PermohonanKewangan

Zakat KWSP, Perlu Bayar Atau Tidak? Ini Yang Ramai Tak Tahu

Penjelasan Mengenai Zakat KWSP Perlu Dibayar Atau Tidak

Mesti ramai masih keliru zakat KWSP perlu bayar atau tidak kan? Ye lah hampir semua orang dewasa yang bekerja akan mempunyai duit simpanan di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila bekerja. Tapi hanya segelintir yang tahu bahawa KWSP ini termasuk dalam zakat harta. Kalau fikir secara logik memang betul lah duit simpanan dalam KWSP kita adalah harta kita kan.

Bila bercakap mengenai zakat pula ada dua jenis zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah ni pasti ramai tahu kan yang mana zakat kita bayar setiap tahun pada bulan Ramadhan menjelang raya Aidilfitri. Zakat harta pula adalah zakat yang dikenakan ke atas harta-harta tertentu dan boleh dibayar pada bila-bila masa. Harta-harta tersebut pula wajib dibayar zakat apabil cukup syarat wajib zakat.

Penjelasan Mengenai Zakat KWSP Perlu Dibayar Atau Tidak

Jadi KWSP ini pula masuk pada zakat jenis mana satu. Sudah tentu lah ianya adalah salah satu daripada zakat harta. Antara jenis zakat harta adalah:

Jenis Zakat Harta

  1. Zakat Pendapatan
  2. Zakat Perniagaan
  3. Zakat Wang Simpanan
  4. Zakat Emas & Perak
  5. Zakat Saham
  6. Zakat KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
  7. Zakat Pertanian
  8. Zakat Penternakan
  9. Zakat Ma’adin, Kunuz & Rikaz

Perlu Bayar Atau Tidak Zakat KWSP?

Wang dalam akaun KWSP diwajibkan zakat setelah memenuhi syarat-syaratnya sahaja. Ini kerana konsepnya sama seperti wang simpanan, cuma bezanya adalah simpanan di KWSP tidak boleh dikeluarkan dengan mudah atau begitu senang seperti akaun simpanan biasa, justeru ianya adalah tidak memenuhi syarat ‘Sempurna Milik’.

Namun begitu, syarat ‘Sempurna Milik’ akan dipenuhi sejurus selepas pencarum diberi kebenaran untuk mengeluarkannya (sama ada telah mencapai umur ataupun pengeluaran lain yang dibenarkan di bawah Skim Pengeluaran KWSP. Menurut PPZ MAIWP juga, kewajipan zakat tertakluk kepada jenis-jenis pengeluaran yang dibuat berpandukan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120.

 

Jenis Pengeluaran KWSP Yang Perlu Zakat

Menurut Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan kali ke-120, bagi skim pengeluaran yang memenuhi syarat milk al-taam dan bukan bagi tujuan perbelanjaan hajah asliyah serta tiada had pengeluaran seperti berikut:

  • Pengeluaran Simpanan Melebihi RM1 Juta
  • Pengeluaran Umur 50 tahun
  • Pengeluaran Umur 55 tahun
  • Pengeluaran Umur 60 tahun
  • Pengeluaran Meninggalkan Negara
  • Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pesara Pilihan

Pengeluaran yang dinyatakan di atas adalah diwajibkan zakat ke atas keseluruhan amaun yang boleh sikeluarkan pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul. Manakala baki simpanan KWSP dalam kategori ini yang tidak dikeluarkan selepas setahun (haul), adalah tertakluk kepada  hukum zakat simpanan berdasarkan baki wang simpanan yang telah genap setahun (haul) sekiranya mencapai nisab.

Untuk pengeluaran sebahagian di dalam akaun 2 apabila mencapai Umur 50 tahun, ZAKAT DIKENAKAN ke atas amaun yang dikeluarkan sahaja pada kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu  haul.

Selain itu untuk ahli yang tidak membuat pengeluaran pada umur 50 tahun, maka apabila mencapai umur 51 tahun WAJIB dikenakan zakat ke atas keseluruhan amaun yang boleh dikeluarkan kerana telah memenuhi  syarat milk al-taam dan kadar 2.5% tertakluk kepada nisab tanpa perlu menunggu haul. Manakala baki simpanan di dalam akaun 2 yang tidak  dikeluarkan tidak perlu dizakatkan, kerana tidak memenuhi syarat milk  al-taam.

Untuk skim pengeluaran bagi tujuan hajah asliyah seperti :

  • pengeluaran perumahan
  • pengeluaran pendidikan
  • pengeluaran kesihatan
  • pengeluaran hilang upaya kekal

Mesyuarat memutuskan bahawa TIDAK DIKENAKAN zakat ke atas pengeluaran-pengeluaran tersebut.

Kadar Zakat KWSP

Kadar zakat KWSP yang wajib dikeluarkan apabila melakukan pengeluaran yang dikenakan zakat seperti di atas adalah:

  • 2.5% dari jumlah yang dikeluarkan

 

Cara Kiraan Zakat 

Sebaiknya zakat dibayar serta merta atau dalam masa terdekat sebaik sahaja wang tersebut dikeluarkan atau berada dalam milikan seseorang.

1) Pengeluaran Sebahagian

Contoh A:

KWSP dikeluarkan pada tahun 2016 sebanyak RM 15,000 untuk tujuan deposit perumahan. Kadar nisab pada tahun 2016 adalah RM13,536 (berdasarkan Lembaga Zakat Selangor). Maka, jumlah yang dikeluarkan ini cukup nisabnya.

Oleh itu, jumlah zakat yang perlu dibayar adalah RM15,000 x 2.5% = RM 375

Contoh B:

RM 3000 dikeluarkan dari akaun KWSP pada tahun 2016 bagi tujuan pembelian laptop. Oleh kerana tidak cukup nisab, jumlah pengeluaran ini disekalikan dengan zakat pendapatan.
Gaji bersih bulanan (setelah ditolak keperluan asas) adalah RM2,000 sebulan dan jumlahnya adalah RM24,000 (setahun).

Oleh itu, jumlah zakat yang perlu dibayar adalah (RM24,000 + RM3,000) x 2.5% = RM600

2) Pengeluaran Akaun 2 / Milikan Penuh

Bagi pengiraan zakat ini, anda cuma perlu mendarabkan jumlah wang dalam akaun dengan 2.5%.

Contoh:
Ketika berusia 50 tahun, jumlah wang dalam Akaun 2 KWSP adalah RM35,000.
Oleh itu, jumlah zakat yang perlu dibayar adalah RM35,000 x 2.5% = RM875

Nota: Tidak kira sama ada jumlah ini dikeluarkan atau tidak, ia masih wajib dibayar kerana dianggap sudah sempurna pemilikannya. Begitu juga dengan amaun yang bakal diterima semasa usia 55 tahun nanti.

Untuk lebih memudahkan urusan, boleh gunakan kalkulator zakat KWSP atau zakat-zakat lain di pautan berikut:

 

Cara Bayar Zakat KWSP

Untuk membayar zakat KWSP, sebaik-baiknya diserahkan kepada pusat zakat negeri masing-masing. Ini kerana ianya adalah sebuah organisasi yang bertanggungjawab khusus bagi mengagihkan secara sistematik kepada 8 golongan asnaf yang berhak menerima zakat. Kaedah bayaran boleh dibuat melalui dua jenis iaitu:

1. Secara Manual Di Kaunter

  • Boleh hadir ke mana-mana kaunter pusat zakat berhampiran

2. Secara Online

 

Pengecualian Zakat KWSP Keperluan Mendesak

Bagi sesetengah kes, seseorang berkemungkinan perlu mengeluarkan KWSP untuk pembiayaan keperluan mendesak tertentu yang amat kritikal. Sebagai contoh keperluan yang mendesak adalah mendapatkan rawatan perubatan yang memerlukan kos rawatan yang sangat tinggi.

Misalannya untuk membuat pembedahan termasuklah kimoterapi, perbelanjaan kos rawatan yang diperlukan lebih daripada RM30,000 malah duit simpanan di KWSP juga tidak cukup untuk menampung kos keseluruhan yang diperlukan. Adakalanya perlu berhutang pula dengan pihak lain. Dalam keadaan begini zakat KWSP bagi wang yang dikeluarkan tersebut boleh dikecualikan.

Pengeluaran i-Lestari & i-Sinar Perlu Zakat?

Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) ada menjelaskan bayaran zakat bagi kemudahan pengeluaran KWSP tersebut adalah bergantung kepada tiga situasi iaitu:

Situasi Pertama

Jika jumlah yang dikeluarkan secara keseluruhannya tidak melepasi paras minimum (nisab) dan khas bagi yang terkesan dengan Covid-19 sama ada hilang punca pendapatan atau tidak bekerja, zakat tidak dikenakan ke atas pengeluaran terbabit

Situasi Kedua

Untuk mereka yang secara relatifnya tidak terkesan, tetapi tetap membuat pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar, maka adalah dianjurkan mencampurkan jumlah tersebut dengan harta yang lain untuk dizakatkan

Situasi Ketiga

Bagi mereka yang tiada pendapatan namun memiliki harta yang cukup dan tidak terkesan secara langsung, misalnya mempunyai simpanan yang tinggi, golongan pesara yang tiada komitmen atau mereka yang tidak bekerja tetapi mempunyai harta yang mencukupo serta mampu menyara hidup, maka pengeluaran yang melebihi nisab juga perlu dizakatkan.

Pengeluaran KWSP ‘Suka-Suka’ Perlu Bayar Zakat 2.5%

Sumber: Berita Alhijrah

Infografik Zakat Pulau Pinang

Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada orang ramai. Yang belum tukar akaun KWSP daripada konvensional kepada syariah boleh baca di SINI

Ikuti Kami

Anda Mungkin Minat

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Back to top button