“Ketupat Baru Semalam Masak Dah Basi?” Ini 6 Tips Masak Ketupat Agar Lembut & Tahan Lama
Cara Mudah Masak Ketupat Supaya Lembut Dan Tahan Lama Tak Mudah Basi
Korang pernah tak merungut: “Baru semalam aku rebus ketupat ni, hari ni dah basi”. Ketahuilah, korang tak bersendirian. Banyak juga kes yang masak ketupat ni kemudian cepat basi terutamanya jika disimpan atau dibiarkan di dalam suhu bilik.
Dan akhirnya akan dibuang, menjadi sebuah pembaziran. Bila dah membazir, korang bukan bazirkan beras dan daun kelapa sahaja ya, masa dan tenaga yang digunakan untuk buat dan masak ketupat tu pun terbazir sekali. Ini tips yang korang boleh ikut untuk masak ketupat supaya lembut dan tahan lama:
1. Pilih Beras Terbaik Dan Cuci Sebersihnya. Hapak Beras, Hapak Jugalah Ketupatnya.
Sumber Gambar GPSBestari
Beras yang korang guna untuk buat ketupat ni mesti beras yang elok dan dalam keadaan yang baik, bukanlah beras yang lama atau dah hapak. Jika beras tersebut beras lama dan sudah hapak, ketupat akan lebih cepat basi setelah dimasak. Nak senang faham korang tengok makanan dalam tin, kalau stok lama akan lebih cepat expired, macam tu jugak dengan beras untuk ketupat.
Untuk dapatkan tekstur ketupat yang lembut, pastikan beras tersebut dicuci sebersihnya kemudian direndam selama 30 minit. Mencuci beras ini juga membantu supaya ketupat yang telah dimasak nanti tahan lebih lama kerana membuang atau mengurangkan benda asing di dalam beras.
2. Daun Kelapa Mesti Segar dan Anyaman Mesti Kemas. Barulah Ketupat Tahan Lama!
Sumber Gambar makemefresh
Daun kelapa untuk buat ketupat ni korang kena beri perhatian juga. Daun yang digunakan mestilah daun kelapa muda yang segar dan bersih. Seeloknya dicuci terlebih dahulu daun ini. Ingat, lebih bersih bahan yang digunakan untuk buat ketupat, lebih lama ketupat tahan dari basi.
Anyaman daun kelapa untuk dijadikan sarung ketupat ini pula mestilah rapat, kemas dan rapi supaya
- Supaya isi ketupat tidak terkeluar dan comot
- Ketupat tidak atau kurang terdedah dengan bakteria yang menyebabkan makanan jadi basi
3. Isi Beras Jangan Penuh Sangat, Keras Ketupat Nanti!
Sumber Gambar SajianSedap
Ini tips yang wajib korang buat kalau nak pastikan ketupat korang lembut setelah dimasak. Masa isi sarung ketupat dengan beras, jangan isi sarung tersebut sampai penuh, cukup memenuhi 2/3 sarung ketupat sahaja. Kalau isi melebihi kadar ini, ketupat korang akan keras dan tidak masak. Kalau kurang pula, ketupat akan jadi lembik dan tak tahan lama.
4. Petua Garam, Asam Gelugur Dan Limau Kasturi Untuk Ketupat Dari Orang Tua
Sumber Gambar halalfoodmaster
Ini petua orang tua zaman dahulu bagi memastikan ketupat tahan lebih lama dan tidak berair.
- Garam – Bila korang rebus ketupat, taburkan sedikit garam dalam air rebusan. Secara saintifiknya garam bertindak sebagai bahan yang menghalang pertumbuhan mikroorganisme seperti bakteria yang menyebabkan makanan basi.
- Asam Gelugur/Limau – Sama seperti garam tadi, masukkan dua keping asam gelugur atau dua biji limau dalam air ketika merebus ketupat. Asid dalam asam gelugur atau limau dapat membantu melambatkan pertumbuhan mikroorganisme seperti fungsi garam tadi.
Tapi berpada-pada dalam jumlah garam, asam gelugur atau limau yang digunakan ya, jangan sampai ketupat korang terlebih masin dan masam pula.
5. Rebus Lama, Tos Dan Gantung Sampai Kering. Ketupat Pun Lembut Dan Lambat Basi!
Sumber Gambar petuaibu
Merebus ketupat ialah langkah yang paling penting korang kena perhatikan untuk pastikan ketupat korang lembut. Ini benda yang korang kena buat bila merebus ketupat:
- Guna air yang sudah panas bila merebus ketupat, ketupat akan lebih senang masak dan lembut.
- Cara moden merebus ketupat supaya lembut dan cepat masak ialah dengan menggunakan periuk ‘pressure-cooker’.
- Ketupat mestilah direbus minimum selama 4 jam supaya lembut tapi jangan melebihi 5 jam supaya tak terlebih masak, namun bergantung kepada jumlah ketupat yang korang masak dan saiz periuk tu juga. Lagi besar dan banyak ketupat lagi lama masa diperlukan.
Setelah ketupat selesai direbus, ini tiga benda yang korang kena buat untuk pastikan ketupat tahan lebih lama:
- Siram ketupat dengan air bersih untuk membuang lendir yang menempel pada daun ketupat sekaligus membersihkan kotoran pada sisa air rebusan
- Tos ketupat sehingga benar-benar kering bagi memastikan tiada lebihan kelembapan pada ketupat
- Gantung ketupat supaya ketupat tersebut diudarakan dengan baik dan mempercepat proses pengeluaran air berlebihan dalam sarung ketupat
6. Simpan Di Dalam Frozen, Kalau Nak Makan Baru Ambil
Sumber Gambar mommyong
Kalau ada ketupat yang lebih tidak dimakan, simpan ketupat tersebut dalam peti sejuk. Pastikan korang simpan di bahagian ‘freezer’ ya. Ketupat ini mesti disejukbeku bagi memastikan tak cepat basi. Sebelum korang masukkan dalam freezer, pastikan bungkus dalam pasltik terlebih dahulu, taklah daun ketupat jadi kering nanti.
Kalau nak makan, jangan rebus balik ya. Tapi kukus semula selama 10-15 minit untuk memanaskan semula ketupat tersebut.
Sumber Gambar Shutterstock
Hari Raya memang kita sambut dengan meriah, dan pelbagai juadah seperti ketupat. Tapi kita juga kena elakkan pembaziran, supaya duit, masa dan tenaga kita tak terbuang begitu sahaja. Selamat mengikuti tips-tips ini! Nak beli lemang dekat kedai masa raya nanti? Korang boleh baca tips beli lemang di SINI.