KewanganTips Jimat

Nak Belanja Sikit Je Untuk Barang Dapur? Gunakan 5 Tips Jimat Beli Barang Dapur Ni!

5 Tips Jimat Beli Barang Dapur

5 Tips Jimat Beli Barang Dapur

Keadaan ekonomi yang tak stabil, tambah-tambah lagi kos sara hidup semakin meningkat tapi gaji masih rendah tak naik-naik membuatkan kita semua terpaksa akur dan membelanjakan duit yang agak banyak untuk beli barang dapur seperti beras, ayam, ikan, dan lain-lain lagi. Kadang-kadang sampaikan tak ada duit lebihan pun nak disimpan untuk digunakan semasa waktu kecemasan seperti sakit, kemalangan dan sebagainya.

Tapi sebenarnya ada je cara yang korang boleh guna untuk beli barang dapur, dalam masa yang sama dapat juga berjimat. Duit lebihan daripada penjimatan korang beli barang dapur ni nanti bolehlah simpan untuk kegunaan kecemasan nanti.

1. Asingkan 10% daripada Gaji untuk Beli Barang Dapur. Jangan Risau, Cukup Punya!

Setiap bulan mesti korang dah tahu lauk apa yang korang akan masak dan daripada situ, boleh terus bajetkan barang basah dan barang kering apa yang diperlukan setiap bulan. Untuk tempoh awal percubaan ni, cuba asingkan 10 peratus daripada jumlah gaji korang yang akan digunakan khas untuk barang dapur sahaja. Contoh kalau gaji korang RM3000, boleh asingkan siap-siap RM300 untuk barang dapur. Dengan cara ni, korang dah hadkan diri dengan bajet bulanan yang tetap dan cuba sedaya-upaya untuk berbelanja mengikut bajet yang dah diasingkan tu. Sebagai contoh:

  • Daging lembu: RM24/kg
  • Udang: RM25/kg
  • Sotong: RM30/kg
  • Ikan kembung: RM9/kg
  • Ayam: RM 45 (3 ekor)
  • Beras: RM24 (10kg)
  • Telur: RM9 (sepapan)
  • Sayur-sayuran & Rempah Ratus: RM50

Jumlah untuk semua barang ni dalam lebih kurang RM200 je dan selalunya boleh tahan selama sebulan untuk keluarga 3 orang. Untuk bajet bulanan ni, korang boleh ubah sendiri mengikut kemampuan. kalau rasa 10% daripada gaji tu sikit sangat, boleh naikkan sikit. Dan kalau rasa terlalu banyak pula, korang boleh kurangkan. Yang penting, bajet bulanan untuk barang dapur ni dah ditetapkan dan asingkan siap-siap setiap bulan supaya tidak terlebih belanja.

2. Buat List Sebelum Beli Barang

Sumber Gambar Yati

Tips ni ramai dah share tapi ramai juga yang tak buat lagi. Sebelum korang nak pergi beli barang dapur, pastikan korang dah siap-siap tulis barang apa yang nak beli. Kalau pergi pasar raya tanpa list barang di tangan, akhirnya korang akan berpusing-pusing dalam tu tanpa hala tujuan dan akhirnya benda yang tak sepatutnya beli pula masuk dalam troli. 

Ada tips yang boleh bantu korang tulis list barang dapur dengan cara yang lebih tersusun:

  • Kalau nak lagi senang dan ‘nampak’ apa barang dapur yang korang kena beli, cuba rancang menu harian. Contoh menu hari Isnin ayam masak lemak, menu hari Selasa, ikan goreng, dan seterusnya. Bila korang dah tahu menu apa yang korang nak masak, secara tak langsung korang dah boleh agak kuantiti sesuatu barang tu.
  • Tengok dulu stok barang di dapur sama ada barang yang nak dibeli tu masih ada dan elok ataupun dah habis atau rosak. Kalau dah habis baru beli, ini tak, main beli je last-last yang lama tak habis dah membazir.
  • Susun barang-barang dapur mengikut kategori. Bila dah tahu benda apa yang nak beli, korang boleh kategorikan barang-barang tu dalam kumpulan yang sama seperti makanan tin, bahan kering, makanan beku, bahan basah dan lain-lain. Bukan je korang boleh jimat masa bila buat macamni, korang juga boleh elakkan diri daripada menonong ke lorong lain yang tak berkaitan.
  • Jangan buang list tu! Korang boleh je guna balik senarai barang yang sama untuk setiap bulan yang akan datang. Jadi tak ada lah lepasni susah-susah setiap bulan kena fikir balik barang dapur apa yang patut dibeli.

3. Beli Barang Promosi atau Clearance

Sumber Gambar milosuam

Selalunya dalam pasar raya mesti diorang akan adakan satu tempat clearance, di mana di situ diletakkan barang-barang dapur yang tarikh luputnya dah nak dekat dan akan dijual dengan harga yang jauh lebih murah. Kalau korang nak guna cara ni, korang kena tengok-tengok juga barang yang dijual tu, contohnya sayuran, kalau-kalau keadaannya masih elok atau tak. 

Ada juga sesetengah pasar raya yang akan letakkan diskaun yang sangat banyak (kadang-kadang sampai 50 peratus!) pada beberapa barang dapur yang terpilih. Selalunya diorang akan lakukan ni pada waktu malam hari bekerja, mungkin sebab nak habiskan stok yang ada untuk haritu. 

Ataupun, korang boleh juga cari barang yang ada tag promosi atau yang diletakkan di rak promosi. Mungkin korang selalu beli barang jenama A, tapi haritu pasar raya ada promosi untuk barang jenama B dengan harga yang jauh lagi murah. Mungkin korang boleh beli barang yang lagi murah tu. Lagipun, rasanya tak ada lah jauh mana pun, kan? Silap-silap lebih sedap daripada brand biasa. Kalau tak sedap bulan depan beli balik brand cap biasa tu.

4. Beli Secara Pukal

Sumber Gambar Coffeeanddiary

Satu lagi cara nak jimat bila beli barang dapur, korang boleh beli barang dapur secara pukal. Maksudnya, korang beli terus stok untuk sebulan. Dengan cara ni, korang dah boleh jimat duit minyak nak ke pasar raya, duit nak bayar parking dan duit tol kalau ada. Lagi satu, selalunya barang yang lagi banyak dan ‘besar’ ni, pasar raya akan jual dengan harga yang lagi murah. Contohnya telur ayam 10 biji RM4.00, tapi kalau korang beli telur sepapan yang 30 biji tu, RM9.00 pun boleh dapat. Dah berapa Ringgit dah korang boleh jimat dekat situ.

5. Daftar Keahlian

Kalau selalu shopping dekat pasar raya yang ada sistem keahlian macam Tesco, AEON, dan Hero Market, lebih baik kalau korang daftar keahlian dekat situ. Selain dapat kumpul point yang boleh tebus, korang juga boleh nikmati harga promosi yang dikhaskan untuk ahli diorang je.

Kesimpulannya, dengan sedikit usaha, korang boleh je ambil langkah yang sepatutnya masa beli barang dapur supaya korang dapat jimat. Jadi lebihan duit belanja tu boleh masukkan ke dalam tabung kecemasan untuk kegunaan dikala saat mendesak seperti sakit dan kemalangan. Dah tahu cara jimat beli barang, nak tahu tempat-tempat beli barang dapur murah pulak? Baca sini.

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button