Tips Jimat Elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad
Bil elektrik mahal daripada biasa? Mungkin sebab lebih lama korang tinggal di rumah jadi lebih banyak guna elektrik. Tapi ada juga yang kata tak duduk rumah pun bil naik dengan mendadak. Jangan risau, korang boleh laporkan ke pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebab mungkin ada kebocoran elektrik ataupun salah pengiraan. Korang pun boleh cuba tips jimat elektrik daripada TNB ini agar bil elektrik tak tinggi sangat.
1. Gunakan lampu mentol jimat tenaga elektrik
Sumber : TNB
Pilih mentol jimat tenaga elektrik bagi lampu-lampu di rumah kerana ia menggunakan tenaga elektrik yang sikit dan tahan lebih lama
2. Gunakan Lampu Fluorescent T5 untuk ruang lebih cerah dan jimat tenaga elektrik
Lampu Fluorescent T5 yang lebih nipis atau ‘slim’ memberikan pencerahan yang banyak untuk rumah selain menggunakan tenaga elektrik yang sikit. Lampu LED juga kini menjadi pilihan orang ramai kerana dikatakan jimat elektrik.
3. Masak air dalam cerek elektrik dengan kapasiti penuh
Isikan air dalam cerek elektrik sehingga penuh apabila setiap kali memasak air untuk diminum. Untuk lebih jimat, simpan air panas di dalam termos atau jug tahan panas untuk mengekalkan kepanasan air lebih lama berbanding perlu memasaknya tiap kali seperti membuat susu untuk anak.
4. Jarakkan Peti Sejuk dan dinding untuk peredaran udara
Peti Sejuk boleh dijarakkan dengan dinding sekurang-kurangnya 10cm untuk peredaran udara yang baik. Jauhkan juga peti sejuk daripada kawasan yang panas seperti berdekatan dapur gas memasak. Dengan ini ia akan beroperasi dengan lebih cekap
5. Barang yang disusun dengan teratur dalam peti sejuk boleh menjimatkan elektrik
Pastikan barang dalam peti sejuk tersusun kemas dan rapi kerana ia membantu peredaran udara yang lebih efisyen justeru menjimatkan tenaga elektrik.
6. Basuh baju menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh
Kumpulkan dulu pakaian sehingga muatan penuh dan basuh sekaligus. Bukan basuh pakaian setiap hari sikit-sikit tapi mungkin dikumpulkan hujung minggu baru basuh bila pakaian dah banyak. Apabila basuh baju dengan muatan penuh, jadi semakin kurang anda akan gunakan mesin basuh yang sebenarnya menggunakan banyak tenaga elektrik.
7. Gosok pakaian sekaligus dengan jumlah yang banyak seminggu sekali
Dengan menggosok pakaian sekaligus dengan jumlah yang banyak akan mengurangkan penggunaan seterika. Contohnya baju yang ingin dipakai setiap hari digosok pada satu masa di hujung minggu.
8. Pilih suhu aircond antara 23-25*C bagi kesejukan optimum
Tetapkan suhu aircond antara 23 hingga 25 darjah celcius untuk kesejukan optimum dan lebih penjimatan. Suhu ini memberikan kesejukan secukupnya di samping mengekalkan penggunaan elektrik yang rendah
9. Filter aircond juga perlu dicuci agar dapat beroperasi dengan cekap
Filter atau penapis aircond tu pun mestilah dicuci agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar. Banyak lagi cara untuk jimatkan elektrik apabila guna aircond sebenarnya.
10. Tutup komputer berbanding standby (sleep mood) jika tidak digunakan
Komputer atau laptop masih menggunakan tenaga elektrik walaupun dalam keadaan standby. Tutup komputer sepenuhnya untuk lebih jimatkan elektrik
11. Pilih peralatan elektrik yang mempunyai label 5 bintang
Peralatan Elektrik 5-star atau 5 bintang direka untuk beroperasi lebih cekap dan mengurangkan penggunaan elektrik. Contoh label 5 bintang adalah seperti gambar di bawah. Banyak lagi tips jimat elektrik yang dikongsikan oleh orang ramai termasuk pekerja TNB sendiri melalui pengalaman mereka. Kalau nak tahu tips jimat kalau pakai aircond dekat rumah boleh tengok dekat SINI.
Jangan lupa kongsikan artikel ini untuk manfaat orang lain.