KenderaanCara Mudah

Hujan Lebat Ni Nak Terus Bawa Motor Ke Nak Berhenti Dulu? Ini Tips Tunggang Motor Waktu Hujan Dengan Selamat

Tips Keselamatan Bawa Motosikal Semasa Hujan Lebat

Nak memandu kereta semasa hujan lebat pun kadang-kadang rasa susah sebab tak nampak, bayangkan pula nak menunggang motor waktu hujan lebat dan cuaca yang buruk macam tu. Lagi pula sekarang ni negara kita nak masuk musim hujan semula, jadi macam manalah dengan nasib para penunggang motosikal kan?

Tips yang paling berkesan dan selamat untuk penunggang motor waktu hujan turun dengan lebat adalah untuk tidak menunggangnya. Tapi kadang-kadang, ada beberapa situasi yang memerlukan seseorang tu perlu meneruskan perjalanannya dengan motosikal walaupun dalam keadaan hujan lebat, contohnya kalau hari dah semakin lambat tapi tak ada tanda hujan akan berhenti, ataupun rider Foodpanda yang perlu menghantar makanan kepada pelanggan.

5 Tips Menunggang Motor Waktu Hujan

Kalau korang termasuk dalam golongan yang terpaksa meneruskan perjalanan dengan motosikal dalam hujan, ada beberapa tips yang perlu diikuti agar tak terjadi kemalangan semasa menunggang di dalam hujan:

1. Pakai Pakaian yang Sesuai

Sumber Gambar Hello Doktor

Pastikan korang simpan sepersalinan pakaian hujan di dalam tempat simpanan motosikal.  Sebelum nak teruskan perjalanan, dan korang pun nampak awan dan gelap je, bolehlah bersiap-siap menyarungkan baju hujan. Baju hujan tu mestilah yang diperbuat daripada material yang kalis air seperti poliester atau kain sintetik. Kalau boleh, elakkan menunggang sambil memakan baju kapas semasa hujan sebab ia lambat kering dan akan membuatkan korang tak selesa semasa menunggang motosikal apabila ia melekap pada badan.

2. Gunakan Helmet dengan Warna yang Cerah

Sumber Gambar TOC

Semasa hujan sedang turun, lagi-lagi hujan lebat, penglihatan kita akan menjadi terbatas. Semuanya akan menjadi kelabu. Jadi kalau pakaian yang dipakai pun berwarna gelap, pemandu lain susah nak perasan akan motosikal korang. Selain daripada memakai pakaian yang terang atau mempunyai pantulan cahaya, korang boleh juga menggunakan helmet yang berwarna cerah. 

Sumber Gambar Safety Company

Tapi kalau helmet yang korang dah sedia ada berwarna gelap, tak perlu beli helmet baru pun. Cuba pula cara ni: tampalkan reflective tape pada helmet korang. Reflective tape ni selalunya berwarna terang dan akan berkilau apabila di dalam gelap, jadi pemandu belakang boleh nampak walaupun hujan turun dengan lebat.

3. Elakkan Brek Secara Mengejut dan Jangan Gunakan Brek Belakang

Sumber Gambar World of Buzz

Apabila hujan turun, lopak-lopak air akan terbentuk dan ini akan membahayakan penunggang motosikal sebab lopak-lopak air ni akan membuatkan minyak yang terserap di antara aspal jalan untuk timbul, lalu membuatkan jalan lebih licin. Elakkan daripada menekan brek secara mengejut dan elakkan juga daripada menggunakan brek belakang sebab ia akan membuatkan korang tak dapat mengawal motosikal yang dibawa di atas jalan yang licin dan boleh menyebabkan kemalangan.

4. Lalu di Trek yang Kering

 Sumber Gambar Pandu Laju

Umumnya, semua dah tahu menunggang di kawasan yang kering lebih baik daripada kawasan yang basah disebabkan penunggang dapat mengawal sepenuhnya motosikal yang dibawa. Lagipun jalan yang kering akan memberikan cengkaman yang baik. Semasa hujan, cuba ikut laluan tayar kereta di hadapan korang. Ini kerana tayar kereta tersebut akan ‘membelah’ air dan menciptakan trek yang lebih kering. Tapi pastikan korang ikuti kereta di depan dengan jarak yang selamat dan jangan dekat sangat.

5. Bawa Motosikal dengan Selamat

Sumber GambarZamir Yusof

Mungkin tips ni kedengaran klise dan dah selalu dengar, tapi yang dah selalu dengar ni jugalah orang selalu lupa. Apabila menunggang motor waktu hujan, tips-tips keselamatan asas (yang sepatutnya dilakukan setiap masa, walaupun tak hujan) perlulah diamalkan juga:

  • Jaga jarak yang selamat dengan kenderaan lain.
  • Pastikan tak menunggang di bahagian titik buta kenderaan lain.
  • Jangan lupa untuk memasang lampu, tapi jangan pula memasang lampu tinggi.
  • Lebih selamat kalau mengikut laluan motor yang disediakan.
  • Tunggang motosikal dengan kelajuan sederhana dan jangan lupa gunakan signal jika mahu menukar lorong.
  • Kalau hujan terlalu lebat, jangan paksa untuk teruskan perjalanan. Berhenti di tempat selamat yang boleh berteduh.

Apabila kita pandai menjaga diri di atas jalan raya, kemalangan pun dapat dielakkan, tak kiralah sama ada hujan sedang turun ataupun tidak. Selain daripada menunggang motor waktu hujan, nak memandu kereta semasa hujan pun perlu berjaga-jaga juga. Korang boleh baca tips-tips keselamatan semasa memandu dalam hujan di SINI.

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button