Nak Lemang Tahan Lama Tak Basi? Ikut 4 Cara Simpan Lemang yang Mudah Ni!
Cara Mudah Menyimpan Lemang Buluh Agar Tak Cepat Basi
Apalah ertinya hari raya kalau tak ada ketupat, rendang, dan yang paling penting… lemang, lemang pula nak kena lemang tahan lama! Lemang dah jadi juadah wajib di atas meja di pagi raya. Semua orang pun sukakan rasa lemaknya sama ada dimakan begitu saja ataupun dicicah rendang.
Tetapi umumnya tahu, lemang ni sejenis makanan yang cepat basi. Ya lah, ia diperbuat daripada santan dan beras pulut, memang tak tahan lama. Tapi sebenarnya ada cara nak simpan lemang yang dibeli tu agar tahan lama!
Tips Memotong Lemang Tanpa Menggunakan Parang
Tapi sebelum nak makan, korang kena tahu dulu cara nak memotong atau membuka lemang. Biasanya orang nak potong lemang mesti akan gunakan parang, tapi parang ni bahaya juga kalau tiba-tiba tersalah tetak ke apa, habis jadi tragedi berdarah di pagi raya.
Jadi, kalau korang nak tahu cara memotong lemang dengan lebih selamat dan tak perlu gunakan parang, boleh ikuti cara-caranya di bawah:
Sumber Gambar Youtube
- Alaskan buluh lemang di atas kain. Dengan menggunakan batu lesung, ketuk bahagian atas buluh lemang, kira-kira 2 inci daripada ‘mulut’ buluh. Ketuk sehingga lemang tersebut terbelah.
- Kemudian, dengan menggunakan batu lesung yang sama, ketuk pula bahagian bawah buluh lemang untuk memudahkan proses pembukaan nanti.
- Dengan menggunakan kain ataupun memakai sarung tangan, kopak buluh lemang sehingga ia terbuka. Dan bolehlah mula makan lemang bersama keluarga!
Tips Simpan Lemang Tahan Lama
Untuk menyimpan lemang pula, ada tipsnya yang perlu diikuti agar ia dapat disimpan dengan lebih lama. Tips-tipsnya adalah:
Buka Balutan Surat Khabar
Biasanya, lemang yang dibeli dari gerai akan dibalut dengan surat khabar agak bahagian ‘mulut’ buluh lemang tu tak dimasuki serangga atau habuk semasa dibawa pulang ke rumah.
Kalau korang tak nak makan terus lemang yang baru dibeli, disarankan untuk membuka sedikit surat khabar di bahagian ‘mulut’ lemang untuk biarkan wap panas keluar. Kalau lemang masih panas dan bahagian ‘mulut’ buluh pula tertutup, titisan air akan terbentuk lalu ia akan membuatkan lemang cepat basi.
Biarkan Sejuk Sebelum Disimpan di dalam Bekas Tertutup
Sumber Gambar Okezone
Sebaiknya, sebelum nak simpan lemang, biarkan ia sejuk terlebih dahulu sehingga mencapai suhu bilik, barulah disimpan. Lepas tu, korang boleh simpan di dalam bekas yang berpenutup dan masukkan ke dalam peti sejuk atau dibiarkan di bawah tudung saji.
Simpan di Bahagian Freezer
Ada juga orang yang menyimpan lemang yang dah siap dipotong di bahagian freezer. Seperti yang kita tahu, suhu yang sejuk memang boleh melambatkan sesuatu makanan tu untuk menjadi basi. Bila nak makan, keluarkan dari bahagian freezer dan kukuskan saja.
Tonggeng Buluh Lemang Ke Bawah
Sumber Gambar Facebook
Kalau korang tak nak simpan lemang dalam peti sejuk sebab takut keras dan hilang rasa, boleh cuba cara ni. Salah satu petua dari orang tua adalah untuk menonggeng buluh lemah ke bawah dan diletakkan di atas sebuah bekas kecil. Dengan cara ni, segala pati-pati santan yang belum masak akan mengalir ke bawah dan tak merosakkan lemang dengan cepat.
Kalau korang ikuti tips-tips lemang tahan lama ni, tak perlu risau lagi nak kena habiskan semua lemang yang dah dipotong. Kalau tak habis, boleh je disimpan untuk dimakan di waktu yang lain. Sebelum nak beli lemang di gerai tepi jalan, korang kena tahu dulu tips-tipsnya agar tak ditipu. Kalau nak tahu apa tipsnya, bolehlah baca di SINI.