetapi wujudkah risiko pada bayi sekiranya ibu yang menyusukan itu berpuasa? Boleh atau tidak seorang ibu yang berpuasa menyusukan anaknya?
Sumber Gambar Xtra
Sebenarnya kalau si ibu berpuasa, ia tidak akan membahayakan bayi pun sebab badan korang masih mampu menghasilkan jumlah susu yang cukup. Walaupun pengambilan kalori berkurangan semasa berpuasa, tetapi badan akan menyesuaikan cara penggunaan kalori agar bekalan susu untuk bayi sentiasa cukup.
Selalunya, ibu yang berpuasa di bulan Ramadhan tidak akan menghadapi sebarang masalah untuk menyusukan anak. Walau bagaimanapun, proses penyusuan akan membuatkan si ibu cepat dahaga dan berisiko untuk dehidrasi. Apabila badan dehidrasi pula, ia boleh mengundang penyakit-penyakit lain pula. Jadi macam mana nak buat ni? Kalau nak puasa juga sambil susukan bayi macam mana?
Tips Berpuasa Semasa Menyusukan Anak Agar Tidak Kekurangan Susu Semasa Berpuasa
Kalau korang rasa bayi lebih kuat menyusu semasa bulan puasa, bolehlah ikuti tips-tips di bawah ni agar penghasilan susu dalam badan tak terganggu:
Pengambilan Air yang Mencukupi
Sumber Gambar BeritaHarianSG
Memandangkan menyusukan anak boleh membuatkan si ibu mengalami dehidrasi, korang kenalah pastikan pengambilan air untuk hari tersebut mencukupi, iaitu 8 gelas sehari. Tapi semasa bulan puasa macam mana nak meminum 8 gelas air? KKM telah memberikan tips untuk memastikan pengambilan 8 gelas air mencukupi di bulan Ramadhan, iaitu:
- 1 gelas ketika bangun sahur
- 1 gelas selepas makan sahur
- 1 gelas semasa berbuka puasa
- 1 gelas selepas makan
- 1 gelas selepas solat maghrib
- 1 gelas selepas solat isyak
- 1 gelas selepas solat terawih
- 1 gelas sebelum tidur
Ambil Makanan Bersumber Protein dan Karbohidrat yang Tinggi
Sumber Gambar Hidangankhas
Pemakanan yang seimbang sebenarnya sangat membantu dalam melancarkan proses penyusuan badan. Banyakkan makanan dengan sumber protein yang tinggi seperti daging dan ikan semasa bersahur dan berbuka supaya dapat menghindari masalah kurang susu semasa berpuasa.
Tapi kalau tak larat atau tak sempat nak memasak bermacam-macam juadah, pengambilan telur sebagai pengganti daging dan ikan pun boleh memandangkan ia mengandungi sumber protein yang tinggi. Selain itu, ibu menyusu digalakkan untuk mengambil sumber karbohidrat kompleks seperti bijirin, oat, sayuran hijau, dan pasta kerana ia bagus untuk pembekalan tenaga secara perlahan-lahan kepada si ibu sepanjang hari.
Elakkan Makanan Bergoreng
Sumber Gambar Kesah Benar
Ibu yang menyusu perlu memakan makanan yang berkhasiat agar susu badan akan penuh dengan nutrien yang bagus untuk bayi. Elakkan daripada makanan bergoreng, makanan dalam tin, makanan proses, dan makanan yang manis agar kandungan nutrisi dalam susu berada di tahap yang terbaik.
Minum Smoothies Ketika Bersahur
Sumber Gambar Kongxie Blog
Pengambilan kalori yang cukup sangatlah penting untuk ibu yang menyusu badan. Ini kerana, dalam sehari, ibu yang menyusu badan akan membakar sehingga 500 kalori. Ia bersamaan dengan kalori yang dibakar apabila berjogging selama 40 minit! Jadi semasa bersahur, korang bolehlah meminum segelas smoothies untuk menambah jumlah kalori dalam badan. Selain tu, digalakkan juga untuk bersahur lewat agar badan dapat bertahan menyusu anak sambil berpuasa sepanjang hari.
Snek Selepas Berbuka
Sumber Gambar Al Dokter
Selepas terawih atau sebelum tidur, korang bolehlah makan snek sihat seperti buah-buahan untuk menambah nutrisi dan kalori dalam badan. Jangan pula jadikan keropok atau makanan ringan sebagai snek. Pengambilan snek yang sihat adalah lebih bagus untuk diri korang dan susu untuk bayi.
Suplemen Tambahan
Sumber Gambar Bola
Ataupun kalau korang memang jenis tak makan banyak dan takut nutrisi dalam susu tak mencukupi, boleh saja kalau nak ambil suplemen tambahan. Pastikan korang dah dapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu. Jangan berani-berani cuba apa-apa suplemen tanpa nasihat daripada doktor tau. Nanti sakit lain dah susah pulak.
Pam Susu Secara Konsisten
Sumber Gambar Pa&Ma
Sebenarnya, fisiologi dalam penghasilan susu badan adalah, semakin kerap anak menyusu, semakin banyak susu badan yang akan terhasil. Ia dipanggil sebagai ‘faktor rangsangan’. Jadi bagi memastikan kandungan susu dalam badan sentiasa cukup, korang kena pam susu secara konsisten.
Tapi kalau si ibu rasa penat apabila mengepam susu di siang hari, cuba tambahkan sesi pada waktu malam. Jangan lupa untuk mengepam susu pada waktu sahur sebab waktu tu kadar hormon prolaktin tinggi. Maka kuantiti susu yang dihasilkan lebih banyak.
Perlu diingatkan, walaupun dah ikuti tips-tips di atas, tapi kalau korang tetap rasa penat dan tak larat berpuasa, digalakkan untuk berbuka dan tak menyambung puasa untuk hari tu. Ini untuk mengelakkan kemudaratan kepada ibu mahupun bayi, daripada berlaku.
Semasa berpuasa, bahagian dalam mulut kita menjadi kering kerana tak meminum air di siang hari. Ini akan menyebabkan nafas jadi berbau. Ada cara nak atasi masalah ini, dan korang boleh baca tips-tipsnya di SINI.