PekerjaanCara Mudah

Hilang Kerja Atau Pendapatan Berkurang Sebab PKP? Ikuti Tips Mulakan Perniagaan

Tips Mulakan Perniagaan & Panduan Start Bisnes

Memulakan perniagaan tu sendiri adalah sesuatu yang rumit, apatah lagi nak mulakan perniagaan di musim wabak COVID-19 sedang tular ni. Ramai yang berfikir sangat mustahil untuk memulakan perniagaan di musim wabak melanda ni, tapi untuk sesetengah orang, diorang tak ada pilihan yang lain kerana mungkin baru dibuang kerja ataupun gaji dikurangkan. Jadi diorang terpaksa cari cara lain untuk mendapatkan duit. Kalau nak cari kerja baru, mungkin akan mengambil masa yang lama pula kan, jadi ramailah yang rasa mahu mulakan perniagaan untuk menyara diri dan keluarga.

Trik dan Tips Mulakan Perniagaan untuk Newbies

Sebenarnya nak mulakan perniagaan ni memang sesuatu yang menakutkan disebabkan risiko yang tinggi. Tapi kalau korang tahu tips mulakan perniagaan yang betul, walaupun di musim pandemik ni, ia masih boleh diteruskan, dan kalau dibuat dengan betul, mesti boleh berjaya punya! .

1. Berniaga Secara Part-Time / Separuh Masa Dulu

Kalau korang masih mempunyai kerja full-time, lebih baik kalau berniaga secara separuh masa. Korang tak perlu ambil keputusan yang tergesa-gesa untuk berhenti kerja terus hanya untuk memulakan perniagaan yang dah lama diidamkan. Nanti kalau tersilap langkah, kerja hilang, perniagaan pula tak untung.

Gunakan lebihan gaji yang ada sekarang ni sebagai modal kecil untuk mulakan perniagaan korang. Mulakan dengan bisnes yang kecil dulu dan tak memakan banyak masa untuk uruskan seperti jual makanan frozen. Apa yang penting adalah, korang kena pandai membahagikan masa supaya kerja hakiki nanti taklah terganggu.

Sumber Gambar Mimin Adam

2. Perniagaan Yang Korang Minat Atau Mahir!

Susah nak teruskan atau mulakan perniagaan kalau ia tak melibatkan sesuatu yang korang minat. Menjadi pemilik sesebuah bisnes, korang akan meluangkan masa dan duit yang banyak dalam menyelesaikan masalah. Jadi kalau korang tak berminat dengan bisnes yang dilakukan, perniagaan tersebut akan menjadi goyah atau kurang stabil sebab bukan betul-betul semangat nak buat sebab suka. 

Minat dan kemahiran seperti melukis, menjahit, atau memasak boleh dijadikan sebagai asas sesebuah perniagaan. Tapi menjana pendapatan melalui minat ni ada bahayanya juga. Sebab apa yang korang lakukan sebagai minat, kini dah jadi sebagai satu kerja. Datang hari-hari yang mencabar atau yang menyusahkan, boleh jadi akan mula benci sesuatu yang korang suka pada awalnya. Jadi pastikan yang korang mampu untuk hadapi dan menerimanya bila masa itu tiba. Pendek kata ilmu tu pun kena ada. Belajar dari pelbagai sumber seperti video di Youtube ataupun buku berkaitan minat korang tu. Bila minat ditambah dengan ilmu. Pasti menjadi!

Sumber Gambar Harian Metro

3. Jadikan Rumah Sebagai Pejabat, Jimat kos!

Ya tahu korang semangat nak mulakan bisnes. Tapi memandangkan korang baru mulakan perniagaan dan keuntungan pun belum ada, maka mulakan operasi perniagaan di rumah je dulu. Tak perlu nak keluarkan duit yang lebih pun untuk menyewa pejabat. Nanti bila bisnes makin maju dan dah mula mendapat keuntungan, barulah boleh berfikir untuk menyewa mana-mana lot kedai yang bersesuaian. 

Kalau perniagaan tersebut memerlukan korang untuk berjumpa dengan klien, boleh setkan temu janji di mana-mana kafe yang tenang dan tak ramai orang untuk memudahkan perbincangan. Lagipun sekarang ni memang banyak orang home-based business je. Macam jual kuih ke apa, lagi jimat tak perlu bayar ansuran atau sewa rumah dan sewa pejabat lagi. Kos rendah untung boleh dapat banyak kan? 

Sumber Gambar Sis Hawa

4. Jadi Ejen Dropship

Untuk tips mulakan perniagaan yang seterusnya adalah jadi ejen dropship. Antara cara yang paling senang dan tak keluar modal (atau hanya gunakan sedikit modal), adalah dengan menjadi ejen dropship untuk mana-mana produk. Sebelum nak mulakan bisnes sebagai ejen dropship, pastikan dah buat kajian betul-betul, produk apa yang sesuai dengan target pembeli korang.

Sumber Gambar The President

Selalunya pelanggan pertama kita datang daripada keluarga atau rakan-rakan. Jadi, kalau korang mempunyai ramai kawan-kawan yang ada anak kecil, boleh jadi ejen dropship untuk barang-barang bayi, ataupun kalau kawan-kawan korang ramai yang suka makan, bolehlah jadi ejen dropship yang menjual makanan.

Memang bagus join dropship yang terkenal sebab orang dah tahu produk tu jadi tak perlu marketing power sangat. Tapi jadi ejen dropship hanya kerana produk tersebut ramai followers ni kadang-kadang akan mempunyai ramai ejen di bawahnya. Jadi persaingan korang untuk mendapatkan jualan pun akan menjadi lebih tinggi. Mungkin boleh cuba produk yang baru tapi pastikan sedap atau bagus produknya agar ramai pelanggan datang beli. Lagi bagus korang boleh jadi ejen paling awal dan rekrut orang-orang bawah korang. 

5. Bersedia dengan Segala Kemungkinan

Umumnya tahu, memulakan perniagaan ni memang ada risiko untuk gagal. Selalunya 60% daripada peniaga akan rugi dalam 3 tahunnya yang pertama. Sebab tu lah korang perlukan plan dalam perniagaan ni. Apa rancangan korang kalau bisnes makin perlahan? Apa yang patut dilakukan untuk menanggung kerugian? Macam mana nak bangkit semula daripada kegagalan bisnes? Semua benda ni korang kena fikir dan rancang awal-awal.

Dalam masa yang sama, korang juga perlu fleksibel dan pandai beradaptasi dengan situasi semasa. Setiap kali dapat keuntungan, korang kena ingat untuk menyimpan sebahagian daripadanya ke dalam tabung kecemasan. Jangan fikir nak habiskan je semua duit dan keuntungan yang diperolehi. Contohnya macam sekarang PKP beberapa perniagaan tak dibenarkan dibuka. Sebab itu perlu beralih kepada sistem online atau jualan atas talian. Walaupun kedai tak buka, perniagaan masih boleh diteruskan. Penghantaran pun ada macam-macam sekarang ni dari segi kurier, mahupun delivery Foodpanda, Grab dan sebagainya.

Sumber Gambar Dominasi Lelaki

Walaupun tips mulakan perniagaan yang diberikan ni tak banyak, tapi dengan 5 tips ni lah korang boleh jadikan sebagai panduan untuk memulakan perniagaan. Ingat ini panduan hasil daripada kajian kami sahaja ya. Bukan nasihat dari pakar. Yang bagus boleh ambil, yang rasa tak bagus boleh perbaiki jadikan lebih baik. 

Apa yang penting adalah untuk kekal berfikiran positif dan jangan sesekali meminjam dengan ceti haram atau Ah Long untuk mendapatkan modal perniagaan. Jangan lupa share tips mulakan perniagaan ni pada kawan-kawan lain juga. Dah dapat duit i-Sinar KWSP atau Bantuan Prihatin Rakyat mungkin boleh guna sedikit untuk ni dan lipat gandakan wang korang. Kalau nak tahu mengenai i-Sinar dengan lebih lanjut, bolehlah baca di SINI.

 

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button